(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kini selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), persoalan yang bermain di fikiran adalah sama ada kita akan mendapat kerajaan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).
Ini adalah kerana kedua-dua gabungan parti itu merupakan pemenang terbesar di dalam PRU15 dan terpulanglah kepada masing-masing untuk cuba membentuk gabungan baru bagi mencapai majoriti mudah 112 kerusi bagi menubuhkan kerajaan.
Bagi admin, apa yang bermain di fikiran pada ketika ini adalah nasib beberapa program perolehan Kementerian Pertahanan yang telah bermula ketika kerajaan terdahulu yang diketuai oleh Barisan Nasional (BN) dan menteri pertahanan Hishammuddin Hussein.
Adakah program-program perolehan aset-aset pertahanan yang baru itu akan diteruskan atau ia ditangguhkan oleh kerajaan baru kelak?
Apakah program-program Kementerian Pertahanan yang admin fikirkan berisiko tinggi dikaji semula atau ditangguhkan oleh pentadbiran kerajaan yang baru?
Admin berpandangan program yang berkemungkinan besar akan mengalami penangguhan sudah semestinya adalah usaha Kementerian Pertahanan untuk memulakan kembali pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang sebelum ini sudah pun terlewat selama tiga tahun akibat pelbagai masalah.
Ketika Kementerian Pertahanan dipimpin oleh Hishammuddin, beliau menyatakan bahawa pembinaan kapal-kapal itu akan bermula semula pada Januari depan.
Admin menjangkakan program LCS itu akan ditangguhkan lagi sementara kerajaan baru atau menteri pertahanan yang baru cuba mendalami masalah-masalah yang dihadapi dalam menyiapkan keenam-enam buah kapal perang termoden Malaysia bernilai RM9 bilion.
Kerajaan atau menteri pertahanan baru mungkin mahu “mencungkil” lebih dalam berkenaan permasalahan projek pembinaan kapal LCS itu dan membawa mereka yang benar-benar bertanggungjawab ke atasnya ke muka pengadilan.
Walaupun usaha itu adalah baik, tetapi ia mungkin juga bermakna program pembinaan kapal LCS itu akan mengalami lagi banyak penangguhan.
Tidak tahulah, berapa lama keenam-enam kapal LCS itu akan siap.
Terdapat juga kemungkinan bahawa program pembinaan enam buah kapal LCS itu akan dibatalkan jikalau masalah yang menyelubungi program itu terlalu besar untuk dikendalikan oleh kerajaan baru atau menyebabkan kerugian berbilion ringgit lagi kepada negara.
Satu lagi program Kementerian Pertahanan yang berhadapan dengan masa depan yang terumbang-ambing berikutan keputusan PRU15 semalam adalah perolehan di antara 18 hingga 36 buah pesawat pejuang ringan (FLIT/LCA) yang dianggarkan bernilai RM4 bilion hingga RM8 bilion.
Dengan jangkaan keadaan ekonomi global yang sukar pada tahun depan, kerajaan baru mungkin lebih berminat untuk berbelanja dengan cermat, yang bermakna bahawa perolehan-perolehan bernilai tinggi berkemungkinan akan ditangguhkan buat sementara waktu.
Selain itu, admin menjangkakan kerajaan baru itu mungkin akan memastikan proses perolehan aset pertahanan Malaysia lebih telus dan bebas daripada segala elemen rasuah, maka keputusan tentang perolehan pesawat pejuang ringan itu mungkin akan mengambil lebih banyak masa selepas ini.
Banyak ketidaktentuan berkenaan projek ini apabila tampuk pemerintahan negara beralih selepas PRU15.
Jikalau program perolehan pesawat pejuang ringan itu ditangguhkan lagi, adalah amat malang kerana selepas menunggu beberapa tahun kita sebenarnya sudah sampai ke penghujung kepada proses perolehan itu dengan penilaian fizikal pesawat terpilih telah pun dilakukan oleh TUDM baru-baru ini.
Satu lagi program perolehan aset pertahanan yang berdepan ketidaktentuan selepas ini melibatkan perolehan 18 buah sistem meriam bergerak (self propelled howitzer) yang dikatakan bakal memihak kepada sistem ‘Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh syarikat Turki, MKE.
Perolehan sistem meriam bergerak ini diselubungi kontroversi dengan pelbagai dakwaan yang tidak sedap didengar sebelum ini.
Nampaknya, PRU15 telah membuatkan persaingan untuk membekalkan sistem meriam bergerak itu kepada Tentera Darat “terbuka semula” dengan Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan dan menteri yang baru dijangka melakukan perolehan sistem itu menerusi proses tender terbuka.
Nampaknya perolehan sistem meriam bergerak itu akan mengambil lebih banyak masa sebelum direalisasikan.
Keputusan PRU15 semalam juga menyebabkan ketidaktentuan terhadap program perolehan lapan buah lagi kapal-kapal LMS (Littoral Mission Ship) Batch Kedua yang amat diperlukan oleh TLDM tetapi bakal menelan belanja berbilion-bilion ringgit.
Kerajaan dan menteri pertahanan baru sudah tentu tidak mahu episod hitam kapal LCS itu berulang dan akan bertindak lebih berhati-hati sebelum melaksanakan program perolehan kapal-kapal LMS Batch Kedua.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Sikap lebih berhati-hati itu sudah pasti akan menyebabkan kerajaan baru mengambil lebih banyak masa sebelum membuat keputusan tentang program LMS Batch Kedua itu.
Apapun, admin berharap kerajaan dan menteri pertahanan yang baru lebih pro-aktif dalam menangani masalah keusangan bukan sahaja di dalam TLDM, tetapi juga di TUDM dan TDM. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
.