Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Isu Pekebun Durian: Ketua Polis Negara Arah Hantar Pasukan Gerakan Am (PGA)

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.

0 7,434

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis Diraja Melaysia (PDRM) menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub, Pahang bagi menjaga ketenteraman awam di daerah berkenaan berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.

Beliau berkata isu mengenai pencerobohan oleh pekebun durian itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.

“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas dan PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Flat Sri Sabah, Cheras yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 3 Julai hingga 16 Julai depan di sini.

DURIAN

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

Sementara itu laporan media tempatan mengatakan empat jambatan simen dirobohkan dipercayai dilakukan pekebun durian Musang King yang meneroka secara haram kawasan Hutan Simpan Batu Talam, di sini semalam.
Ia menyebabkan operasi pihak berkuasa untuk memusnahkan kebun berkenaan terhenti apabila anggota penguat kuasa terpaksa mengambil masa panjang untuk membaiki jambatan berkenaan.
Sebelum itu, sebuah pacuan empat roda dipercayai milik pekebun menghalang laluan selepas dikatakan tayarnya bocor, namun itu dikatakan helah untuk melengahkan operasi.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, dua halangan dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan operasi musnah semalam tidak dapat diteruskan seperti dirancang.
Menurutnya, mereka yang terbabit tiba di lokasi agak lewat berikutan terpaksa membaiki jambatan dengan cara mengangkat semula dua lantai simen jambatan yang dijatuhkan ke dalam anak sungai.
Katanya, anggota terbabit terpaksa mengikat menggunakan tali dan mengangkat secara secara beramai-ramai.

 

DEFENCE SECURITY ASIA 

 

Comments
Loading...