Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Mahu Miliki Dua Buah Kapal Selam “Impian”, Beberapa Negara Tampil Buat Tawaran

Beberapa negara pembuat kapal selam telah pun secara terbuka menawarkan kapal-kapal buatan mereka kepada kepada Filipina termasuk syarikat-syarikat daripada Sepanyol, Perancis dan Korea Selatan.

0 4,693
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Staff Angkatan Tentera Filipina Jeneral Romeo Brawner menyifatkannya sebagai suatu “impian” bagi negara Asia Tenggara itu untuk memperolehi sekurang-kurangnya dua buah kapal selam dalam program permodenan angkatan tenteranya.
Angkatan Tentera Filipina telah lama “mengidam” untuk memiliki kapal selam, yang disifatkan sebagai aset strategik dalam menangani pencerobohan aset-aset tentera dan pengawal pantai China di kawasan perairan miliknya di Laut China Selatan.
“Ia merupakan impian kami untuk memiliki sekurang-kurangnya dua kapal selam. Kami adalah sebuah negara kepulauan, jadi kami perlu mempunyai keupayaan seperti ini kerana amat sukar untuk mempertahankan seluruh wilayah kepulauan tanpa kapal selam,” kata beliau baru-baru ini.
Dibawah program pemodenan angkatan tenteranya dinamakan Horizon, kerajaan Filipina dilaporkan akan membelanjakan kira-kira US$35 billion (RM154 billion) dalam dekad akan datang untuk memperolehi pelbagai jenis senjata untuk meningkatkan kemampuan angkatan tentera.
Selain kapal selam, Angkatan Tentera Filipina juga dijangka akan memperolehi sekurang-kurangnya dua buah skuadron pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA), dengan JAS39 Gripen dilihat sebagai calon utama berbanding F-16 Block 70 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat.
Pada ketika ini, Tentera Udara Filipina terpaksa bergantung kepada 12 buah pesawat pejuang ringannya FA-50 buatan Korea Selatan untuk mempertahankan ruang udaranya daripada dicerobohi oleh pesawat asing terutamanya daripada China yang mengerahkan pesawat-pesawat pejuang moden yang lebih berkeupayaan.
Navantia
Kapal selam S80 Isaac Peral oleh syarikat Navantia.
Ketua Staf Angkatan Tentera Filipina itu berkata pihak tentera negara Asia Tenggara itu telah mengesan peningkatan dalam tindakan China yang bersifat “tidak sah, bersifat paksaan, dan mengelirukan” di Laut China Selatan.
“Kami juga telah melihat peningkatan jumlah kapal di Laut Filipina Barat setiap hari,” kata Brawner, merujuk kepada istilah yang digunakan Manila bagi perairan di Laut China Selatan yang berada dalam zon ekonomi eksklusifnya.
Beberapa negara pembuat kapal selam telah pun secara terbuka menawarkan kapal-kapal buatan mereka kepada kepada Filipina.
Antaranya adalah syarikat berkaitan kerajaan Sepanyol, Navantia yang menawarkan dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Tentera Laut Filipina dianggarkan bernilai US$1.7 bilion (RM7.65 bilion).
Tentera Laut Sepanyol mengoperasikan empat buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral.
Tawaran itu bukan sahaja meliputi perolehan dua buah kapal selam tetapi juga dengan pembinaan pangkalan kapal selam itu bersama-sama infrastruktur dan lojistiknya di bandar Ormoc yang terletak di wilayah Leyte, Filipina.
Menurut pengurus komersial syarikat Sepanyol itu Guilermo Zamarippa, tawaran dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Filipina itu turut meliputi aspek latihan menyeluruh untuk krew-krew kapal selam negara Asia Tenggara itu, pemindahan teknologi dan penyelenggaraan.
Navantia
Kapal selam S80 Isaac Peral oleh syarikat Navantia
“Syarikat Navantia menawarkan penyelesaian untuk menyokong angkatan kapal selam Filipina dengan konsep kapal selam yang revolusi, interoperabiliti serta keperluan latihan dan pentadbiran,” kata Zamarippa.
Kapal selam kelas-S80 Isaac Peral mempunyai panjang 81 meter dan berkemampuan melancarkan serangan daripada laut ke darat dan melaksanakan pelbagai misi serta operasi termasuk perisikan, aktiviti pemantauan serta operasi anti-permukaan dan anti-kapal selam.
