Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Tentera Russia Tarik Keluar Kereta Kebal M1A1 Abrams Yang Telah Musnah

(VIDEO) Hanya beberapa minggu dikerah ke medan pertempuran, satu demi satu kereta kebal M1A1 Abrams dibekalkan kepada Ukraine telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia. Sehingga ini, sebanyak lima buah kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan tentera Ukraine telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

0 9,153

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Klip-klip video di media sosial Russia telah menunjukkan anggota tentera negara itu menarik keluar sebuah kereta kebal M1A1 Abrams bernilai US$10 juta (RM45 juta) sebuah dan seberat lebih 70 tan yang rosak teruk akibat dibedil daripada medan pertempuran di Ukraine.

Kereta kebal M1A1 Abrams yang didakwa sebagai kereta kebal terbaik dunia telah dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine sebagai usaha untuk menangani kemaraan tentera Russia

Tentera Russia berkemungkinan akan membawa kereta kebal M1A1 Abrams yang musnah itu ke Moscow untuk tujuan “kajian” lebih teliti oleh pakar-pakar persenjataan negara itu.

Namun, video kemusnahan kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat itu sedikit-sebanyak telah menjejaskan reputasinya, yang sering didakwa oleh Washington sebagai kereta kebal terbaik dan paling canggih dipasaran.

Amerika Syarikat telah membekalkan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams kepada tentera Ukraine pada tahun lepas, tetapi hanya dikerah ke medan pertempuran terutamanya di sekitar Avdiivka, wilayah Donetsk beberapa minggu lepas.

Bagaimana, hanya beberapa minggu dikerah ke medan pertempuran, satu demi satu kereta kebal Abrams terbabit berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

Sehingga ini, sebanyak lima buah kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan oleh tentera Ukraine telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

Pada awal Mac lepas, kereta kebal M1A1 Abrams pertama dioperasikan oleh Ukraine telah disahkan musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka.

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams pertama dimusnahkan oleh Russia itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan sebelum dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Disebabkan bilangan kereta kebal M1A1 Abrams yang musnah ditangan tentera Russia semakin meningkat, Ukraine (mungkin di atas arahan Washington) terpaksa mengeluarkan kereta-kereta kebal Abrams itu daripada medan-medan pertempuran.

Ia disebabkan ancaman keterlaluan daripada dron-dron pemantau dan berani mati tentera Russia.

Abrams
M1A1 Abrams.

 

Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.

Disebabkan ancaman daripada dron-dron Russia itu, lima daripada 31 kereta kebal Abrams yang diderma oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine disahkan telah musnah dibedil tentera Russia setakat ini.

Amerika Syarikat membekalkan 31 buah kereta kebal Abrams berharga US$10 juta (RM45 juta) setiap sebuah kepada Ukraine pada Januari tahun lepas bagi membantu tenteranya menangani serangan armor oleh pihak Russia.

Bagaimanapun keadaan di medan peperangan Ukraine telah banyak berubah sejak kehadiran kereta kebal Abrams di medan pertempuran, dengan dron-dron pemantau dan berani mati Russia memberikan ancaman yang besar terhadap kereta kebal Amerika Syarikat itu.

Dron-dron pemantau dan berani mati Russia itu telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar kerana ia menjadikan usaha Russia untuk mengesan dan memburu kereta-kereta kebal Amerika Syarikar itu amat mudah.

Abrams
Kereta kebal Abrams terbakar selepas dibedil dron Lancet Russia.
Abrams
Kereta kebal Abrams yang musnah.

 

Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.

Pada ketika ini, kereta-kereta kebal Abrams itu telah “dikeluarkan” daripada medan pertempuran dan Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Ukraine untuk mengubahsuai taktik, kata Timbalan Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat Laksamana Christopher Grady yang muncul sebagai pegawai tentera negara itu yang ketiga mengesahkan “nasib” tentang kereta kebal Abrams di Ukraine itu.

Sebelum ini, Ketua Direktorat Perisikan Tentera Ukraine Lt Jen Kirill Budanov berkata, tempoh kereta kebal Abrams berada di medan peperangan di negara itu akan menjadi amat terhad sekiranya aset darat itu digunakan di barisan hadapan secara semberono.

“Jika kereta kebal Abrams itu digunakan di barisan hadapan atau sebahagian daripada senario kombat, tempoh masanya (kereta kebal Abrams) berada di medan peperangan itu mungkin akan terhad dan tidak lama,” kata beliau. — DSA

 

 

Comments
Loading...