Strategi Xi Berdepan Amerika Gagal – Penganalisis
Strategi besar Xi Jinping melalui Sidang Kemuncak SCO dan perbarisan ketenteraan mega di Beijing bertujuan mencabar Amerika Syarikat, memberi amaran kepada Taiwan, serta menonjolkan kuasa China di pentas dunia.
Presiden China Xi Jinping telah mengatur sebuah persembahan kuasa dan diplomasi yang dirancang secara strategik dengan perjumpaan Shanghai Cooperation Organisation (SCO) di Tianjin dan perarakan ketenteraan terbesarnya di Beijing untuk menonjolkan kemunculan China di pentas dunia.
Kedua-dua acara itu direka dengan teliti untuk menghantar isyarat kekuatan secara langsung kepada Trump, sebagai amaran kepada Taiwan, dan juga sebagai amaran halus kepada seteru lain serta kuasa serantau bahawa kuasa China kekal tiada tandingan di rantau ini, dan semakin menggugat kuasa Amerika.

Namun, meskipun terdapat usaha untuk membentuk naratif baharu ini dan mengukuhkan sinergi sekutu baharu yang dipimpin oleh China, keraguan serta legasi sejarah konflik yang mendalam dan pakatan rapuh berasaskan kepentingan sementara ini tidak akan bertahan.
Sidang Kemuncak SCO, yang terbesar dalam sejarah, menampilkan Xi menggerakkan kuasa-kuasa untuk menentang hegemoni Amerika.
Perbarisan ketenteraan terbesar Hari Kemenangan yang menandakan ulang tahun ke-80 penyerahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pula direka untuk mempamerkan peralatan dan aset ketenteraan tercanggih, daripada peluru berpandu hipersonik hingga senjata laser dan kapal selam tanpa pemandu, semuanya bertujuan sebagai amaran keras kepada semua pihak termasuk Washington dan Taipei.
Amaran dan Mesej Jelas
Penyertaan Indonesia dan Malaysia sebagai tetamu sidang kemuncak juga merupakan langkah strategik Beijing, menandakan niat untuk meluaskan pengaruhnya melangkaui kebergantungan rakan-rakan teras Eurasia.
Dalam visi strategik Xi, acara seperti Sidang Kemuncak SCO dan perbarisan Hari Kemenangan bukan sekadar peringatan, sebaliknya platform untuk mengukuhkan pakatan yang dipimpin China di pentas dunia.
Ini juga dilihat sebagai isyarat tersirat bahkan kepada sekutu rapat, dengan kehadiran Jong-un dan Putin, bahawa China masih memiliki kelebihan kapasiti ketenteraan berbanding mereka, dan dalam jangka panjang, Beijing masih mempunyai kelebihan kuasa berjiran.
Walaupun ada yang menekankan bahawa kehadiran pemimpin China, Rusia, dan Korea Utara tampil bersama di khalayak umum sebagai tanda perpaduan, ini tidak semestinya menzahirkan kesatuan jangka panjang.
Motif utama di sebalik persembahan Xi ini adalah untuk menghalang Taiwan daripada mencabar tuntutan Beijing, menghalang Taiwan daripada menggunakan kekuatan atau mengisytiharkan kemerdekaan.
Dengan mengaitkan kemenangan Perang Dunia Kedua, Xi turut memperkukuh naratif sejarah bahawa China akan menentang prospek pemisahan sebagaimana ia dahulu menentang pencerobohan asing, yang kekal sebagai mesej tajam kepada pemimpin Taipei bahawa People’s Liberation Army bersedia berperang jika dicabar.
Ini juga adalah mesej langsung kepada Trump – berundur atau berisiko berdepan pakatan kuasa baharu, dan Beijing tidak akan tunduk kepada tarif serta sekatan teknologi Trump, malah ingin menunjukkan bahawa China dan sekutunya bersedia berdepan kuasa AS secara terbuka.
Amaran ini bersifat dua hala: kepada Taiwan, jangan sesekali memikirkan tentang kemerdekaan, dan kepada Amerika di bawah Trump, strategi kepungan anda akan gagal.
Bersama Kami atau Menentang Kami
Naratif ini berbaur ideologi yang menyerupai strategi klasik “you’re with us or against us”: menyertai blok baharu China atau kekal bersama sistem yang dipimpin AS.
Seperti yang ditegaskan Xi dalam ucapannya, dunia perlu memilih antara keamanan atau peperangan, namun realitinya ialah “keamanan” berbeza mengikut tafsiran dan kecenderungan ideologi masing-masing.
