Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Nuklear British, HMS Vanguard Alami Insiden “Memalukan

Sebuah kapal selam nuklear British, HMS Vanguard mengalami insiden “memalukan” apabila peluru berpandu nuklear Trident II seberat 58 tan miliknya “jatuh” ke laut tidak lama selepas ia dilancarkan daripada kapal selam terbabit.

0 21,884

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal selam nuklear British, HMS Vanguard mengalami insiden “memalukan” apabila peluru berpandu nuklear Trident II seberat 58 tan miliknya “jatuh” ke laut tidak lama selepas ia dilancarkan daripada kapal selam terbabit.

Insiden “memalukan” itu berlaku dihadapan Setiausaha Pertahanan Britain Grant Schapps dan Panglima Tentera Laut negara itu Laksamana Ben Key yang berada di kapal selam terbabit untuk menyaksikan pelancaran peluru berpandu nuklear itu.

Turut bersama berada di dalam kapal selam itu adalah Menteri Perolehan Pertahanan Britain James Cartlidge bersama-sama pegawai-pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat.

Schapps mengesahkan tentang kejadian “memalukan” itu dalam satu kenyataan kepada Parlimen negara itu dua hari lepas selepas insiden itu dilaporkan secara meluaskan oleh media-media British.

Insiden yang dianggap “membimbangkan” oleh media British itu berlaku di perairan Florida bulan lepas, selepas kapal selam nuklear itu selesai menjalani kerja-kerja penyelenggaraan yang memakan masa selama tujuh tahun.

Vanguard
HMS Vanguard

 

Apa yang lebih membimbangkan bagi pemerhati pertahanan negara itu adalah ia adalah kegagalan pelancaran peluru berpandu nuklear yang kedua berturut-turut dialami oleh kapal selam nuklear terbabit.

Dalam ujian pelancaran peluru berpandu nuklear Trident pada 2016, peluru berpandu nuklear Trident dilancarkan oleh kapal selam HMS Vengeance “tersasar” daripada laluan sepatutnya dan terpaksa dimusnahkan tidak lama selepas itu.

Menurut media-media negara itu, peluru berpandu nuklear Trident II itu telah dilancarkan tetapi roket booster peringkat pertama (first stage booster) peluru berpandu itu gagal berfungsi dan menyebabkan ia “jatuh” ke perairan tidak jauh daripada kapal selam HMS Vanguard yang melancarkannya.

Peluru berpandu Trident II itu sepatutnya terbang sejauh 3,500 Batu Nautika (6,500km) dan “mendarat” di Lautan Atlantik di antara bahagian barat Afrika dan Brazil tetapi akhirnya peluru berpandu itu mendarat berhampiran kapal selam itu.

Setiausaha Pertahanan Britain itu menyatakan bahawa insiden “memalukan” itu adalah suatu “anomali” dan tidak menjejaskan kesiapsiagaan peluru berpandu nuklear Trident milik tentera laut negara itu yang lain dan yang berada dalam simpanannya.

Vanguard
HMS Vanguard

 

Insiden “memalukan” yang berlaku terhadap kapal selam nuklear HMS Vanguard katanya, tidak memberikan kesan yang buruk terhadap kemampuan tentera laut negara itu untuk melancarkan peluru-peluru berpandu nuklear.

Kerajaan Britain katanya mempunyai keyakinan penuh terhadap kuasa deterren Tentera Laut British.

Kapal selam nuklear HMS Vanguard merupakan satu daripada empat kapal selam nuklear negara itu yang dilengkapkan dengan peluru-peluru berpandu nuklear Trident yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 4,000 Batu Nautika atau kira-kira 7,500km jauhnya.

Kapal selam HMS Vanguard itu memiliki berat keseluruhan 15,900 tan itu dilapor berkemampuan membawa sehingga 48 butir peluru berpandu Trident.

Kapal selam yang dianggap sudah berusia itu dijadualkan diganti bermula pada 2030 dengan empat buah kapal selam nuklear yang baru kelas-Dreadnought yang kini sedang dibina oleh BAE Systems di limbungannya di Barrow-in-Furniss. — DSA

(BERITA TERKINI TENTANG KAPAL SELAM)

Notis

 

Comments
Loading...