Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lapangan Gas Asli Shah Deniz, Permata Tidak Ternilai Azerbaijan

Menurut pakar-pakar industri minyak dan gas, Lapangan Gas Asli Shah Deniz di Azerbaijan itu dipercayai memiliki sehingga 1.2 trillion meter padu gas dan 240 juta tan kondensat yang boleh diteroka. Nilai Lapangan Gas Asli Shah Deniz ini tidak dapat dianggarkan...

0 5,499

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lapangan gas asli Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia yang kononnya telah “dirampas” oleh waris Kesultanan Sulu daripada pihak Petronas merupakan lapangan gas asli terbesar di Azerbaijan dan adalah di antara lapangan gas asli terbesar di dunia.

Lapangan gas asli Shah Deniz itu terletak kira-kira 100km di selatan Baku, ibu negara Azerbaijan dan  telah ditemui pada tahun 1999 oleh syarikat British Petroleum (BP) yang menjadi operator pembangunan di lapangan itu dengan kepentingan sebanyak 29.9 peratus kepentingan.

Projek pembangunan lapangan gas asli itu dilaksanakan secara Production Sharing Agreement (PSA).

Azerbaijan

Kawasan lapangan gas asli Shah Deniz ini adalah besar iaitu meliputi kira-kira 860km persegi dengan kedalaman lautnya adalah di antara 50 meter hingga 50 meter.

Menurut pakar-pakar industri minyak dan gas, Lapangan Gas Asli Shah Deniz ini dipercayai memiliki sehingga 1.2 trillion meter padu gas dan 240 juta tan kondensat yang boleh diteroka.

Usaha untuk meneroka lapangan gas asli di Azerbaijan ini dilakukan dalam dua tahap, dengan ia berkemampuan untuk menghasilkan 26 bilion meter padu gas di dalam setahun.

Fasa pertama pembangunan Lapangan Gas Asli Shah Deniz bermula pada tahun 2006 dengan matlamat untuk menghasilkan 10 bilion meter padu gas setahun manakala fasa kedua pembangunan lapangan itu adalah untuk menghasilkan 16 bilion meter padu gas bermula pada tahun 2018.

Pada ketika ini, selepas kedua-dua fasa pembangunan lapangan gas asli ini dilaksanakan, operatornya  yang merupakan syarikat BP telah berjaya menghasilkan 20 bilion meter padu gas setahun dan 4.2 juta meter padu kondensat.

Shah Deniz
Jaringan paip-paip gas asli mamastikan gas asli daripada Lapangan Shah Deniz di Azerbaijan boleh dijual di benua Eropah.

 

Gas asli yang diteroka daripada Lapangan Gas Asli di Shah Deniz, Azerbaijan itu kemudiannya diangkut menggunakan jaringan paip-paip untuk dijual kepada pasaran-pasaran Azerbaijan, Georgia dan Turki.

Sejak Disember 2020, gas daripada projek itu juga telah dihantar ke benua Eropah menerusi sistem paip gas,

Pembabitan syarikat minyak dan gas negara, Petronas dalam projek pembangunan Lapangan Gas Asli Shah Deniz di Azerbaijan bermula pada 2014 apabila ia membeli 15.5 peratus kepentingan di dalam projek itu daripada syarikat minyak dan gas Norway, Statoil (kini dikenali dengan nama Equinor ASA)

Pembelian 15.5 peratus ekuiti oleh Petronas yang dianggar bernilai US$2.25 bilion itu turut meliputi ekuiti syarikat Statoil di dalam South Caucasus Pipeline Co.

Bagaimanapun pada Februari lepas, Petronas mengesahkan bahawa ia telah bersetuju untuk melupuskan kepentingannya di dalam projek pembangunan gas asli di Azerbaijan kepada syarikat Russia, LUKOIL dalam urusniaga yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (US$2.25 bilion).

Azerbaijan

Hasil daripada penjualan ekuiti milik Petronas itu kepada LUKOIL, pegangan syarikat minyak dan gas Russia pada projek Lapangan Gas Shah Deniz itu kini adalah sebanyak 19.99 peratus.

Kini BP sebagai operator memiliki 29.99 peratus dalam projek Lapangan Gas Shah Deniz, TPAO (19 peratus), SOCAR (14.3 peratus), NICO (10 peratus) dan SGC (6.67 peratus).

 Apa menjadi persoalan orang ramai dan pemerhati industri adalah mengapa PETRONAS mengambil keputusan untuk melupuskan kepentingan perniagaannya di dalam projek gas asli Shah Deniz di Azerbaijan itu ketika harga gas asli di Eropah dan seluruh dunia sedang melambung tinggi disebabkan konflik di antara Ukraine dan Russia pada ketika.

Beberapa hari lepas, waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – dilaporkan telah merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Laporan oleh Financial Times yang berpangkalan di London mengatakan bahawa peguam pihak yang menuntut telah merampas syarikat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion (RM8 bilion).

Petronas

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan balas,Petronas berkata kedua-dua anak syarikatnya,  Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan segala aset mereka di Republik Azerbaijan.

Ia berkata, segala hasil daripada perlupusan telah pun dikembalikan dengan sewajarnya.

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah pun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya, “ kata syarikat minyak dan gas negara itu. — DSA

 

Comments
Loading...