Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jangan Ulangi “Episod Hitam” LCS Pada Program Pesawat FLIT/LCA

Apa yang terjadi dalam isu pembinaan enam buah kapal LCS TLDM itu jangan sesekali diulangi di dalam projek perolehan aset selepas ini terutamanya yang membabitkan perolehan 18-36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk TUDM.

0 4,545

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang telah didedahkan oleh laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam berkenaan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) semalam, adalah penting pemilihan sesuatu aset pertahanan itu perlu mengikut cadangan pengguna akhir (end user).

Pengguna akhir berkemungkinan terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia mahupun Tentera Laut Diraja Malaysia dan mereka inilah yang sepatutnya mempunyai kata putus tentang apa yang “perlu dibeli.”

Jikalau prinsip ini dihormati di dalam isu enam buah kapal LCS, berkemungkinan TLDM sudah memperolehi enam buah kapal LCS mengikut rekabentuk SIGMA oleh syarikat Damen yang telah terbukti (proven)  dan menjadi pilihan TLDM.

LCS

Jikalau prinsip “end-user decision” itu dihormati, maka rekabentuk LCS berdasarkan kapal Gowind yang “tidak terbukti (unproven)” itu sudah tentu bukanlah pilihan.

Sebaliknya, sebagaimana yang didedahkan oleh Laporan PAC, rekabentuk kapal boleh diubah dengan sewenang-wenangnya dua bulan selepas rekabentuk akhirnya ia dipersetujui dan ia telah menjadi punca kepada segala-gala masalah.

Kontraktor kena ikut cakap end-user dan bukan sebaliknya.

Malah, rekabentuk terperinci (detailed design) kapal LCS milik TLDM itu sebagaimana yang telah didedahkan oleh laporan, masih belum lagi siap sehingga kini.

Pilih rekabentuk sebuah kapal peronda 2500 tan, tetapi mengubahnya untuk menjadi kapal LCS seberat 3100 tan.

LCS

Sebagai anggota tentera yang professional, mereka mempunyai pengetahuan mendalam tentang kelebihan atau kekurangan sesuatu aset itu dan sebab itulah keputusan berkenaan pembelian sesuatu aset hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan mereka yang pakar.

Ahli politik atau “salesmen” tidak perlu mencampuri urusan pembelian mana-mana aset pertahanan kerana ia diluar bidang kepakaran mereka.

Janganlah keputusan mengenai apa-apa aset yang akan digunakan oleh ketiga-tiga cabang angkatan tentera itu ditentukan oleh mereka-mereka yang berkepentingan, terutama yang mengejar komisen jualan kerana padahnya terhadap keselamatan negara adalah buruk.

Di dalam isu enam buah kapal LCS itu, kita sepatutnya sudah memiliki enam buah kapal LCS untuk memelihara kedaulatan perairan negara terutamanya di Laut China Selatan yang kini diancam oleh kapal-kapal milik China.

Sebaliknya, disebabkan kegagalan mengurus projek LCS ini, TLDM berhadapan dengan kekurangan enam buah kapal perang yang dianggap paling moden di dalam armadanya (apabila ia siap) untuk mengawal dan memelihara kedaulatan perairan negara.

Sigma
Kapal frigate mengikut rekabentuk SIGMA oleh Damen.

 

Sudah berapa kali kapal-kapal milik China di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu dicerobohi kapal-kapal milik China pada tahun ini atau tahun-tahun sebelum ini???????

Disebabkan kegagalan menyiapkan pembinaan enam buah kapal LCS, TLDM terpaksa berterusan bergantung kepada aset-asetnya yang telah berusia untuk terus berkhidmat.

Di sesetengah negara lain, aset-aset seperti yang digunakan oleh TLDM sudah lama ditamatkan khidmat dan menjadi bahan pameran di muzium.

Berlainan dengan projek-projek infrastruktur yang lain, projek melibatkan perolehan aset-aset pertahanan untuk angkatan tentera memberikan kesan yang amat mendalam terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Sebab itulah, projek-projek perolehan aset pertahanan ini perlu dikendalikan oleh mereka yang pakar.  

FA-50
Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh KAI

 

Apa yang terjadi dalam isu pembinaan enam buah kapal LCS TLDM itu jangan sesekali diulangi di dalam projek perolehan aset selepas ini terutamanya yang membabitkan perolehan 18-36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk TUDM.

TUDM sebagai end-user perlu diberikan kebebasan untuk memilih pesawat FLIT/LCA pilihan mereka kerana pada akhirnya merekalah yang akan menggunakan pesawat itu.

Tejas
Pesawat Tejas yang dibangunkan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

 

Tidak ada pihak sepatutnya “memaksa” atau menggunakan pengaruh mereka terhadap TUDM supaya memilih pesawat tertentu.

Defence Security Asia berharap pesawat FLIT/LCA yang bakal dipilih itu terdiri daripada pesawat yang telah terbukti (proven)  kemampuan dan keupayaannya di medan sebenar serta digunakan oleh negara-negara lain.

— DSA

 

Comments
Loading...