Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sepanyol, Perancis Dan Korea Selatan Bersaing Bekal Kapal Selam Pada Filipina

Dengan peruntukan sebanyak US$35 bilion (RM157 bilion) untuk memodenkan angkatan tenteranya sepanjang 10 tahun akan datang ini, Filipina hampir pasti akan menjadi negara terbaru di Asia Tenggara untuk memiliki kapal selam bagi mengawasi perairannya di Laut China Selatan.

0 2,175

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, Filipina mengumumkan bahawa ia bercadang membelanjakan US$35 bilion (RM157 bilion) sepanjang 10 tahun akan datang ini untuk memoden dan meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya.

Perbelanjaan besar itu adalah untuk memastikan kepentingannya di Laut China Selatan terjamin, pada ketika negara Asia Tenggara itu sedang ditekan dengan hebat oleh China.

Presiden Filipina Ferdinand “Bong Bong” Marcos telah pun meluluskan usaha permodenan yang bermatlamat meningkatkan lagi kemampuan tentera laut, tentera udara,  pemantauan dan aset-aset yang lain.

Antara aset yang berkemungkinan besar diperolehi oleh Filipina buat julung-julung kalinya adalah kapal selam dengan jurucakap tentera lautnya berkata bahawa negara Asia Tenggara itu memerlukan di antara dua hingga tiga buah kapal selam.

Beberapa negara pembuat kapal selam telah pun secara terbuka menawarkan kapal-kapal buatan mereka kepada kepada Filipina.

Kapal selam
Kapal selam “Scorpene” milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Antaranya adalah syarikat berkaitan kerajaan Sepanyol, Navantia yang menawarkan dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Tentera Laut Filipina dianggarkan bernilai US$1.7 bilion (RM7.65 bilion).

Tentera Laut Sepanyol mengoperasikan empat buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral.

Tawaran itu bukan sahaja meliputi perolehan dua buah kapal selam tetapi juga dengan pembinaan pangkalan kapal selam itu bersama-sama infrastruktur dan lojistiknya di bandar Ormoc yang terletak di wilayah Leyte, Filipina.

Menurut pengurus komersial syarikat Sepanyol itu Guilermo Zamarippa, tawaran dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Filipina itu turut meliputi aspek latihan menyeluruh untuk krew-krew kapal selam negara Asia Tenggara itu, pemindahan teknologi dan penyelenggaraan.

“Syarikat Navantia menawarkan penyelesaian untuk menyokong angkatan kapal selam Filipina dengan konsep kapal selam yang revolusi, interoperabiliti serta keperluan latihan dan pentadbiran,” kata Zamarippa.

Kapal selam kelas-S80 Isaac Peral mempunyai panjang 81 meter dan berkemampuan melancarkan serangan daripada laut ke darat dan melaksanakan pelbagai misi serta operasi termasuk perisikan, aktiviti pemantauan serta operasi anti-permukaan dan anti-kapal selam.

Navantia
Kapal selam kelas-S80 Isaac Peral dibangunkan oleh syarikat Navantia.

 

Kapal selam konvensional dibangunkan oleh Navantia itu hanya boleh dioperasikan oleh 32 orang krew.

Ia merupakan aset bawah permukaan air konvensional yang berkemampuan melaksanakan misi-misi jarak jauh kerana ia dilengkapi dengan kemudahan Air Independent Propulsion (AIP), sekaligus membolehkan ia berada di bawah permukaan air selama tiga minggu secara berterusan.

Selain itu kapal selam kelas-S80 Isaac Peral yang ditawarkan kepada Filipina itu berkemampuan melancarkan peluru berpandu Harpoon serta juga peluru berpandu kruis “Tomahawk” yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat untuk melancarkan sasaran darat.

Sebuah lagi syarikat yang menawarkan kapal selam kepada Filipina adalah Naval Group daripada Perancis yang mengemukakan tawaran dua buah kapal selam diesel-elektrik jenis “Scorpene” sebagaimana yang dimiliki oleh Malaysia kepada Manila.

Malah pada 2022, syarikat Naval Group itu telah pun membuka pejabatnya di Manila bagi memudahkan lagi usaha menjual kapal selam Sorpene itu kepada Tentera Laut Filipina.

Sejak daripada tahun 2020, kerajaan Filipina dilaporkan bercadang untuk memperolehi dua buah kapal selam jenis “Scorpene” yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group.

Navantia
S80 Isaac Peral

 

Menurut syarikat Naval Group, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan “intensif” dengan kerajaan Filipina tentang penjualan kapal selam.

Pada akhir 2020, Setiausaha Luar Filipina pada ketika itu Teddy Locsin dalam satu ciapan menerusi akaun Twitter (kini dikenali sebagai X) miliknya mengatakan bahawa negara itu akan mendapatkan dua buah kapal selam “Scorpene” bagi tentera lautnya.

“We’re getting two French submarines along with the full training over years of several rotations of crew,” katanya dalam ciapan Twitter itu. (Kami akan memperolehi dua buah kapal selam Perancis dengan pakej latihan yang penuh.” (terjemahan).

Sementara itu laporan media online Filipina “Rappler” pada 2022 mendakwa Perancis telah menawarkan dua buah kapal selam kepada Filipina sebagai “pertukaran” kepada kebenaran untuk menyelam dan menyelidik kawasan dasar perairan milik negara Asia Tenggara itu.

Menurut laporan media itu, Perancis telah menawarkan kepada Manila untuk membangunkan dua buah kapal selam diesel-elektrik dipercayai daripada jenis “Scorpene” bagi digunakan oleh Tentera Lautnya.

“Perancis telah menawarkan kepada Filipina untuk membangunkan dua buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik berdasarkan kepada rekabentuk dan standard NATO (North Altantic Treaty Organisation) sebagai pertukaran kepada kebenaran kepadanya untuk ‘menyelidik’ (explore) perairan berdaulat negara,” menurut Rappler.

Jang Bogo
Kapal selam Jang Bogo-III oleh syarikat Hanwha Ocean

 

Sementara itu syarikat Korea Selatan, Hanwha Ocean (sebelum ini dikenali sebagai DSME) tidak ketinggalan daripada bersaing dengan syarikat-syarikat Sepanyol dan Perancis dalam menawarkan kapal selam Jang Bogo-III kepada Tentera Laut Filipina.

Ia adalah varian terkini kepada kepada kapal selam Jang Bogo yang memiliki panjang keseluruhan 77 meter dan dilengkapi dengan sistem propulsion terkini dan teknologi bateri lithium-ion bagi memastikan kapal selam keluaran Korea Selatan itu lebih sukar dikesan oleh musuhnya.

Selain itu, kapal selam yang boleh menempatkan 41 orang krew dan mencapai kelajuan 21 knot  itu juga dilengkapi dengan enam buah tiub torpedo, yang juga berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu

Tawaran sebanyak dua buah kapal selam Jang Bogo-III kepada Filipina itu meliputi pakej latihan, pemindahan teknologi, bantuan lojistik bersepadu, simulator dan kemudahan penyelenggaraan sama ada di Subic Bay  atau mana-mana lokasi yang Tentera Laut Filipina mahukan.

Syarikat Korea Selatan itu menawarkan tempoh pinjaman dengan kadar faedah yang menarik selama tujuh tahun. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...