Kekuatan dan Saiz Angkatan Tentera Mesir “Amat Membimbangkan” – Ketua Tentera Israel
Bercakap dalam temuramah dengan media negara itu, Channel 14 baru-baru ini, Halevi berkata apa yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Mesir pada ketika ini adalah “amat membimbangkan.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Staf Angkatan Tentera Israel (IDF) Lt Jeneral Herzi Halevi yang bakal melepaskan jawatannya tidak lama lagi telah menyuarakan “rasa bimbang” yang turut dikongsi bersama oleh komuniti pertahanan dan keselamatan Israel tentang kekuatan tentera Mesir dan saiz angkatan tenteranya yang besar.
Bercakap dalam temuramah dengan media negara itu, Channel 14, Halevi berkata apa yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Mesir pada ketika ini adalah “amat membimbangkan.”
“Kami sangat bimbang mengenai perkara ini (kekuatan Angkatan Tentera Israel). Mesir memiliki sebuah angkatan tentera yang besar, dilengkapi dengan sistem tempur yang canggih, pesawat, kapal selam, kapal perang, dan kereta kebal moden, serta sejumlah besar pasukan infantry,” katanya.
Walaupun Mesir tidak mendatangkan ancaman kepada Israel pada ketika ini, namun ia boleh berubah pada “bila-bila sahaja” sekiranya terdapat sebarang perubahan terhadap pucuk pimpinan negara itu.
Perkembangan ini susulan laporan Channel 14 pada awal Februari yang mendakwa bahawa pihak Israel telah mula mengumpul risikan mengenai pergerakan dan perkembangan tentera Mesir di Semenanjung Sinai.
Institusi keselamatan dan ketenteraan Israel dilaporkan memperolehi maklumat yang menunjukkan Mesir didakwa sedang mengubah kedudukan pasukannya di Sinai, yang dikatakan melanggar Perjanjian Camp David 1979.


Perjanjian tersebut membahagikan Sinai kepada tiga zon, dengan sekatan ke atas kehadiran pasukan tentera di kawasan tertentu.
Namun, pengubahsuaian terbaru membolehkan pasukan tentera dan keselamatan Mesir dikerahkan ke kawasan yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon bebas tentera.
Seorang penganalisis ketenteraan Israel mendakwa kepada media negara itu bahawa Pentagon telah menghubungi pihak tentera Mesir untuk mendapatkan penjelasan mengenai aktiviti ketenteraan itu.
Namun, pihak Israel dilaporkan tetap meneruskan aktiviti pengumpulan maklumat risikan di Sinai tanpa menunggu campur tangan Amerika Syarikat.
Terdapat peningkatan kebimbangan di kalangan komuniti pertahanan dan keselamatan Israel berkenaan pembangunan dan permodenan Angkatan Tentera Mesir terutama berikutan laporan tentang perolehan pesawat pejuang J-10CE bersama-sama peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15 buatan China oleh Tentera Udara Mesir baru-baru ini.
Media-media pertahanan Israel menyatakan bahawa pemilikan pesawat pejuang J-10C dan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 berkemampuan meningkatkan kemampuan udara Tentera Udara Mesir dan mengubah keseimbangan kuasa udara di Timur Tengah yang sehingga kini dikuasai oleh Israel.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar AESA itu dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300 km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Menurut laman web pertahanan Israel, Nziv, minat Mesir terhadap pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C “Vigorous Dragon” merupakan sebahagian daripada strategi negara Arab itu memodenkan kuasa udaranya dan mempelbagaikan sumber bekalan ketenteraannya daripada terus bergantung dengan Amerika Syarikat.
Kebimbangan komuniti pertahanan dan keselamatan Israel bukan hanya tertumpu kepada kemungkinan Mesir memperoleh pesawat J-10C, tetapi lebih kepada integrasi peluru berpandu PL-15 ke dalam Tentera Udara Mesir.
Peluru berpandu ini, yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Ia berpotensi membolehkan pesawat pejuang Mesir menyerang pesawat musuh dari jarak yang lebih jauh berbanding sebelum ini.
Untuk bertahun-tahun lamanya, Israel bergantung kepada kekuatan udara di rantau ini, terutamanya hasil akses negara itu kepada persenjataan canggih buatan Amerika, termasuk pesawat pejuang generasi kelima, F-35 dan sistem pertahanan udara yang sofistikated.

Namun, kemasukan peluru berpandu PL-15 buatan China itu ke dalam inventori Mesir berpotensi mencabar dominasi Israel dalam kuasa udara, terutamanya kerana peluru berpandu ini mengatasi keupayaan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM buatan Amerika, yang mempunyai jarak efektif yang lebih pendek.
Baru-baru ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa Tentera Udara Mesir berkemungkinan besar telah pun menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang J-10CE buatan China, yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15.
Kemungkinan itu dinyatakan oleh seorang pemerhati aeroangkasa China, Hurin menerusi platform media sosial X miliknya yang menunjukkan dua buah pesawat pejuang J-10CE milik Mesir sedang beraksi.
Tentera Udara Mesir dilaporkan memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang J-10CE buatan China itu.
Dua hari lalu, Kementerian Luar China menafikan ia telah menjual pesawat pejuang J-10CE kepada Mesir,menyatakan laporan itu adalah “berita palsu”.
Selain itu, Mesir juga bercadang menaiktaraf separuh daripada armada kereta kebal utama M1 Abrams miliknya menerusi program menaiktaraf dan permodenan bernilai hampir US$5 bilion (RM22.46 billion) melibatkan 555 buah kereta kebal utama buatan Amerika Syarikat.
