[VIDEO] Russia Dakwa Serangan Dron Terhadap Kremlin Cubaan Bunuh Presiden Putin
“Pihak Kremlin telah menilai insiden serangan dron itu dan mengkategorinya sebagal tindakan keganasan dan percubaan untuk membunuh Presiden (Vladimir Putin) beberapa hari sebelum Victory Day dan perbarisan pada 9 Mei ini,” menurut media milik kerajaan Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam insiden yang bakal memarakkan lagi konflik di antara Russia dan Ukraine, Kiev didakwa telah melancarkan serangan dron terhadap bangunan Kremlin,yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Russia.
Selepas bangunan Kremlin itu diserang oleh dua dron membawa bahan letupan, kerajaan Russia dalam satu kenyataan mendakwa serangan dron itu bertujuan mahu membunuh presiden negara itu,Vladimir Putin.
“Dua buah pesawat tanpa pemandu mensasarkan bangunan Kremlin. Hasil tindakan yang diambil oleh pihak tentera dan pasukan khas menggunakan radar, serangan dron itu berjaya digagalkan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan komunikasi Presiden Russia.
Video-video yang dikeluarkan oleh media di Russia mendakwa serangan dron pertama berlaku pada pukul 2.27 pagi manakala serangan kedua pula dilaporkan berlaku pada 2.43 pagi.
Putin tidak berada di dalam bangunan Kremlin itu dan serangan tidak menyebabkan kemusnahan yang besar, menurut kenyataan Moscow dan menambah bahawa ia berhak untuk membalas serangan dron itu.
“Pihak Kremlin telah menilai insiden serangan dron itu dan mengkategorinya sebagal tindakan keganasan dan percubaan untuk membunuh Presiden (Vladimir Putin) beberapa hari sebelum Victory Day dan perbarisan pada 9 Mei ini,” menurut media milik kerajaan, RIA.
Ia juga menyatakan bahawa Putin meneruskan aturcaranya dan tidak membatalkan jadualnya, meneruskan kerjanya daripada kediamannya di Novo Ogaryovo di luar Moscow.
Speaker Parliament Russia Vyacheslav Volodin mahukan kerajaan negara itu menggunakan “senjata yang boleh menghentikan dan memusnahkan rejim pengganas Kiev.”
Bekas Presiden Russia Dmitry Medvedev yang kini timbalan ketua Majlis Keselamatan Russia lebih lantang dalam kenyataannya dengan berkata bahawa insiden serangan dron itu “memaksa kami untuk memusnahkan Volodymr Zelensky (Presiden Ukraine) dan kliknya.”
Baru-baru ini,portal berita tempatan Moscow Times dalam laporannya menyatakan bahawa sekurang-kurangnya lima sistem pertahanan udara telah ditempatkan oleh tentera Russia di beberapa lokasi sekitar Moscow sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Comments are closed.