F-35B Lakukan Penerbangan Pertama Dengan Peluru Berpandu Udara-ke-Udara BVR Meteor
Pada 28 Februari lalu, Royal Air Force (RAF) mengumumkan bahawa sebuah pesawat pejuang F-35 Kor Marin Amerika Syarikat telah berjaya melakukan penerbangan pertama bersama-sama peluru berpandu udara-ke-udara Meteor Beyond Visual Range Air-to-Air Missile (BVRAAM).
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah pesawat pejuang generasi kelima F-35B milik Kor Marin Amerika Syarikat telah melaksanakan ujian penerbangan pertama dengan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor, menandakan bermulanya integrasi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh buatan firma pertahanan Eropah pada pesawat pejuang halimunan itu.
Pada 28 Februari lalu, Royal Air Force (RAF) mengumumkan bahawa sebuah pesawat pejuang F-35 Kor Marin Amerika Syarikat telah berjaya melakukan penerbangan pertama bersama-sama peluru berpandu udara-ke-udara Meteor Beyond Visual Range Air-to-Air Missile (BVRAAM).
Ujian itu menggunakan peluru berpandu latihan (inert).
Gambar-gambar yang dikeluarkan menunjukkan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor dibawa dalam ruang senjata sebelah kanan bersama sebuah peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM.
Secara khusus, sebuah F-35B Kor Marin Amerika Syarikat yang ditugaskan kepada Air Test and Evaluation Squadron Two Three (VX-23) telah melaksanakan beberapa penerbangan ujian dari Pangkalan Udara Laut Patuxent River, Maryland.
Ujian penerbangan itu dicapai hasil kerjasama antara kerajaan United Kingdom dan Amerika Syarikat, serta organisasi seperti Kementerian Pertahanan, Defence Equipment & Support, dan rakan industri masing-masing, iaitu MBDA dan Lockheed Martin.

Meteor merupakan peluru berpandu udara-ke-udara utama bagi pihak United Kingdom dan dan digunakan secara aktif dalam operasi oleh pesawat pejuang Eurofighter Typhoon RAF.
Ujian penerbangan itu menandakan kemajuan ke arah bagi membolehkan peluru berpandu Meteor digunakan pada F-35.
Walaupun United Kingdom mengetuai kempen integrasi untuk model F-35B, Itali pula menyokong integrasi bagi model F-35A, membolehkan kedua-dua varian pesawat ini mendapat manfaat daripada keupayaan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor.
“Pencapaian ini (ujian penerbangan) membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan dan industri di peringkat antarabangsa yang telah kita bina. Integrasi peluru berpandu udara-ke-udara Meteor ke dalam pesawat pejuang F-35 Lightning II akan membawa keupayaan tempur udara yang luar biasa kepada United Kingdom serta komuniti F-35 yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan keselamatan dalam kalangan sekutu,” Ketua Peluru Berpandu Udara-ke-Udara RAF Air Commodore Al Roberts.
Seperti yang diketahui, Tentera Udara Itali mengoperasikan kedua-dua varian F-35A dan F-35B, manakala Tentera Laut Itali, RAF dan Tentera Laut Diraja (Royal Navy) hanya mengoperasikan varian F-35B.
Kedua-dua negara telah memutuskan untuk mengintegrasikan senjata buatan firma pertahanan Eropah yang digunakan pada Typhoon ke dalam F-35 mereka.
Pengenalan peluru berpandu baru seperti Meteor pada pesawat pejuang F-35 telah berlangsung sejak sekian lama.

