Republik Czech Tolak Gripen Dan Pilih F-35, “Tambah Duka” Saab Group
Keputusan Republik Czech memilih F-35 bakal menambah "duka lara" Saab Group yang ketika ini menyewakan 14 buah pesawat Gripen kepada tentera udara negara Eropah Timur itu. Mengapa Republik Czech enggan membeli Gripen dan sebaliknya memilih F-35?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah lagi negara Eropah menolak pesawat pejuang buatan Eropah, sebaliknya mengikut jejak langkah beberapa negara lain di benua itu dengan memilih pesawat pejuang Amerika Syarikat iaitu F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.
Negara Eropah terbabit adalah Republik Czech yang telah pun surat permohonan kepada Amerika Syarikat untuk memperolehi pesawat pejuang F-35.
Dengan surat permohonan yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan negara itu akan membolehkan rundingan di antara Republik Czech dan Amerika Syarikat dimulakan bagi perolehan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Keputusan dibuat oleh Republik Czech itu dilakukan ketika beberapa negara Eropah lain bertindak meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka bagi menangani ancaman daripada Russia.
Pada ketika ini, Republik Czech menyewa 14 buah pesawat pejuang Gripen C/D yang dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat Eropah, Saab Group, dengan kontrak sewaan itu akan berakhir pada tahun 2027.
Apa yang mengecewakan syarikat pembuat pesawat Eropah, Saab Group adalah Republik Czech bukan sahaja memutuskan untuk tidak menyambung sewaan atau membeli pesawat pejuang Gripen tetapi ia memilih pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat,yang kini diibaratkan sebagai “”musuh nombor 1” kepada pesawat-pesawat pejuang Eropah kini.
Ia disifatkan sebagai “musuh nombor 1” kerana pesawat buatan Lockheed Martin itu telah “tapau” pasaran Eropah dengan memenangi kontrak di beberapa negara Eropah lain, mengalahkan pesaingnya yang terdiri daripada pesawat-pesawat pejuang buatan syarikat Eropah.
Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Group, Micael Johansson melahirkan rasa kecewanya berikutan kegagalan syarikat Eropah itu dalam menempa sebarang jualan bagi pesawat pejuang Gripen sejak lapan tahun lepas.
Bercakap kepada media negara itu di ibu pejabat Saab di Stockholm pada 26 Ogos lepas, beliau berkata pesawat pejuang Gripen gagal menepati sasarannya dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.
Kali terakhir pesawat pejuang Gripen berjaya memenangi persaingan membekalkan pesawat kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion.
Daripada segi prestasi dan kemampuan pesawat pejuang itu, Johansson berkata, tiada apa yang membeza Gripen dengan pesawat-pesawat pejuang yang setanding dengannya.
Kini, Gripen bakal kehilangan satu lagi pelanggan berpotensi kepada F-35 iaitu Republik Czech.
Jika Republik Czech kekal memilih F-35,maka ia akan menjadi hanya negara Eropah Timur kedua selepas Poland yang memilih 32 buah pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat itu dengan nilai US$4.6 bilion (RM18.4 bilion).
Belgium menjadi negara Eropah yang pertama membeli pesawat F-35 pada 2018 dengan komitmen untuk memperolehi 34 buah pesawat F-35A, diikuti oleh Poland dua tahun selepas itu dengan memperolehi 32 buah pesawat F-35A.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Pada 2021, Finland menggantikan pesawat F/A-18 Hornet dengan membeli 64 buah pesawat F-35 itu.
Baru-baru ini, Jerman pula merancang untuk mendapatkan 35 buah pesawat F-35A bagi menggantikan pesawat pejuang Tornado-miliknya yang berkemampuan membawa bom-bom nuklear.
Beberapa bulan lepas,kerajaan Switzerland juga telah menandatangani kontrak pembelian 36 buah pesawat F-35A bernilai US$6.25 bilion (RM25 bilion) bagi menggantikan pesawat-pesawat F/A-18 Hornet dan F-5E. — DSA
Comments are closed.