Asas mesejnya adalah; sertai kelab kuasa baharu kami dan nikmati manfaat daripada pasaran, pelaburan, dan perkongsian keselamatan China – atau berpihak kepada Washington dengan segala dasar anti-China yang dipelopori Barat dan berdepan kemurkaan dan tindak balas kami.
Keutamaan SCO ditonjolkan: mewakili 43% populasi dunia dan 23% KDNK global, ini dijadikan bukti oleh media China bahawa “sistem alternatif” atau “Global Selatan” di bawah pimpinan Beijing dan Xi mampu menyaingi Barat, sambil membandingkan model baharu ini dengan sistem Barat yang dianggap tidak adil.
Baik SCO mahupun BRICS ditonjolkan sebagai penyedia sokongan kewangan tanpa syarat tersembunyi, sistem perdagangan baharu yang mampu mencabar dominasi dolar, dan kerjasama tanpa syarat demokrasi – tawaran yang disasarkan kepada pihak yang sudah lama menyimpan rasa tidak puas hati terhadap sekatan Barat dan obligasi hak asasi manusia.
Ancaman tersirat dalam langkah Xi ini ialah: mereka yang masih berada di pagar akhirnya akan terpinggir jika blok China terus mendapat momentum dari segi kuasa dan keberkesanan.
Washington melihat pakatan kuasa baharu ini sebagai ancaman sebenar yang sedang meningkat terhadap keamanan dan kestabilan global yang dibina serta dipelihara selama beberapa dekad.
Perangkap Masa Xi: Bahaya Kemuncak Kuasa China atau “Peak China”
Langkah agresif Xi didorong oleh tuntutan mendesak.
China menghampiri kemuncak kuasa nasionalnya dan jendela masa semakin tertutup sebelum faktor ekonomi dan demografi yang merudum memperlahankan kebangkitannya.
Teori Peak China, yang dikemukakan oleh Michael Beckley dan Hal Brands, berhujah bahawa sebagai kuasa yang sedang memuncak, kebangkitan pesat China mula terbantut tetapi masih cukup kuat untuk menjadi berbahaya.
Dalam perkiraan sejarah, kuasa yang berada di kemuncak sering menjadi lebih agresif kerana mereka bimbang akan kemerosotan masa depan.
Seperti yang dihujahkan Beckley, apabila kuasa besar yang berkembang pesat mengalami kemerosotan ekonomi berpanjangan, kebanyakannya akan menggandakan polisi lebih agresif dalam memperkembang pengaruh dan cengkaman, dalam dan luar negara.
Ketegasan Xi kini mungkin mencerminkan mentaliti “now or never”, di mana, berdepan kemerosotan dalaman dan jangka masa yang semakin sempit untuk mencapai objektif 100 Year Marathon menjelang 2049, serta menghadapi kebangkitan semula Amerika di bawah Trump, Beijing mungkin merasakan inilah peluang strategik terbaik untuk menghidupkan semula kebangkitannya.
Pengukuhan kuasa Xi dan penggandaan dasar luar mencerminkan tingkah laku kuasa di puncak.
Di dalam negara, genggaman kuasa semakin diperketatkan, manakala di luar, China di bawah Xi memperluaskan capaian dan mempercepatkan pembangunan armada laut serta keunggulan ketenteraannya untuk menghalang campur tangan Amerika.
Semua langkah ini menepati spektrum apa yang disebut Beckley sebagai “mercantilist expansion”, iaitu menggunakan kuasa negara untuk mendapatkan sumber dan kehadiran ketenteraan di seluruh dunia sebagai sandaran kepada pertumbuhan domestik yang kian perlahan.
Bagi Xi, ini adalah masa untuk membentuk semula sistem dunia berpaksikan China, sebelum kuasa relatifnya merosot dan sebelum AS di bawah Trump kembali memperkuatkan Amerika dan mengekalkan jurang kuasa yang besar.
Keretakan Blok Xi: Ketidakpercayaan dan Pakatan Sementara
Pakatan yang cuba dibentuk Xi terikat atas kepentingan ancaman bersama, tetapi kegusaran dan legasi sejarah yang mendalam terhadap sesama mereka, dan terhadap China, menjadi kekangan.
Walaupun Xi cuba memikat Modi, kedua-duanya sedar akan kecurigaan mendalam.
Beijing dan Delhi pernah berperang sempadan pada 1962 dan bertempur seawal 2020 di Himalaya.
India menyimpan rasa gusar mendalam terhadap niat strategik China, membenci sokongan Beijing terhadap Pakistan dan peluasan melalui projek Belt and Road berhampiran pengaruh India dengan strategi “String of Pearls” untuk mengekang India.
