KF-21 “Boramae” Mula Dibina Secara Besar-Besaran Tahun Depan
Ujian teknikal itu yang dipanggil "Provisional Combat Suitability Evaluation” adalah bagi membolehkan pihak-pihak yang membangunkan sistem persenjataan pesawat KF-21 "Boramae untuk mendapatkan peruntukan, lama sebelum ia memenuhi segala keperluan kombat di dalam usaha mempercepatkan proses pembinaan secara besar-besaran pesawat itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” telah lulus ujian teknikal khusus bagi membolehkan ia dibina secara besar-besaran bermula pada tahun depan.
Agensi perolehan persenjataan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) berkata, pesawat KF-21 itu telah lulus ujian teknikal dipanggil “Provisional Combat Suitability Evaluation” yang diadakan pada minggu lepas.
Kelulusan itu diberi berdasarkan kepada ratuskan penerbangan ujian di udara dan daratan yang dilakukan oleh pesawat pejuang itu sepanjang dua tahun lepas.

“Ujian itu telah meletakkan batu asas bagi membolehkan kami untuk memulakan pengeluaran pesawat secara besar-besar bermula pada tahun depan,” menurut DAPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Ujian teknikal itu telah diperkenalkan bagi membolehkan pihak-pihak yang membangunkan sistem persenjataan KF-21 untuk mendapatkan peruntukan, jauh sebelum ia memenuhi segala keperluan kombat di dalam usaha mempercepatkan proses pembinaan secara besar-besar pesawat itu.
Sejak pesawat prototaip KF-21 yang pertama diperkenalkan kepada khalayak umum pada April tahun ini, pihak berkuasa Korea Selatan telah melakukan pelbagai ujian teknikal kepada pesawat prototaip itu.
Antara ujian-ujian teknikal yang dijalankan terhadap pesawat prototaip itu termasuklah melakukan kira-kira 200 penerbangan ujian bagi membolehkan ia memeriksa 260 buah komponen dan sistem pesawat itu termasuk kelajuannya, jarak operasi kombat dan jarak perlepasan serta pendaratan pesawat.
Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2030.
Comments are closed.