Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jeneral AS Akui Jamming Tentera Russia “Tumpulkan” Keberkesanan Senjatanya Di Ukraine

Pada pertengahan tahun lepas, badan pemikir terkenal di United Kingdom, Royal United Services Institute (RUSI) menyatakan tindakan jamming oleh tentera Russia sangat berkesan sehingga menyebabkan tentera Ukraine, Amerika Syarikat dan NATO tidak dapat memastikan sama ada senjata-senjata canggih mereka seperti JDAM dan HIMARS dapat membedil sasaran dengan tepat.

3,892

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang jeneral  tentera Amerika Syarikat membuat pengakuan bahawa “kelebihan taktikal” pelbagai sistem persenjataan berketepatan tinggi buatan negara itu yang digunakan di Ukraine jauh berkurangan akibat tindakan jamming oleh tentera Russia.

Bercakap kepada media pertahanan negara itu baru-baru ini, Lt Jen Antonio Aguto berkata, tindakan jamming oleh tentera Russia merupakan suatu cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh Amerika Syarikat.

Beliau mengetuai sebuah organisasi “Security Assistance Group-Ukraine” yang bertanggungjawab mengkoordinasi bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Sebelum ini pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat yang enggan dikenali telah mengadu kepada CNN bahawa Russia telah melakukan jamming terhadap sistem persenjataan berketepatan tinggi Amerika Syarikat sehingga menyebabkan gagal mengenai sasaran dengan tepat.

Pegawai-pegawai tentera itu berkata bahawa mereka cuba menangani tindakan jamming itu dengan mengubahsuai pelancar roket itu, tetapi tentera Russia turut bertindak sama dengan melakukan perubahan terhadap sistem jamming mereka.

Storm Shadow
Pesawat Su-24 Ukraine membawa “Storm Shadow”

 

Antara sistem persenjataan Amerika yang terjejas dengan tindakan jamming oleh tentera Russia adalah Guided Multiple Launch Rocket System (GMLRS) yang dibekalkan kepada tentera Ukraine.  

Selain sistem roket berganda GMLRS itu, laporan-laporan oleh tentera Amerika Syarikat yang didedahkan juga menyatakan bahawa Russia turut bertindak jamming bom-bom menggunakan sistem panduan GPS yang dibekalkan oleh negara itu kepada Ukraine.

Menurut pegawai tentera Amerika, Russia telah mengerah pelbagai kemampuan jamming yang canggih ke barisan hadapan termasuk sistem jamming yang boleh menghalang signal GPS sejauh 24km jauhnya.

Tentera Ukraine juga mengadu bahawa dron-dron mereka kerapkali menjadi mangsa jamming oleh tentera Russia dan kemungkinan menjadi punca kepada masalah yang dihadapi oleh sistem Starlink yang digunakan oleh mereka.  

Menurut Aguto lagi, Jabatan Pertahanan Amerika perlu menambah baik senjata dan peralatan pertahanan supaya ia lebih tahan lasak dan fleksibel untuk menangani apa yang dilakukan oleh musuhnya.

JDAM
Bom-bom pintar Joint Direct Attack Munitions (JDAM)

 

“Di dalam tempoh beberapa minggu atau bulan selepas kita mengerahkan sesuatu di barisan hadapan, musuh kita akan mencari jalan untuk menganggu atau menangani kemampuan-kemampuan yang kita perkenalkan itu,” katanya.

Pada pertengahan tahun ini,  badan pemikir terkenal di United Kingdom, Royal United Services Institute (RUSI) menyatakan tindakan jamming oleh tentera Russia sangat berkesan sehingga menyebabkan tentera Ukraine, Amerika Syarikat dan NATO tidak dapat memastikan sama ada senjata-senjata canggih mereka seperti JDAM dan HIMARS dapat membedil sasaran dengan tepat.

“Jamming tidak menyebabkan JDAM tidak dapat digunakan, tetapi ia meningkatkan risiko senjata pintar tidak membedil  sasarannya dengan tepat,” menurut penyelidik RUSI, Thomas Withington.

Walaupun langkah-langkah anti-jamming boleh menangani masalah itu tetapi sistem peperangan elektronik Russia berkemampuan untuk “menenggelamkan” signal GPS daripada satelit, kata kajian badan pemikir itu.

“Masalahnya adalah kekuasaan signal jamming (oleh sistem peperangan elektronik Russia) yang tidak mampu ditangani,” kata Withington.

Sebenarnya, Amerika Syarikat telah pun mengeluarkan amaran tentang kemampuan jamming oleh sistem-sistem peperangan elektronik Russia dalam satu dokumen yang dibocorkan pada April lalu, yang menyentuh tentang penurunan tahap ketepatan senjata-senjata “pintar” negara itu termasuk JDAM dan HIMARS.

Russia
“Zhitel EW system peperangan elektronik ” milik tentera Russia

 

Sistem-sistem persenjataan “pintar” yang menggunakan GPS pada mulanya memberikan Ukraine harapan kerana ia mengurangan kelebihan Russia yang memiliki lebih banyak anggota tentera dan persenjataan

Pada musim panas tahun lepas,  senjata seperti HIMARS yang dibekalkan kepada tentera Ukraine terbukti amat membantunya dalam memporak-perandakan barisan pertahanan tentera Russia, sehingga membolehkan ia merampas semula beberapa bandar besar.

Bagaimanapun “kelebihan” dimiliki oleh tentera Ukraine itu tidak lama kerana selepas Russia membuat beberapa pengubahsuaian dan mula menyesuaikan diri, Kiev mulai kehilangan “kelebihan” itu.

“Bukanlah suatu rahsia lagi bahawa tentera Russia,sama seperti ketika Kesatuan Soviet menghabiskan banyak masa,usaha dan dana untuk membangunkan pelbagai sistem peperangan elektronik,” kata penyelidik RUSI itu. — DSA

(LAGI ARTIKEL TENTANG KEMAMPUAN TENTERA RUSSIA)

Notis

 

Comments are closed.