Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Panglima Angkatan Tentera Menyelam Bersama Kapal Selam TLDM di Kepulauan Spratly

Kenyataan oleh TLDM itu menyatakan bahawa program selaman bersama kapal selam TLDM itu dilakukan tidak lama selepas beliau tiba di Stesen LIMA TLDM di Pulau Layang-Layang, yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly.

0 6,814

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman telah mengikuti program selaman bersama kapal selam “Scorpene” milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),KD Tunku Abdul Rahman baru-baru ini.

Menurut kenyataan media sosial yang dikeluarkan oleh TLDM, program selaman itu adalah sebahagian daripada  lawatan kerja rasmi selama dua hari beliau ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Ia adalah lawatan ulung beliau ke perkhidmatan TLDM setelah mengambil alih tugas secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera ke -22 pada 7 Sept yang lalu.

Kenyataan oleh TLDM itu menyatakan bahawa program selaman bersama kapal selam TLDM itu dilakukan tidak lama selepas beliau tiba di Stesen LIMA TLDM di Pulau Layang-Layang, yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly.

Beliau dibawa ke Stesen LIMA dengan menaiki helikopter AW139 TLDM.

Selam
(Kredit TLDM)

“Sepanjang program selaman ini, beliau telah diberi taklimat pengoperasian kapal selam oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir. Kenangan mengikuti penyelaman bersama aset TLDM ini turut dipatrikan melalui ‘Photo Exercise’ (PHOTEX),” menurut kenyataan,

Turut bersama beliau dalam program selam bersama KD Tun Abdul Rahman adalah Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, yang merupakan seorang submariner dan Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad.

Sebagaimana yang diumumkan pada pada pembentangan Belanjawan 2024 bulan lepas, kedua-dua kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak akan melalui kerja-kerja “memasang pulih” (refit).

Sudah 14 tahun TLDM memiliki kedua-dua buah kapal selam “Scorpene” yang dibina oleh firma DCNS (sekarang Naval Group) dan Navantia serta berkemampuan melancarkan torpedo berat “Black Shark” dan peluru berpandu anti-kapal lancaran kapal selam, “SM39 Exocet.”

Hanya Malaysia menggunakan kapal selam jenis “Scorpene” di rantau Asia Tenggara.

Selam
(kredit TLDM)

 

Selepas program selaman itu dengan kapal selam itu, Panglima Angkatan Tentera turut melaksanakan lawatan di Tapak Operasi Skuadron 601 di Stesen LIMA.

Beliau telah diberikan taklimat berkaitan peranan Unmanned Aerial System (UAS) dalam meningkatkan penguatkuasaan tugasan sebagai Intelligence, Surveillence and Recognisance (ISR)di perairan Sabah.

Kehadiran sistem UAS  “ScanEagle” dan peralatan sokongannya sudah semestinya meningkatkan lagi kemampuan ISR TLDM di sekitar Pulau Layang-Layang dan Kepulauan Spratly amnya yang sentiasa “panas” itu.

Dan pada 30 Okt lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan menyatakan bahawa  Kementerian Pertahanan akan meletakkan Radar Jarak Jauh (LRR – Long Range Radar) di Pulau Layang-Layang milik negara yang terletak di dalam Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

 Sebagaimana yang kita ketahui, Kepulauan Spratly yang dikatakan kaya dengan minyak dan gas itu sentiasa “panas” dengan beberapa negara serantau seperti China, Vietnam dan Filipina mendakwa keseluruhan kawasan kepulauan itu atau sebahagiannya adalah hak milik mereka.

Selam
(kredit TLDM)
Selam
(kredit TLDM)

 

China sebagai contohnya, telah menjadikan beberapa terumbu karang di Kepulauan Spratly sebagai pangkalan tenteranya, menempatkan pesawat-pesawat tentera, kemudahan radar dan komunikasi serta kapal-kapal perang.

Tindakan TLDM menempatkan sistem UAS ScanEagle di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang itu sudah semestinya akan meningkatkan kemampuannya untuk mengawasi perairan milik negara di Kepulauan Spratly itu.

TLDM dipercayai memiliki 12 buah sistem UAS “ScanEagle” yang dibangunkan oleh syarikat Boeing-Insitu.

Sistem UAS itu disumbangkan kepada Malaysia oleh Amerika Syarikat di bawah program Maritime Security Initiative (MSI) yang bermatlamat untuk meningkatkan kemampuan pemantauan maritime dan pertahanan negara-negara rakan Washington. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...