Kapal selam konvensional dibangunkan oleh Navantia itu hanya boleh dioperasikan oleh 32 orang krew.
Ia merupakan aset bawah permukaan air konvensional yang berkemampuan melaksanakan misi-misi jarak jauh kerana ia dilengkapi dengan kemudahan Air Independent Propulsion (AIP), sekaligus membolehkan ia berada di bawah permukaan air selama tiga minggu secara berterusan.
Selain itu kapal selam kelas-S80 Isaac Peral yang ditawarkan kepada Filipina itu berkemampuan melancarkan peluru berpandu Harpoon serta juga peluru berpandu kruis “Tomahawk” yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat untuk melancarkan sasaran darat.
Sebuah lagi syarikat yang menawarkan kapal selam kepada Filipina adalah Naval Group daripada Perancis yang mengemukakan tawaran dua buah kapal selam diesel-elektrik jenis “Scorpene” sebagaimana yang dimiliki oleh Malaysia kepada Manila.
Jang Bogo
Kapal selam Jang Bogo-III oleh syarikat Hanwha Ocean
Malah pada 2022, syarikat Naval Group itu telah pun membuka pejabatnya di Manila bagi memudahkan lagi usaha menjual kapal selam Sorpene itu kepada Tentera Laut Filipina.
Sejak daripada tahun 2020, kerajaan Filipina dilaporkan bercadang untuk memperolehi dua buah kapal selam jenis “Scorpene” yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group.
Menurut syarikat Naval Group, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan “intensif” dengan kerajaan Filipina tentang penjualan kapal selam.
Pada akhir 2020, Setiausaha Luar Filipina pada ketika itu Teddy Locsin dalam satu ciapan menerusi akaun Twitter (kini dikenali sebagai X) miliknya mengatakan bahawa negara itu akan mendapatkan dua buah kapal selam “Scorpene” bagi tentera lautnya.
“We’re getting two French submarines along with the full training over years of several rotations of crew,” katanya dalam ciapan Twitter itu. (Kami akan memperolehi dua buah kapal selam Perancis dengan pakej latihan yang penuh.” (terjemahan).
Sementara itu laporan media online Filipina “Rappler” pada 2022 mendakwa Perancis telah menawarkan dua buah kapal selam kepada Filipina sebagai “pertukaran” kepada kebenaran untuk menyelam dan menyelidik kawasan dasar perairan milik negara Asia Tenggara itu.
Menurut laporan media itu, Perancis telah menawarkan kepada Manila untuk membangunkan dua buah kapal selam diesel-elektrik dipercayai daripada jenis “Scorpene” bagi digunakan oleh Tentera Lautnya.
Kapal selam
Kapal selam “Scorpene” milik Tentera Laut Diraja Malaysia
“Perancis telah menawarkan kepada Filipina untuk membangunkan dua buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik berdasarkan kepada rekabentuk dan standard NATO (North Altantic Treaty Organisation) sebagai pertukaran kepada kebenaran kepadanya untuk ‘menyelidik’ (explore) perairan berdaulat negara,” menurut Rappler.
Sementara itu syarikat Korea Selatan, Hanwha Ocean (sebelum ini dikenali sebagai DSME) tidak ketinggalan daripada bersaing dengan syarikat-syarikat Sepanyol dan Perancis dalam menawarkan kapal selam Jang Bogo-III kepada Tentera Laut Filipina.
Ia adalah varian terkini kepada kepada kapal selam Jang Bogo yang memiliki panjang keseluruhan 77 meter dan dilengkapi dengan sistem propulsion terkini dan teknologi bateri lithium-ion bagi memastikan kapal selam keluaran Korea Selatan itu lebih sukar dikesan oleh musuhnya.
Selain itu, kapal selam yang boleh menempatkan 41 orang krew dan mencapai kelajuan 21 knot  itu juga dilengkapi dengan enam buah tiub torpedo, yang juga berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu
Tawaran sebanyak dua buah kapal selam Jang Bogo-III kepada Filipina itu meliputi pakej latihan, pemindahan teknologi, bantuan lojistik bersepadu, simulator dan kemudahan penyelenggaraan sama ada di Subic Bay  atau mana-mana lokasi yang Tentera Laut Filipina mahukan.
Syarikat Korea Selatan itu menawarkan tempoh pinjaman dengan kadar faedah yang menarik selama tujuh tahun.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.