Indonesia Sudah Sedia Hantar Juruterbang Ke China Jalani Latihan Operasi Pesawat Pejuang J-10 ??
Perkara itu dibincangkan oleh Menteri Pertahanan negara itu Sjafrie Sjamsoeddin ketika itu menerima kunjungan Duta Besar Indonesia ke China Djauhari Oratmangun di pejabatnya, menurut posting di dalam platform X milik beliau hari ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya Indonesia sudah bersedia untuk menghantar juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) ke China untuk menjalani latihan mengendalikan pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan negara itu.
Perkara itu dibincangkan oleh Menteri Pertahanan negara itu Sjafrie Sjamsoeddin ketika itu menerima kunjungan Duta Besar Indonesia ke China Djauhari Oratmangun di pejabatnya, menurut posting di dalam platform X milik beliau hari ini.
“Saya menerima Duta Besar R.I untuk RRT, H.E. Djauhari Oratmangun, untuk membahas sejumlah isu strategis, seperti percepatan swamsebada pangan, modenisasi alutsista TNI, hingga pengembangan industri farmasi, pertahanan nasional (Rabu, 28 Mei 2025).”
“Kami juga membahas kesiapan pengiriman pilot TNI AU ke Tiongkok untuk pelatihan pesawat tempur J-10 serta evaluasi fasilitas produksi alutsista,” menurut Menteri Pertahanan Indonesia itu.
Bagaimanapun, tidak lama selepas posting itu disiarkan dan diulang siar oleh beberapa platform pemerhati pertahanan serantau, ia telah ditarik balik.
Adakah Menteri Pertahanan Indonesia itu “terlepas” dengan mengumumkan sesuatu yang sepatutnya beliau tidak umumkan tentang penghantaran juruterbang pesawat pejuang TNI ke China dan telah bertindak “memadamkannya” ?
Beberapa hari lalu, Indonesia dilaporkan merancang untuk membeli 42 buah pesawat pejuang J-10C terpakai daripada China dan juga berkemungkinan meneruskan cadangannya untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang Su-35.
Laporan tentang minat “tiba-tiba” Jakarta untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C itu muncul secara tiba-tiba,khususnya selepas kejayaan pesawat pejuang buatan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) dalam konflik Pakistan-India yang tercetus baru-baru ini.
Walaupun tidak ada pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia setakat ini, tetapi portal pertahanan serantau menyatakan bahawa pengumuman berkenaan perkara itu dijangka dilakukan pada pameran Indo Defence and Expo pada tahun ini yang akan berlangsung pada pada 11 Jun hingga 14 Jun.
Menurut laporan, selain perolehan 42 buah pesawat pejuang J-10C negara Asia Tenggara itu juga dikatakan bercadang untuk meneruskan pembelian pesawat pejuang Su-35 yang sebelum ini tertangguh akibat pelbagai sebab.
Duta Russia ke Indonesia Sergei Tolchenov sebelum ini menyatakan bahawa kontrak membekalkan pesawat pejuang Su-35 kepada negara Asia Tenggara tidak terbatal dan “masih berjalan” seperti biasa.
“Kontrak (Su-35 dengan Indonesia) tidak pernah dibatalkan. Ia masih berjalan. Kita akan menyambung perundingan suatu hari nanti,” kata beliau dalam satu temuramah dengan media Indonesia, Jakarta Globe.
Pada Februari 2018, Indonesia menandatangani kontrak perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 “Flanker-E” bernilai US$1.14 billion (RM4.9 billion).
Bagaimanapun, pada Mac 2020, media-media antarabangsa menyatakan bahawa pihak berkuasa Indonesia memutuskan untuk membatalkan perlaksanaan kontrak bagi perolehan pesawat-pesawat pejuang Su-35 buatan Russia itu.

Selain itu, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) akan mula menerima kumpulan pertama enam buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis pada Februari 2026, menurut Ketua Staf TNI-AU Air Chief Marshal Mohamad Tonny Harjono.
Enam buah pesawat Rafale itu merupakan sebahagian daripada 42 buah pesawat pejuang Rafale diperolehi oleh Indonesia bernilai RM32 billion.
Pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan yang dilengkapi dengan peluru berpandu PL-15 dilaporkan telah berjaya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale.
Selain J-10C, peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15 juga tiba-tiba terkenal berikutan kejayaannya pada konflik Pakistan-India itu.
Selain Rafale, pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan itu turut menembak jatuh MiG-29, Su-30MKI dan Mirage 2000 milik Tentera Udara India walaupun New Delhi menafikan pesawat-pesawat pejuangnya telah ditembak jatuh.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
Pesawat pejuang keenam India, Mirage 2000 juga dipercayai ditembak jatuh oleh J-10C Pakistan menggunakan PL-15.

