Ketua Polis Negara Periksa Kenderaan Perisai IAG Guardian 4×4 Pasukan Gerakan Am
Perolehan kenderaan perisai tersebut telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan bakal digunakan oleh PGA untuk mempertingkatkan tahap keselamatan negara terutamanya bagi mengekang pencerobohan di sempadan negara
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah menghadiri sesi Pre-Delivery Inspection (PDI) empat buah kenderaan perisai untuk digunakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di International Armoured Group (IAG) di Ras Al-Khaimah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.
Kenderaan perisai itu adalah daripada jenis IAG Guardian 4 x 4.
“Lawatan pemeriksaan yang bermula pada 15 hingga 19 Februari itu diadakan bagi memastikan kenderaan yang dibekalkan oleh pembekal, syarikat Global Komited Sdn Bhd adalah mematuhi spesifikasi yang ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian sebelum sesi penghantaran dan pemeriksaan akhir di depoh kenderaan PDRM,” menurut kenyataan menerusi akaun Facebook PDRM.
Perolehan kenderaan perisai tersebut telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan bakal digunakan oleh PGA untuk mempertingkatkan tahap keselamatan negara terutamanya bagi mengekang pencerobohan di sempadan negara
Lawatan KPN dan delegasi PDRM ke syarikat IAG itu bermula dengan taklimat ringkas oleh president IAG Dr Anton Stefov mengenai syarikat pengeluar kenderaan manakala Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd Datuk Ir Mohd Nasser Israil pula memberi taklimat berkenaan kenderaan yang dibekalkan.
Delegasi PDRM turut berkesempatan melawat kilang dan membuat pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan perisai tersebut, sebelum menaiki sendiri kenderaan perisai itu bagi melihat sendiri kemampuan dan kelasakkan kenderaan yang bakal digunakan oleh PGA itu.
(kredit PDRM)
Selain PDRM, pasukan pengaman Malaysia MALBATT di Lubnan turut menggunakan sembilan buah kenderaan perisai IAG Guardian 4 x 4 yang diterima mereka pada 2018.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Mac tahun lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sembilan buah kenderaan perisai IAG Guardian 4×4 masih lagi dikira sebagai Contingent Own Equipment (COE) dan diterimapakai untuk operasi pengaman pasukan MALBATT di bawah UNIFIL di Lubnan.
Pembelian kenderaan perisai IAG Guardian 4×4 2018 adalah untuk menggantikan sembilan buah kenderaan perisai CONDOR yang telah rosak dan menjangkau 40 tahun penggunaannya.