Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Peroleh Dua Buah Kapal Peronda Pelbagai Guna Dari Itali Bernilai RM5.9 Billion

Menurut syarikat Fincantieri dari Itali itu, kapal peronda pesisir pantai kelas-Pattugliatori Polivalenti d’Altura (PPA) adalah kapal fleksibel dan memiliki teknologi yang tinggi, berupaya melaksanakan pelbagai fungsi, daripada meronda kepada misi-misi menyelamat di laut kepada pertahanan awam dan misi-misi kombat.

0 4,259

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Indonesia dan syarikat Fincantieri daripada Itali telah menandatangi kontrak bernilai Euro 1.18 bilion (RM5.9 billion) untuk perolehan dua buah kapal peronda pesisir pantai pelbagai guna kelas-Pattugliatori Polivalenti d’Altura (PPA) untuk tentera laut negara Asia Tenggara itu.

Menurut syarikat itu pembuat kapal Itali itu, kapal peronda pesisir pantai kelas-PPA adalah kapal fleksibel dan memiliki teknologi yang tinggi.

Ia berupaya melaksanakan pelbagai fungsi, daripada meronda kepada misi-misi menyelamat di laut kepada pertahanan awam dan terlibat dalam misi-misi kombat.

Kedua-dua kapal yang akan diperolehi oleh Indonesia sebelum ini dibina untuk Tentera Laut Itali dan sedang menjalani kerja-kerja pembinaan di Integrated Shipyard di Riva Trigoso-Muggiano, negara Eropah itu.

Tentera Laut Itali merancang untuk memiliki enam buah kapal peronda pesisir pantai pelbagai guna kelas-PPA menjelang tahun 2026, dengan dua buah daripada kapal peronda kelas itu sedang berkhidmat dengan tentera laut negara itu.

ITS Francesco Morosini

Kapal peronda kelas-PPA yang pertama untuk Tentera Laut Itali telah dibina pada 2017.

Menurut kenyataan oleh Fincantieri, minat Indonesia terhadap kapal peronda kelas-PPA itu tercetus menerusi pelayaran ke timur jauh oleh kapal kedua kelas-PPA Tentera Laut Itali, Francesco Morosini yang singgah di Indonesia pada Julai 2023.

Kapal Francesco Morosini itu turut melawat Malaysia untuk menyertai pameran LIMA 2023 di Pulau Langkawi pada Mei tahun lepas, tetapi nampaknya gagal menarik perhatian Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perolehan dua buah kapal peronda pelbagai guna kelas-PPA oleh Indonesia itu dijangka akan mencetuskan lagi kerjasama dan sinergi dalam operasi, industri, teknologi di antara Jakarta dan Rome.

“Kedua-dua buah kapal peronda kelas-PPA itu akan menyokong usaha Indonesia dalam mempertahankan kepentingannya dan menyumbang kepada kestabilan di Indo-Pasifik,” menurut syarikat itu.

ITS Francesco Morosini

Kapal peronda pelbagai guna kelas-PPA “Francesco Morosini” itu mempunyai berat keseluruhan 6,400 tan dan 143 meter panjang serta berkemampuan membawa 170 krew kapal.

Kapal peronda pelbagai guna kelas-PPA itu mampu belayar selaju 32 knot dan membawa peluru berpandu anti-kapal Teseo/Otomat Mk-2/E serta peluru berpandu CAMM-ER atau SCALP ER untuk pertahanan udara.

Kapal Francesco Morosini juga membawa helikopter SH90. — DSA

Iklan

Comments
Loading...