Hubungan Moscow-Beijing turut terpalit dalam kancah sama.
Secara sejarah, Rusia berasa tidak selesa dengan kebangkitan China, khususnya di sepanjang sempadan Siberia yang panjang dan di Asia Tengah, ditambah dengan warisan konflik semasa Perang Dingin.
Kini, Rusia hakikatnya menjadi feeder economy kepada China, dengan ekonominya dan teknologinya semakin bergantung kepada China.
Putin memerlukan sokongan Xi untuk menahan sekatan Barat, namun Kremlin sedar akan batasannya dan berhati-hati untuk tidak terlalu bergantung pada Beijing.
Rusia mengekalkan kerjasama pertahanan kukuh dengan India dan menjual senjata canggih kepada New Delhi, mencerminkan keinginan Moscow untuk mengimbangi pergantungan penuh kepada China.
Malah Moscow lebih mempercayai Delhi berbanding Beijing, menjadi tonggak pertalian rapat sejak era Perang Dingin.
Persaingan antara Moscow dan Beijing juga semakin ketara, daripada perebutan pengaruh di Asia Tengah, persaingan kuasa di Artik, hinggalah perebutan jualan senjata global.
Walaupun Moscow dan Beijing berkongsi musuh sama di Washington, mereka tidak berkongsi perjanjian pakatan rasmi meskipun wujud ikatan “No Limits Ties”, dan masing-masing kemungkinan besar akan bertarung jika kepentingan teras bertembung atau apabila kelangsungan negara dipertaruhkan.
Moscow masih melihat Beijing sebagai potensi ancaman masa depan, dan begitu juga sebaliknya.
Konsep realiti sama juga untuk Korea Utara.
Pyongyang berhutang sebahagian kelangsungannya kepada perlindungan dan sokongan China, namun ia tetap gusar tentang cengkaman Beijing yang juga kadangkala tidak memihak kepada kepentingan nuklearnya, di mana Jong-un tekad untuk mempertahankan kelebihan tersebut.
Pyongyang juga pernah mempermainkan China dan Soviet untuk kepentingannya sendiri.
Lawatan luar biasa Jong-un untuk berdiri bersama Xi dan Putin di Beijing serta menunjukkan solidariti adalah kemenangan propaganda bagi Beijing, namun kesetiaan Pyongyang tidak terjamin.
Pakistan mungkin semakin penting kepada China dengan pelaburan besar Beijing di sana, namun Islamabad juga sering mencari bantuan AS dan tidak mampu mengasingkan Washington sepenuhnya.
Negara Asia Tengah dalam SCO turut memiliki keraguan dalam pengiraan dasar mereka, mengimbangi antara payung keselamatan Moscow dan kekuatan ekonomi China, sambil berhati-hati menjaga kepentingan nasional mereka sendiri.
Banyak daripada mereka juga bimbang terhadap perjanjian infrastruktur berat hutang China serta kehadirannya yang semakin meluas.
Jurang Kepercayaan SCO
SCO tidak mempunyai komitmen mengikat dan rangka kerja seperti pakatan rasmi lain, dan ia bukan pakatan keselamatan atau ekonomi secara penuh.
Piagam SCO mengelak obligasi pakatan ketenteraan, lebih menekankan kerjasama umum melawan keganasan, hubungan ekonomi, dan dialog politik.
Walaupun terdapat persahabatan erat berasaskan ideologi dan musuh bersama, jika konflik tercetus mengenai Taiwan atau Laut China Selatan, tiada jaminan bahawa Rusia atau Iran akan memberikan sokongan.
Negara-negara Global Selatan tidak mahu menghantar mesej salah kepada Beijing dan dengan itu cuba untuk hadir ke inisiatif SCO ini, tetapi kebanyakan daripada mereka masih mengamalkan konsep keseimbangan dan hedging, dan tetap curiga dengan tuntutan meluas dan agresif Beijing ke atas wilayah pertikaian terutamanya di Laut China Selatan.
Pakatan Xi dan SCO kekurangan asas kepercayaan mendalam dan kesepaduan institusi melangkaui aspek ekonomi semata-mata, tidak seperti rangka kerja Barat yang menggabungkan keselamatan, nilai, dan ekonomi yang mengikat serta bertahan.
Percubaan Xi dilihat tidak berjaya dalam melumpuhkan kekukuhan sistem dunia berasaskan Barat sekarang ini, terutamanya dalam aspek keselamatan dan ekonomi.
COLLINS CHONG YEW KEAT
Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa
Universiti Malaya
