Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penduduk “Bimbang”, “Panik” Kemungkinan Moscow Diserang Ukraine

Penduduk bandaraya Moscow semakin bimbang tentang kemampuan pihak tentera Ukraine melakukan serangan jarak jauh terhadap kedudukan lebih dalam di Russia, hasil daripada sokongan dan bantuan ketenteraan oleh negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.

0 1,794

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Langkah menempatkan sistem-sistem pertahanan udara di beberapa lokasi di ibu negara Russia, Moscow telah menimbulkan kemarahan dan kebimbangan penduduk bandaraya itu.

Penduduk tempatan semakin bimbang tentang kemampuan pihak Ukraine melakukan serangan terhadap kedudukan yang terletak lebih dalam di Russia, hasil daripada sokongan dan bantuan ketenteraan oleh negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Menurut portal berita tempatan, Moscow Times,  sekurang-kurangnya lima sistem pertahanan udara telah ditempatkan oleh tentera Russia di beberapa lokasi sekitar Moscow sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk di taman-taman dan di atas bangunan.

S-400
Pelancar sistem pertahanan udara S-400 ketika satu perbarisan di Moscow.

 

Mereka merasakan konflik Russia-Ukraine yang tercetus pada Februari tahun lepas semakin menghampiri Moscow setiap hari.

“Terdapat dikalangan penduduk tempatan (Moscow) semakin panik dan marah terhadap apa yang mereka anggap sebagai peningkatan ketegangan akibat konflik antara Russia dan Ukraine,” kata seorang penduduk Moscow yang tinggal di Taman Losiny Ostrov di utara bandaraya itu dimana sebuah sistem pertahanan udara turut ditempatkan.

“Penduduk merasa marah kerana setakat ini tiada makluman daripada pihak berkuasa,” katanya.

Diantara sistem-sistem pertahanan udara yang kini ditempatkan di beberapa lokasi di Moscow termasuklah Pantsir-S1 yang ditempat di atas ibu pejabat bangunan Kementerian Pertahanan yang terletak tidak jauh daripada Kremlin.

Selain itu, tentera Russia juga telah meletakkan sistem pertahanan udara S-400 Stesen Metro  Timiryazevskaya yang juga terletak di utara Moscow.

Pantsir S-1
Sistem pertahanan udara “Pantsir” Russia.

 

“Apabila saya membaca laporan tentang sistem pertahanan udara di Moscow, saya ingatkan ia adalah berita palsu tetapi apabila saya melihatnya (sistem pertahanan udara itu) saya sedang berdiri di balkoni kediaman saya.”

“Saya amat terperanjat,” kata seorang wanita yang tinggal berhampiran dengan stesen metro Taganskaya di Moscow.

Selain terdapat juga laporan mengatakan bahawa sistem-sistem pertahanan udara telah ditempatkan berhampiran kediaman rasmi Presiden Vladimir Putin di Novo-Ogaryovo yang terletak di luar Moscow.

Sementara itu seorang penganalisis ketenteraan Russia, Yury Fedorov berkata Ukraine memiliki kemampuan teknikal untuk menghantar dron yang boleh sampai ke Moscow.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa sistem pertahanan udara Russia gagal memintasnya sebaik sahaja ia dilancarkan daripada Ukraine.

“Ia menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara Russia berada di dalam keadaan yang menyedihkan,” kata beliau kepada portal berita itu.

Tupolev
Dron Tupolev Tu-141 yang digunakan oleh tentera Ukraine untuk menyerang tiga pangkalan udara Russia berhampiran Moscow akhir tahun lepas.

 

Sementara itu Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh Defense News berkata bahawa Russia akan selesai memodenkan sistem pertahanan udara di Moscow pada akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian selepas sebuah dron Ukraine yang dilengkapi dengan bahan letupan terhempas di sebuah bandar yang terletak kira-kira 175km di selatan Moscow pada awal minggu lepas.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, dron Tu-141 milik Ukraine itu terhempas selepas sistem navigasinya berjaya dipintas oleh pihak tentera Russia.

Dron Tu-141 telah dibangunkan pada era Kesatuan Soviet tetapi diperkenalkan semula oleh Ukraine pada 2014 dan memiliki kemampuan untuk membedil sasaran musuh sejauh 1,000km. 

Moscow merupakan pusat pemerintahan Russia dan simbol kepada kekuasaan serta kekuatan ketenteraan negara itu dan ia adalah sesuatu yang memalukan sekiranya Ukraine berjaya melakukan serangan udara terhadap bandar itu.

Kebimbangan tentang kemungkinan Moscow diserang oleh Ukraine semakin meningkat selepas Kiev melancarkan serangan udara menggunakan dron terhadap tiga pangkalan udara strategik Russia yang terletak tidak jauh daripada Moscow pada awal Disember tahun lepas.

Pesawat Pengebom
Pangkalan Udara pesawat pengebom strategik Russia di Engels-2 yang menjadi sasaran dron tentera Ukraine.

 

Ketiga-tiga pangkalan udara strategik Russia yang menjadi sasaran dron-dron Ukraine itu pada 5 Disember itu adalah, Engels dan Dyagilevo yang terletak kira-kira 500km dan 460km daripada sempadan Ukraine.

Sehari selepas itu, pangkalan udara tentera Khalino turut diserang oleh pihak Ukraine.

Pangkalan Tentera Udara Russia Engels-2 yang terletak di wilayah Saratov itu didakwa merupakan tapak pelancaran ratusan peluru berpandu kruis Russia yang mensasarkan beberapa bandar Ukraine serta infrastruktur ketenteraan mereka. 

Ketiga-tiga pangkalan udara Russia yang terletak berhampiran dengan bandaraya Moscow diserang menggunakan dron Tupolev Tu-141. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...