Azerbaijan Bakal Jadi Pelanggan Terbaru Pesawat Pejuang JF-17 “Thunder” Block III
Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Azerbaijan dilapor sedang berunding dengan Pakistan untuk memperolehi sejumlah varian terkini pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Block III dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai US$1.6 billion (RM7.2 billion).
Sekiranya Azerbaijan benar-benar memperolehi pesawat pejuang JF-17 Block 17 itu, maka ia adalah suatu “kemenangan besar” bagi Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China yang bersama-sama membangunkan pesawat pejuang itu.
Perjanjian itu akan meliputi aspek latihan dan sistem persenjataan yang bakal melengkapkan pesawat pejuang JF-17.
Menurut laporan oleh Air Operations Syndicate, pesawat-pesawat JF-17 Block III yang bakal diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.
Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.
Bagaimanapun bagi negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas, Azerbaijan banyak membeli senjata untuk angkatan tenteranya daripada negara-negara seperti Turkiye dan Israel.
Menjelang tahun ini atau tahun depan, Tentera Udara Pakistan dilaporkan akan memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block 3 bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block 2 yang dimilikinya pada ketika ini.
Pesawat pejuang JF-17 Block 3 dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block 3 itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.
Penganalisis pertahanan Pakistan menyifatkan JF-17 Block 3 sebagai “game changer” dalam persaingan udara negara itu dengan musuh tradisinya, India.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block 3 berbanding JF-17 Block 2 adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India. — DSA
(LAGI ARTIKEL TENTANG JF-17 “THUNDER”)
Comments are closed.