Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Duta Perancis Nyata Komitmen Teruskan Pembinaan Kapal LCS Milik TLDM

Walaupun menerima "komitmen" daripada Perancis untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM itu, tetapi bagi kerajaan ia masih belum membuat keputusan sama ada sambung semula pembinaan kapal LCS itu atau membiarkannya "terbengkalai."

0 5,034

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perancis telah menyatakan komitmennya untuk meneruskan projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdasarkan kepada perjanjian asal, walaupun projek bernilai RM9 bilion itu berhadapan kelewatan  selama 43 bulan.

Duta Perancis ke Malaysia Roland Galharague berkata, penglibatan dua syarikat di dalam projek pembinaan kapal perang itu, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan Naval Group (dahulu DCNS) daripada Perancis perlu dikekalkan.

Beliau menaruh keyakinan yang tinggi bahawa projek pembinaan enam buah kapal perang termoden TLDM bernilai RM9.128 bilion itu akan dapat disiapkan tanpa sebarang masalah sebaik sahaja diteruskan semula.

LCS
Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap. (tak tahu bila)

 

“Apa yang saya boleh beri­tahu, projek ini akan diteruskan sehingga tamat dengan pengli­batan Perancis walaupun penyer­taan syarikat kami hanyalah kecil.

“Kami mahu siapkan projek.Tambahan pula ia ada adalah kerjasama Malaysia menerusi syarikat BNS dengan penglibatan secara kecil daripada syarikat Perancis, Naval Group. Kedua-dua syarikat akan terlibat dan itu adalah perjanjiannya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Baru-baru ini,Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah menyatakan hasrat beliau untuk mendapatkan bantuan Perancis dalam menyelesaikan isu pembinaan kapal perang itu.

Pada Januari lepas, Hishammuddin berkata bahawa Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly akan melakukan lawatan ke Malaysia pada 23 Januari, di mana isu berkenaan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM bernilai RM9 bilion yang tertangguh sejak sekian akan dibincangkan.

LCS

“Kita akan meminta kerjasama kerajaan Perancis untuk membantu kita (kerajaan Malaysia) dalam usaha kita untuk memastikan semua perancangan untuk Littoral Combat Ship berjaya dilaksanakan,” kata beliau.

Bagaimanapun sebagaimana yang kita ketahui bahawa lawatan Menteri Pertahanan Perancis ke Malaysia yang dijadualkan pada 23 Januari itu gagal menjadi kenyataan tanpa sebarang sebab diberikan.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” Naval Group itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM6 billion untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit,tetapi malangnya tiada satu pun kapal perang itu berjaya disiapkan.

LCS

Menurut Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein lagi, sehingga 31 Oktober tahun lepas kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan).

Beberapa bulan lepas, ketika berucap di Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan telah mensasarkan pembinaan kapal LCS TLDM yang pertama hanya akan siap sepenuhnya pada tahun 2025, iaitu kira-kira 12 tahun selepas projek pembinaan kapal-kapal perang tercanggih TLDM itu bermula.

LCS
Gambar terkini LCS (kredit BNS)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Itu pun sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan semula pembinaan kapal-kapal perang itu atau membiarkannya terus “terbengkalai.”

Minggu lepas, laporan agensi berita nasional,BERNAMA hari ini memetik Menteri Pertahanan sebagai berkata bahawa keputusan sama ada projek pembinaan kapal LCS itu diteruskan atau sebaliknya memerlukan perincian lanjut.

Dalam ertikata yang lain, kajian masih perlu dilakukan tentang sama ada pembinaan enam buah kapal itu hendak diteruskan atau ia dibiarkan terus “terbengkalai” dan melihat pelaburan mencecah RM6 bilion yang telah dibelanjakan selama ini “hangus.” — DSA

 

Comments
Loading...