Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Generasi 4.5 “KF-21” Nyalakan Enjin Buat Pertama Kali

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat F-5E/F dan F-16 Tentera Udara Korea Selatan.

0 2,374

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Enjin pesawat generasi 4.5 buatan Korea Selatan, KF-21 dinyalakan buat pertama  kali pada Ahad (27 Jun) dalam ujian daratan (ground test) terbaru sebelum ia melakukan penerbangan sulungnya yang dijangkakan berlaku pada akhir bulan depan.

Pesawat terbabit menggunakan enjin F414 yang dibangunkan oleh firma General Electric. Pesawat KF-21 itu memiliki dua enjin.

Enjin F414 juga digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18 Hornet, Tejas MkII dan Gripen NG.

KF-21
Salah sebuah pesawat prototaip KF-21 “Boramae” yang akan melakukan penerbangan sulung bulan depan.

 

Sehingga kini media tempatan Korea Selatan melaporkan bahawa pesawat pejuang terbabit telah melaksanakan lebih daripada 90 peratus ujian daratan yang diperlukan sebelum melakukan penerbangan sulungnya.

Ujian terhadap enjin yang merupakan salah satu ujian darat yang paling penting itu adalah untuk memastikan kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti didakwa oleh syarikat pembuat enjin.

Syarikat aeroangkasa Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) mengambil masa selama 11 tahun untuk membangunkan pesawat prototaip KF-21 itu.

KAI telah membina empat buah pesawat prototaip satu tempat duduk dan dua pesawat protaip dua tempat duduk KF-21 bagi ujian penerbangannya.

Seorang juruterbang Tentera Udara Korea Selatan berpangkat Mejar telah diberikan kepercayaan untuk melakukan penerbangan sulung pesawat KF-21 pada akhir bulan depan itu.

Selepas melakukan penerbangan sulungnya pada akhir bulan depan itu, pesawat KF-21 akan meneruskan ujian penerbangan sehingga tahun 2026.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat F-5E/F dan F-16 Tentera Udara Korea Selatan.

Syarikat aeroangkasa itu yang turut membangunkan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Fighter Aircraft (FLIT/LCA) T-50/FA-50 sebagaimana yang ditawarkan kepada Malaysia, juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat pada tahun 2028.

 Korea Selatan dilapor membelanjakan kira-kira US$8 bilion (RM32 bilion) untuk membangunkan pesawat pejuang KF-21, dengan 20 peratus daripada perbelanjaan itu disumbang oleh Indonesia yang menjadi rakan kongsi kepada program itu.

KF-21
Enjin F414 yang dibangunkan oleh General Electric.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon.

Jika Malaysia berminat untuk mendapatkan pesawat KF-21 itu, ia boleh mempertimbangkan varian Block 3 pesawat itu yang dikatakan diubahsuai untuk menjadi pesawat generasi kelima dan halimunan.

Antara ubahsuai besar yang bakal dilaksanakan pada pesawat KF-21 Block 3 adalah menyediakan tempat penyimpanan untuk bom-bom dan peluru berpandu yang dibawanya atau “internal weapon bays” bagi mengurangkan lagi radar-cross section pesawat itu. — DSA

Comments
Loading...