Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

USS Gerald R.Ford Mulakan Kerahan Kombat Pertama, Destinasi Eropah

Bernilai US$13 billion (RM52 billion), USS Gerald Ford (CVN-78) adalah kapal pengangkut pesawat kelas Gerald Ford yang pertama daripada empat kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear baharu Tentera Laut Amerika Syarikat bagi menggantikan kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz yang sedang berkhidmat pada masa ini.

0 1,078

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun telah diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat empat tahun lepas, namun kapal pengangkut pesawat negara itu USS Gerald R.Ford (CVN-78) itu baru sahaja memulakan kerahan kombatnya yang pertama ke Eropah beberapa hari lalu.

Mula dibina 2009 pada kos US$13 bilion (RM52 bilion),  USS Gerald R.Ford seberat 100,000 tan itu berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal selepas diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat empat tahun lepas dan terpaksa menghabiskan lebih banyak masa di limbungan kapal.

Pada tahun lepas, ia telah belayar ke Lautan Atlantik, tetapi untuk suatu tempoh terlalu singkat dan lebih kepada menjurus untuk membantu Tentera Laut Amerika Syarikat menilai kesemua sistem yang berada di kapal pengangkut itu.

USS Gerald R. Ford
Kapal pengangkut pesawat terbaru Amerika Syarikat, Gerald Ford.

 

Kali ini, kapal pengangkut pesawat terbaru itu meninggalkan pangkalannya di Virginia untuk melaksakanakan kerahan kombatnya yang pertama, untuk menggantikan tempat sebuah lagi kapal pengangkut USS Nimitz yang menamatkan misi lapan bulannya di Eropah dan Timur Tengah.

“USS Gerald R.Ford dijangka akan berada di perairan di Eropah selama enam bulan melaksanakan pelbagai operasi,” kata seorang pegawai kanan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kerahan kombat yang pertama kapal pengangkut pesawat terbaru Amerika Syarikat ke Eropah itu akan diiringi oleh kapal-kapal pengiringnya terdiri daripada kapal cruiser kelas-Ticonderoga USS Normandy dan kapal-kapal destroyer kelas-Arleigh Burke USS Ramage, USS McFaul dan USS Thomas Hudner.

Kapal replenishment oiler Joshua Humphreys, kapal kargo kering Robert E.Peary dan kapal pengawal pantai Hamilton juga dijangka turut serta dalam pelayaran kerahan penuh pertama USS Gerald R.Ford.

Untuk pasukan udaranya, kapal pengangkut pesawat USS Gerald R.Ford dijangka membawa pelbagai jenis pesawat pejuang dan helikopter termasuk F/A-18E/F Super Hornet,  EA-18G Growler (Electronic Warfare), E-2 Hawkeye (AEWC) dan helikopter Seahawk.

USS Normandy
Kapal cruiser USS Normandy, salah sebuah kapal pengiring USS Gerald R.Ford.

 

Selain aset-aset di permukaan perairan, pelayaran kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat juga diiringi oleh satu atau dua buah kapal selam berkuasa nuklear milik negara itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada pelayarannya ke Eropah itu mempunyai “agenda” tertentu tetapi ia dilihat sangat bertepatan terutamanya selepas apa yang berlaku di Kremlin semalam apabila pusat pentadbiran kerajaan Russia itu telah diserang oleh dua buah dron berani mati.

Russia mendakwa serangan dron berani mati itu didalangi oleh Ukraine dan bertujuan untuk membunuh Presiden Vladimir Putin.

Moscow berikrar untuk membalas dendam terhadap serangan dron itu pada waktu dan ketika yang difikirkannya sesuai.

USS Gerald R.Ford sepatutnya memulakan kerahan penuhnya yang pertama pada tahun 2018, tetapi dihalang oleh beberapa siri masalah teknikal, kerosakan peralatan dan kelewatan dalam mengintegrasikan 23 teknologi baru ke kapal itu sehingga memaksa tentera laut negara itu menangguhkan kerahannya.

USS Gerald R.Ford
Pesawat Super Hornet ketika menjalani ujian dengan kapal pengangkut pesawat USS Gerald Ford.

 

Menurut Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Gerald R.Ford menjadi kapal pengangkut pesawat pertama negara itu menggunakan sistem dikenali sebagai Electromagnetic Aircraft Launch System (EMALS) yang menggunakan kuasa elektrik untuk melancarkan pesawat daripada kapal itu.

Sebelum ini,kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat daripada kelas-Nimitz menggunakan sistem catapult berkuasa stim untuk melancarkan pesawat-pesawat daripada dek penerbangannya.

Selain sistem EMALS, USS Gerald R.Ford juga menjadi kapal pengangkut pesawat Amerika yang menggunakan Dual-Band Radar, yang merupakan sistem radar yang lebih canggih berbanding sistem radar yang digunakan oleh kapal-kapal pengangkut pesawat kelas-Nimitz sebelum ini.

Bernilai US$13 billion (RM52 billion), USS Gerald Ford (CVN-78) adalah kapal pengangkut pesawat kelas Gerald Ford yang pertama daripada empat kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear baharu Tentera Laut Amerika Syarikat bagi menggantikan kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz yang sedang berkhidmat pada masa ini.

Kapal pengangkut pesawat kedua dalam kelas Gerald Ford iaitu USS John F-Kennedy (CVN-79) dijangka memasuki perkhidmatan tentera laut Amerika Syarikat seawalnya pada 2024 diikuti oleh USS Enterprise (CVN-80) pada 2028 dan USS Doris Miller (CVN-81) pada 2032.

Gerald Ford
Kapal USS Gerald Ford apabila bahan letupan seberat 40,000 pound diletupkan disisinya bagi menguji keteguhan binaannya dan sistemnya. (US Navy)

 

 USS John F.Kennedy yang sedang dibina pada ketika ini dianggarkan bernilai US$11.4 bilion (RM45.6 bilion) manakala USS Enterprise pula menelan belanja US$12.3 billion(RM49.2 bilion) dan USS Doris Miller pula bakal mengakibatkan perbelanjaan sebanyak US$12.4 billion (RM49.6 bilion).  

Walaupun ketiga-tiga kapal ini dijangka memasuki perkhidmatan pada 2024, 2028 dan 2032 tetapi kebiasaannya ia akan terlewat dua hingga tiga tahun disebabkan complexity ujian penerimaan yang perlu dilakukan.  

USS Gerald Ford merupakan lead-ship dalam kapal pengangkut pesawat kelas Gerald Ford yang mula dibina pada 2009 dan selepas 11 tahun dibina oleh kontraktor utamanya, Newport News Shipbuilding, kapal pengangkut pesawat yang dianggarkan seberat 100,000 tan telah ditauliahkan kepada tentera laut Amerika Syarikat pada Julai 2017.

Sedikit sebanyak informasi tentang saiz kapal pengangkut pesawat USS Gerald Ford ini – tinggi kapal ini adalah 134 kaki manakala panjangnya adalah 1,092 kaki serta boleh menempatkan lebih daripada 75 buah pesawat dan helikopter pelbagai jenis. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...