Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Perolehi Dua Buah Kapal Selam Scorpene Evolved Full Lithium-Ion Battery

Kedua-dua buah kapal selam Scorpene Evolved Full Lithium-Ion battery (LiB) diperolehi oleh Indonesia, akan dibina di limbungan kapal milik PT PAL di Indonesia menerusi permindahan teknologi membabitkan syarikat itu dengan Naval Group.

0 2,396

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas memperolehi dua buah kapal peronda bernilai Euro 1.18 bilion (RM5.9 billion) dari Itali, Indonesia kini mengumumkan bahawa ia telah bersetuju untuk membeli dua buah kapal selam daripada syarikat Perancis, Naval Group.

Kontrak perolehan dua buah kapal selam Scorpene oleh Indonesia itu telah ditandatangani pada 28 Mac lalu.

Kedua-dua buah kapal selam Scorpene Evolved Full Lithium-Ion battery (LiB) akan dibina di limbungan kapal milik PT PAL di Indonesia menerusi permindahan teknologi membabitkan syarikat itu dengan Naval Group.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naval Group Pierre Éric Pommellet berkata dalam satu kenyataan bahawa dengan kapal selam Scorpene Evolved Full Lithium-Ion battery, Indonesia telah memilih platform yang berprestasi tinggi, berkemampuan tinggi dan telah terbukti.

“Ia akan memperkuatkan lagi kedaulatan maritim negara dan menyokong Tentera Laut Indonesia dalam mencapai penguasaan serantau di lautan,” kata beliau.

Scorpene

Beliau juga berkata bahawa kerjasama strategik dengan PT PAL akan menyokong industri pertahanan Indonesia bagi untuk keperluan masa depannya.

Presiden PT PAL Dr Kaharuddin Djenod memuji komitmen kerajaan Indonesia untuk memajukan teknologi pertahanan kejuruteraan tempatan, terutamanya dalam teknologi kapal selam.

“Pada masa akan datang, Indonesia dijangka mampu menguasai teknologi kapal selam,” katanya.

Menurut Naval Group, kapal selam Scorpene adalah platform moden, berprestasi tinggi dan halimunan serta direkabentuk untuk beroperasi di laut lepas, selain di kawasan-kawasan perairan cetek.

Ia adalah kapal selam yang pelbagai guna, berkemampuan melaksanakan pelbagai misi seperti anti-permukaan dan anti-kapal selam, operasi khas dan mengumpul maklumat perisikan.

Kapal selam Scorpene disifatkan kapal selam amat laju dan mempunyai tahap operasi otomasi yang membolehkan ia memiliki krew yang terhad sekaligus mengurangkan kos operasinya dengan banyak.

Scorpene

Kelebihan kombatnya pula adalah ia memiliki enam tiub pelancaran yang boleh melancarkan 18 peluru berpandu dan torpedo.

Kapal selam Scorpene dilengkapkan dengan sistem kombat, SUBTICS® yang menangani cabaran pengoperasian kapal selam moden di perairan dalam dan cetek.

“Kapal selam Scorpene Indonesia akan dilengkapi dengan sistem tenaga yang moden berdasarkan kepada konfigurasi lithium-ion penuh merangkumi standard keselamatan yang tinggi,” kata Naval Group.

Antara ciri-ciri utama kapal selam Scorpene Evolved Full Lithium-Ion battery (LiB) yang bakal dimiliki oleh Indonesia itu adalah beratnya adalah di antara 1,600 hingga 2,000 tan, panjang 72 meter, kelajuan ketika menyelam 20 knot, kemampuan menyelam lebih daripada 300 meter dan krew 31 orang.

Ia boleh dibawah permukaan air selama 12 hari.

 Selain daripada dua kapal selam Scorpene Indonesia, Naval Group mempunyai 14 unit lain yang beroperasi atau sedang dalam pembinaan di seluruh dunia, termasuk untuk Tentera Laut Chile, Tentera Laut Malaysia, Tentera Laut Brazil dan Tentera Laut India.

scorpene
Kapal selam konvensional Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Pada 29 Mac lalu, Kementerian Pertahanan Indonesia dan syarikat Fincantieri daripada Itali telah menandatangi kontrak bernilai Euro 1.18 bilion (RM5.9 billion) untuk perolehan dua buah kapal peronda pesisir pantai pelbagai guna kelas-Pattugliatori Polivalenti d’Altura (PPA) untuk tentera laut negara Asia Tenggara itu.

Menurut syarikat pembuat kapal Itali itu, kapal peronda pesisir pantai kelas-PPA adalah kapal fleksibel dan memiliki teknologi yang tinggi.

Ia berupaya melaksanakan pelbagai fungsi, daripada meronda kepada misi-misi menyelamat di laut kepada pertahanan awam dan terlibat dalam misi-misi kombat.

“Kedua-dua buah kapal peronda kelas-PPA itu akan menyokong usaha Indonesia dalam mempertahankan kepentingannya dan menyumbang kepada kestabilan di Indo-Pasifik,” menurut syarikat Itali itu.

Kapal peronda pelbagai guna kelas-PPA “Francesco Morosini” itu mempunyai berat keseluruhan 6,400 tan dan 143 meter panjang serta berkemampuan membawa 170 krew kapal. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...