Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ramai Anak Muda Gurkha Nepal Mohon Sertai Tentera Russia, Kumpulan Wagner

Golongan muda Nepal tertarik untuk menyertai tentera Russia dan kumpulan bersenjata Wagner yang terbabit dengan "pemberontakan bersenjata" di Russia beberapa bulan lepas, berikutan teruja dengan tawaran pekerjaan serta kewarganegaraan Russia kepada mereka yang menyertai tentera Russia.

0 5,676

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Laporan daripada media tempatan di Nepal menyatakan bahawa ramai dikalangan etnik Gurkha yang terkenal dengan kemampuan dan keberanian mereka di medan perang telah memohon untuk menyertai tentera Russia dan kontraktor keselamatan Russia, “Wagner”

Golongan muda Nepal tertarik untuk menyertai tentera Russia dan kumpulan bersenjata Wagner yang terbabit dengan “pemberontakan bersenjata” di Russia beberapa bulan lepas, berikutan teruja dengan tawaran pekerjaan serta kewarganegaraan Russia kepada mereka yang menyertai tentera Russia.

Pada 16 Mei yang lalu, Presiden Russia Vladimir Putin telah menandatangani dekri bagi memudahkan proses memperolehi kewarganegaraan negara itu selepas pemohon menamatkan perkhidmatan keselamatan selama setahun dengan Russia.

Prigozhin
‘Mendiang” Yevgeny Prigozhin (tengah) bertanggungjawab wujudkan kontraktor keselamatan Wagner.

 

Sejak pengumuman dekri itu, laporan media tempatan Nepal menyatakan bahawa ratusan etnik Gurkha terutamanya mereka yang baru sahaja menamatkan perkhidmatan tentera dengan Nepal telah memohon untuk menyertai tentera Russia serta kumpulan bersenjata Wagner.

“Ini adalah suatu situasi yang membimbangkan. Kerajaan Nepal tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka memohon di dalam kapasiti individu,” penganalisis strategik Mejar Jeneral (Bersara) Binoj Basnyat yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Negara kepada media tempatan.

Kedutaan Nepal di Moscow tidak dapat berbuat apa-apa kerana pemohon etnik Gurkha itu memohon atas kapasiti individu manakala kerajaan Nepal pula tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan kerajaan Russia.

Menurut Binoj lagi, sekiranya warga Nepal menjadi anggota tentera mana-mana negara berdaulat, ia perlu sebahagian daripada dasar luar negara atau sebahagian daripada Memorandum Persefahaman atau perjanjian di antara kerajaan Nepal dengan negara lain.

“Dalam isu ini, tiada sebarang perjanjian di antara Nepal dan Russia,” kata penganalisis strategik itu.

Gurkha
Anggota Polis Singapura daripada etnik Gurkha.

 

Beliau berkata, disebabkan masalah pengangguran yang tinggi di Nepal maka ramai di kalangan golongan muda di negara tanah tinggi itu mudah tergoda untuk menyertai tentera Russia atau pasukan keselamatan Wagner.

“Bilangan anak muda di Nepal yang mahu meninggalkan negara untuk mencari peluang pekerjaan semakin bertambah,” kata beliau sambil menambah, pekerjaan di dalam negara tidak menarik untuk golongan muda kerana keadaan persekitaran pekerjaan mereka yang buruk dengan gaji yang ditawarkan pula adalah rendah.

Baru-baru ini, platform media sosial seperti Tik Tok dan Telegram telah memaparkan video-video yang menunjukkan anak-anak muda Nepal menyertai pasukan tentera Russia.

Terdapat juga laporan mengatakan anak-anak muda Nepal turut menyertai Foreign Legion Perancis, tetapi permohonan untuk menyertai tentera Russia adalah lebih mudah berbanding menyertai sebuah angkatan tentera negara Eropah.

Gurkha
Anggota tentera British daripada etnik Gurkha.

 

Media tempatan di Nepal telah memetik seorang anak muda negara bernama “Koshi” yang menuntut di Russia.

Beliau berkata mempunyai dua pilihan sama ada pulang ke Russia selepas tamat pembelajaran di negara dan menganggur atau menyertai tentera Russia.

Menurutnya, walaupun masih di dalam latihan dalam tentera Russia, namun mereka akan tetap menerima gaji sekitar 50,000 Rupee (RM1,790) termasuk insuran dan selepas setahun mereka juga ditawarkan kerakyatan Russia.

“Jikalau di dalam setahun saya tidak mati, maka saya akan tinggal di sini (Russia),” katanya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...