Huawei Jadi Punca Amerika Enggan Jual Pesawat F-35 Kepada UAE
Washington dikatakan telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh UAE sebelum negara itu dibenarkan membeli pesawat pejuang tercanggihnya itu dan satu daripada syarat itu adalah UAE mesti menamatkan hubungannya dengan Huawei.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keengganan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menamatkan hubungannya dengan syarikat telekomunikasi terkenal China, Huawei dalam teknologi 5G dikatakan adalah antara punca utama mengapa Amerika Syarikat membatalkan penjualan pesawat F-35 kepada negara Teluk itu.
Washington dikatakan telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh UAE sebelum negara itu dibenarkan membeli pesawat pejuang tercanggihnya itu dan satu daripada syarat itu adalah UAE mesti menamatkan hubungannya dengan Huawei.
Disebabkan kedegilan UAE tidak mahu mematuhi syarat-syarat itu maka keputusan Amerika untuk menjual sehingga 50 buah pesawat F-35 yang diambil ketika pemerintahan Donald Trump itu dibatalkan oleh pentadbiran Presiden Jo Biden pada Disember tahun lepas.
Sebenarnya apa yang dihadapi oleh UAE turut dialami oleh banyak negara – di mana ia terpaksa memilih di antara dua kuasa ekonomi dunia yang masing-masing sedang memperluaskan pengaruh geopolitik mereka.
Walaupun pesawat pejuang tercanggih Amerika Syarikat yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu tidak menggunakan teknologi 5G, tetapi UAE akan menggunakan 5G di stesen-stesen komunikasinya di bumi, menara telekomunikasi di pangkalan-pangkalan udara dan pelbagai kemudahan dan inilah yang dibimbangi oleh Washington.
“Mereka (Amerika Syarikat) bimbang bahawa China akan berpeluang menggunakan kemudahan itu semua untuk memperolehi seberapa banyak maklumat perisikan tentang kemampuan dan bagaimana pesawat F-35 itu beroperasi,” menurut seorang penganalisis Barat.
Setiausaha Pertahanan Pentagon John Kirby mengakui bahawa antara risiko paling utama mengapa Amerika membantah kerjasama UAE-Huawei adalah berkenaan kebimbangan ia akan memberikan China peluang untuk “mengintai” kemampuan dan cara pesawat F-35 itu beroperasi.
Katanya lagi kehendak Amerika Syarikat dalam melindungi keselamatan serta kerahsiaan peralatan dan sistem pertahanannya adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi oleh negara kuasa besar itu.
Bagaimanapun katanya, syarat penting itu tidak hanya dikenakan kepada UAE tetapi kepada semua negara yang memperolehi peralatan pertahanan daripada Amerika Syarikat.
Sebenarnya hubungan di antara UAE dengan Huawei sudah terjalin sejak beberapa tahun dahulu,lama sebelum negara Teluk itu bercadang untuk memiliki pesawat F-35 itu untuk kegunaan tentera udaranya.
Huawei telah pun menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi UAE di dalam bidang 5G dan bermacam-macam perkara serta teknologi.
Kerajaan UAE menggunakan teknologi 5G Huawei untuk muncul sebagai negara Arab paling terkehadapan di dalam bidang digital ekonomi, sekaligus mentransformasi ekonomi negara itu secara keseluruhannya.
Oleh kerana itulah, UAE tidak mudah untuk menamatkan kerjasamanya dengan Huawei yang dianggap amat penting dalam memastikan objektif transformasi negara Teluk itu berjaya direalisasikan.
Pada tahun 2020,Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengumumkan kemungkinan penjualan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-35 Lightning kepada UAE.
Nilai penjualan kesemua pesawat pejuang generasi kelima itu dianggarkan mencecah kira-kira US$23.3 billion (RM93 billion), menurut Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi yang bernaung di bawah Pentagon.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
DSCA berkata, penjualan itu turut melibatkan pelbagai kelengkapan yang datang bersama-sama pesawat pejuang itu, logistic, latihan, Full Mission Trainer, peluru berpandu dan pesawat tanpa pemandu.
Bagaimanapun pada Disember tahun lepas, UAE bertindak menggantung cadangan perolehan pesawat F-35 itu kerana syarat-syarat tidak masuk akal yang dikenakan oleh Washington terhadap negara Arab itu.
Sebaik sahaja menggantung cadangan pembelian pesawat F-35, UAE tidak berlengah dengan mengumumkan perolehan 80 buah pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh Dassault Aviation daripada Perancis dengan nilai US$19 bilion (RM76 bilion). — DSA
Comments are closed.