Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas Bankrap, Syarikat MD Helicopters Kini Ada Pemilik Baru

Kementerian Pertahanan memperolehi enam buah helikopter penyerang ringan MD530G dibuat oleh syarikat MD Helicopters daripada Amerika Syarikat bernilai RM320 juta itu pada 2015, namun penghantarannya mengalami kelewatan beberapa kali. Tidak lama selepas menghantar helikopter itu kepada Malaysia pada Februari lepas, syarikat MD Helicopters itu jatuh bankrap, tetapi kini ia memiliki pemilik yang baru.

0 4,391

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Syarikat pembuat helikopter Amerika Syarikat, MD Helicopters yang jatuh bankrap di bawah undang-undang negara itu tidak lama selepas ia menghantar enam buah helikopter penyerang ringan MD530G kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , kini mempunyai pemilik yang baru.

Baru-baru, dilaporkan bahawa syarikat pembuat helikopter yang bermasalah itu telah dibeli oleh sekumpulan pelabur dan kini mempunyai pasukan pengurusan yang baru.

Syarikat helikopter berpengkalan di Arizona itu telah dibeli oleh konsortium pelabur termasuk MBIA Insurance Corp, Bardin Hill dan MB Global Partners dan telah melantik Brad Pedersen yang pernah bertugas dengan syarikat Boeing dan Sikorsky sebagai ketua pegawai eksekutifnya.

Syarikat MD Helicopters membuat helikopter untuk pasaran awam dan tentera.

“Fokus utama kami pada ketika ini adalah meningkatkan lagi sokongan kepada pelanggan dan memperbaiki lagi hubungan dengan pelanggan dan melaksanakan lagi pelan penjualan pesawat dengan lebih agresif,” kata Pedersen dalam satu kenyataan yang dipetik oleh portal pertahanan, Defense News baru-baru ini.

MD530G
Keenam-enam buah helikopter penyerang ringan MD530G. (credit MD Helicopters)

 

Selain Pedersen, Edward Dolanski yang pernah menjawat jawatan di Boeing dan Raytheon Aircraft Co juga akan menyertai syarikat bermasalah itu dan mempengerusikan lembaga pengarahnya.

MD Helicopters tidak memberikan nilai terhadap pembelian syarikat itu oleh konsortium pelabur terbabit, bagaimanapun menyatakan bahawa ia telah cuba mencari jalan penyelesaian untuk menjual syarikat itu sejak tahun lepas bagi membolehkan ia bergerak ke hadapan dengan pemilik baru.

Beberapa bulan lepas, syarikat MD Helicopters itu telah membuat permohonan bankrap di bawah Chapter 11  undang-undang Amerika Syarikat.

Permohonan bankrap oleh syarikat MD Helicopters itu berlaku tidak lama selepas keenam-enam buah helikopter MD530G itu tiba di negara ini pada Februari lepas.

Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian perolehan enam buah helikopter bernilai RM320 juta itu pada 2015, namun penghantarannya mengalami kelewatan beberapa kali.

MD530G

Menurut laporan media asing baru-baru ini, permohonan bankrap oleh syarikat MD Helicopters dibawah Chapter 11 undang-undang Amerika Syarikat itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk menyuntik syarikat dengan dana sebanyak US$60 juta (RM240 juta) dan membebaskannya daripada hutang serta mempercepatkan penjualan aset-asetnya.

Dalam satu kenyataan, syarikat MD Helicopters menyatakan walaupun terdapatnya permohonan bankrap di bawah Chapter 11 undang-undang Amerika Syarikat, namun syarikat akan meneruskan operasi seperti biasa dan ketika syarikat menjalani penstrukturan semula, yang mungkin melegakan pelanggan-pelanggannya termasuk Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Kementerian Pertahanan.

Menurut laporan media asing lagi, syarikat telah cuba untuk mencari pembeli sejak Ketua Pegawai Eksekutif Lynn Tilton meninggalkan MD Helicopters pada bulan Mac 2020.

Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd (HOSB) telah dianugerahkan kontrak oleh Kementerian Pertahanan pada 2015 untuk perolehan enam buah helikopter MD530G bernilai RM321 juta.

MD530G
Sebuah helikopter tempur ringan MD530G dilengkapi dengan pod mesingan pada raptaiLatihan Kuasa Tembakan 2022. (kredit Tentera Darat Malaysia)

 

Pada 2017, Destini Group memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti dalam HOSB melalui anak syarikat milik penuhnya Destini Prima Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan pada Jun lepas, Ssyarikat Destini Bhd (Destini) berkata ia telah menyelesaikan penghantaran enam buah helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G kepada Tentera Darat Malaysia selepas  proses ‘Final Acceptance Test’ (FAT) terhadap helikopter itu yang dibangunkan oleh syarikat MD Helicopters Inc daripada Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia itu, syarikat itu berkata, selepas selesainya FAT maka keenam-enam buah helikopter itu telah ditakrifkan sebagai ‘layak terbang’ (airworthy).

Syarikat juga berkata dengan selesainya penghantaran enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G itu kepada Tentera Darat maka syarikat boleh mengambil peluang (leverage) dengan memanfaatkan kepakarannya dalam kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) terhadap helikopter tempur ringan itu dan helikopter lain yang berkhidmat dengan cabang Angkatan Tentera Malaysia yang lain.

Keenam-enam helikopter tempur ringan itu akan dioperasikan oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan ditempatkan di pangkalan PUTD di Kluang serta di ESSCOM di Pantai Timur Sabah.

MD530G

Kesemua enam helikopter itu tiba di negara ini pada Februari lepas selepas 31 hari melalui jalan laut untuk tiba di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada kontrak, lapan juruterbang dan lima mekanik daripada Pasukan Udara Tentera Darat telah menyelesaikan latihan operasi Forward Arming and Refuelling Point (FARP) di West Texas.

Keenam-enam helikopter itu adalah helikopter penyerang ringan yang berdasarkan kepada airframe Model 500/530.

Helikopter MD530G sebagaimana dioperasikan oleh Malaysia itu menyaksikan ia mengintegrasi sensor  Wescam L3 MX10D dan Pathfinder Ares Weapons Management System daripada Tek Fusion.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Integrasi sistem-sistem terbabit adalah untuk membantu penggunaan Dillion M134 Mini Gun, FN Herstal Heavy Machine Gun dan Rocket Machine Gun pods serta 2.75-inch Folding-Fin Aerial Rockets (guided and unguided).

Helikopter penyerang ringan MD530G itu memberikan kemampuan close-in support pada waktu malam  atau siang selain kemampuan pemantauan serta pengawasan.

ATM membeli keenam-enam buah helikopter penyerang ringan bernilai RM321 juta itu pada 2015 sebagai reaksi negara terhadap insiden pencerobohan kumpulan bersenjata daripada selatan Filipina di Lahad Datu pada 2013. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments
Loading...