Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia, Korea Selatan Tandatangani Kontrak FA-50 Selasa Ini – Yonhap

Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong Sup dijadual melakukan lawatan empat hari ke Malaysia bermula hari ini untuk mengadakan perbincangan tentang kerjasama industri pertahanan serta menghadiri majlis menandatangani kontrak penjualan pesawat pejuang ringan FA-50.

0 5,493

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong Sup dijadual melakukan lawatan empat hari ke Malaysia bermula hari ini untuk mengadakan perbincangan tentang kerjasama industri pertahanan serta menghadiri majlis menandatangani kontrak penjualan pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap dalam laporannya berkata Lee akan bertemu dengan rakan sejawatannya daripada Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lee akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin Malaysia itu tentang kerjasama di dalam bidang pertahanan antara kedua-dua negara, selain menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

FA-50
Pesawat FA-50PL Tentera Udara Poland

 

Pameran LIMA ’23 yang bermula esok sehingga 27 Mei menghimpunkan ratusan syarikat pertahanan daripada seluruh dunia, selain turut dihadiri oleh panglima-panglima angkatan tentera serta pegawai kanan mereka.

Menurut Yonhap lagi, Lee akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian bagi eksport pesawat FA-50 itu kepada Malaysia dan beliau juga akan menyatakan komitmen Korea Selatan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama industri pertahanan dengan negara Asia Tenggara itu.

Pada Februari lepas, syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) dan Kementerian Pertahanan Malaysia menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) bagi perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20.

Surat niat itu telah ditandatangani di antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, KANG Goo Young dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz.

FA-50 Block 20 merupakan varian terkini dan paling berkemampuan pesawat FA-50. Selain Malaysia, Poland turut memilih varian FA-50 Block 20.

FA-50

Sebagaimana dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM antaranya bakal dilengkapkan dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon Intelligence & Space.

Maklumat diperolehi juga mengesahkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2”.

Varian pesawat FA-50 Block 20 sebelum ini juga dilaporkan akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) iaitu “ Cobham Mission System” yang dibangunkan oleh syarikat Cobham daripada United Kingdom.

FA-50
Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) perolehan pesawat FA-50 di antara Kementerian Pertahanan dengan Korea Aerospace Industries (KAI) .

 

Pasukan aerobatik  terkenal “Black Eagles” Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang berpangkalan di Wongju, Gangwon Province telah tiba di Langkawi beberapa hari lepas untuk membuat penampilan kedua mereka pada LIMA ’23.

Kali terakhir pasukan aerobatik “Black Eagles” ROKAF itu menyertai LIMA adalah pada 2017 menerusi penyertaan lapan buah pesawat latihan T-50B Golden Eagle yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

Selain pasukan aerobatik “Black Eagles”, Tentera Laut Korea Selatan turut menghantar kapalnya Nojeokbong untuk menyertai segmen maritim LIMA ’23. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...