Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pangkalan Pesawat Pengebom Strategik Russia Diserang Dron Berani Mati Ukraine

Pangkalan Tentera Udara Russia Engels-2 yang terletak di wilayah Saratov itu dikatakan merupakan tapak pelancaran ratusan peluru berpandu kruis mensasarkan beberapa bandar Ukraine serta infrastruktur ketenteraan mereka.

0 4,179

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pangkalan udara strategik Russia yang menempatkan pesawat-pesawat pengebom jarak jauh negara itu telah dibom oleh dron-dron berani mati yang dipercayai telah dilancarkan oleh tentera Ukraine.

Serangan terhadap pangkalan udara itu berlaku pada waktu awal pagi tadi (5 Dis) yang telah menyebabkan kerosakan terhadap dua buah pesawat pengebom strategik itu serta mengorbankan beberapa orang anggota tentera.

Rakaman kamera litar tertutup sempat merakamkan letupan besar berlaku di pangkalan udara itu, manakala penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pangkalan udara itu telah mendengar bunyi letupan kuat daripada kawasan pangkalan udara itu dan melihat bebola api yang besar.

Dalam masa yang sama, letupan besar juga kedengaran di sebuah lagi pangkalan udara strategik di Dyagilevo di wilayah Ryazan, tidak jauh daripada ibu negara, Moscow yang turut menempatkan pesawat-pesawat pengebom milik Tentera Udara Russia.

Pangkalan udara Dyagilevo juga menjadi pusat latihan bagi juruterbang pesawat-pesawat pengebom Russia.

Pesawat Pengebom
Pangkalan Udara pesawat pengebom strategik Russia di Engels-2

 

Letupan di pangkalan udara Dyagilevo itu dikatakan berpunca daripada bom trak, menyebabkan beberapa kematian dan kecederaan.

Kedua-dua pangkalan udara itu, Engels dan Dyagilevo terletak kira-kira 500km dan 460km daripada sempadan Ukraine.

Pangkalan Tentera Udara Russia Engels-2 yang terletak di wilayah Saratov itu didakwa merupakan tapak pelancaran ratusan peluru berpandu kruis Russia yang mensasarkan beberapa bandar Ukraine serta infrastruktur ketenteraan mereka.

Pesawat Pengebom
Pesawat pengebom strategik Russia Tu-160.

 

Sejak beberapa minggu ini, Russia telah meningkatkan kehadiran pesawat-pesawat pengebom strategik mereka iaitu Tupolev  Tu-95 dan Tu-160 di Pangkalan Udara Engels-2, dipercayai sebagai persediaan untuk melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Ukraine pada musim sejuk ini.

Kedua-dua pesawat-pesawat pengebom strategik milik Tentera Udara Russia (VKS) itu berkemampuan membawa bom dan peluru berpandu yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear, sekaligus meningkatkan lagi ketegangan di antara Russia dan Amerika Syarikat.

Russia telah menyuarakan amaran bahawa ia bersedia untuk mengguna kan senjata nuklear kedaulatan wilayahnya terancam.

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

Sementara itu penduduk di beberapa bandar di Ukraine mendakwa pihak Russia telah melancarkan serangan puluhan peluru berpandu terhadap bandar mereka, tidak lama selepas kedua-dua pangkalan udara Russia itu mengalami kerosakan akibat serangan oleh Ukraine.

Serangan puluhan peluru berpandu oleh tentera Russia merupakan serangan balas oleh oleh negara itu terhadap apa yang berlaku di Engels dan Dyagilevo.

Bedilan peluru-peluru berpandu Russia terhadap bandar-bandar Ukraine telah menyebabkan ratusan penduduk tempatan Ukraine berlindung di pusat-pusat perlindungan bawah tanah bagi mengelak daripada menjadi mangsa serangan oleh Moscow itu. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...