Kejayaan pada konflik Pakistan-China itu membuatkan nama J-10C meniti di bibir pemerhati ketenteraan di seluruh dunia, menyebabkan saham Chengdu melonjak naik manakala saham syarikat Dassault Aviation yang membangunkan pesawat pejuang Rafale menjunam.
Semasa pameran aeroangkasa dan maritime LIMA 2025 di Langkawi baru-baru ini, model pesawat pejuang J-10CE yang dipamerkan di booth pameran China di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi telah menarik perhatian ramai, sebagaimana diperkatakan oleh portal berita Global Times.
“Pesawat pejuang J-10CE, iaitu varian eksport kepada J-10C, menjadi tumpuan utama di booth China (di LIMA 2025) selepas mencipta kejayaan dalam pertempuran sebenar, sekaligus menarik perhatian pengunjung antarabangsa dan penganalisis ketenteraan yang teruja untuk melihat lebih dekat keupayaan pesawat tersebut,” menurut portal berita China itu.
China menerusi syarikat milik negaranya, China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) memanfaatkan kehadiran pesawat J-10CE untuk mencabar dominasi Barat dan Russia dalam perdagangan senjata global.
Pesawat pejuang J-10C itu kini diketengahkan sebagai pilihan berdaya saing untuk negara-negara seperti Malaysia yang sedang berusaha memodenkan angkatan udara masing-masing.
Seorang pakar hal ehwal ketenteraan China memberitahu Global Times bahawa sistem persenjataan canggih buatan negara itu, diwakili oleh siri pesawat pejuang J-10, kini sedang mengubah secara menyeluruh persepsi dunia terhadap keupayaan ketenteraan China dan industri pertahanannya, malah turut mempengaruhi landskap industri pertahanan global.
Sejak mula ditauliahkan secara rasmi di dalam tentera udara (PLAAF) pada tahun 2006, pesawat pejuang J-10 dengan pantas menjadi tulang belakang aset tempur utama Tentera Udara China.

Pesawat ini sering mewakili Tentera Udara China serta industri penerbangan negara itu dalam pelbagai acara umum dan latihan ketenteraan, sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.
Pesawat pejuang J-10C merupakan varian paling moden dalam keluarga J-10 yang dibangunkan oleh China sebagai simbol kemajuan teknologi ketenteraan dan keupayaan industri pertahanannya yang semakin matang.
Pembangunan pesawat ini diterajui oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG), sebuah syarikat di bawah Aviation Industry Corporation of China (AVIC), dan ia menjadi bukti kemampuan China untuk membangunkan pesawat tempur generasi 4.5 tanpa bergantung kepada teknologi Barat.
J-10C menampilkan peningkatan ketara berbanding varian sebelumnya termasuk sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA), integrasi sistem peperangan elektronik yang lebih sofistikated serta keupayaan untuk membawa pelbagai jenis peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) seperti PL-15 yang dikatakan mampu menyerang sasaran sejauh lebih 200 kilometer.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, enjin turbofan WS-10B buatan tempatan yang semakin mantap, serta sistem avionik bersepadu yang meningkatkan kesedaran situasi juruterbang dan memudahkan pengoperasian dalam persekitaran pertempuran kompleks.
Dari segi reka bentuk, J-10C menggabungkan elemen aerodinamik yang canggih termasuk canard delta configuration yang membolehkannya melakukan manuver tajam dan beroperasi dalam pelbagai misi — daripada dominasi udara hingga kepada serangan darat.
Pembangunan J-10C bukan sahaja memenuhi keperluan Tentera Udara China (PLAAF), tetapi juga menandakan lonjakan strategik dalam usaha Beijing menjadi pemain utama dalam pasaran eksport pesawat pejuang global.

Dengan pelancaran varian eksport J-10CE yang kini dioperasikan oleh Pakistan, China menunjukkan keupayaannya bukan sekadar membangunkan pesawat berkeupayaan tinggi, tetapi juga menawarkannya sebagai alternatif kepada pesawat pejuang Barat dan Rusia di pasaran antarabangsa.
Keseluruhannya, pembangunan J-10C memperkukuhkan imej China sebagai kuasa besar ketenteraan moden dan memberi kesan mendalam terhadap keseimbangan kuasa udara di rantau Asia dan seterusnya.
Sehingga tahun 2025, Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force, PLAAF) mengoperasikan sekitar 220 unit pesawat pejuang J-10C, menjadikannya antara tulang belakang utama dalam armada tempur udara negara itu.
Spesifikasi Teknikal Pesawat Pejuang J-10C
-
Reka Bentuk dan Konfigurasi Aerodinamik
J-10C direka menggunakan konfigurasi sayap delta dengan canard di hadapan, memberikan kestabilan dan keupayaan manuver tinggi dalam pertempuran jarak dekat.
Struktur badan diperbuat daripada gabungan logam dan bahan komposit untuk mengurangkan berat dan menambah kekuatan, serta mengurangkan kesan radar (low observable design).
-
Enjin dan Prestasi
Pesawat ini dikuasakan oleh enjin turbofan WS-10B buatan tempatan, menggantikan enjin AL-31FN buatan Rusia yang digunakan pada varian terdahulu.
-
Kelajuan maksimum: Mach 2.0
-
Ketinggian operasi maksimum: 18,000 meter
-
Jarak operasi (combat radius): Sekitar 1,100–1,500 km bergantung kepada muatan dan misi
-
Jarak ferry (tanpa muatan tempur): Lebih 3,000 km dengan tangki bahan api luaran
-
Avionik dan Sistem Kawalan
J-10C menampilkan sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang meningkatkan jarak pengesanan, penjejakan berbilang sasaran dan rintangan terhadap gangguan elektronik.

Ia turut dilengkapi sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, paparan glass cockpit dengan skrin multifungsi, helmet-mounted display (HMD), serta sistem kawalan misi bersepadu yang membolehkan juruterbang menyesuaikan taktik di udara secara pantas.
-
Sistem Peperangan Elektronik dan ECM
J-10C dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare, EW) yang canggih termasuk:
-
Radar warning receiver (RWR)
-
Electronic countermeasures (ECM)
-
Chaff and flare dispensers
-
Infrared Search and Track (IRST) untuk mengesan sasaran dengan tanda haba
Ini membolehkan pesawat beroperasi dalam persekitaran yang dipenuhi ancaman radar dan peluru berpandu berpandu.
-
Persenjataan dan Payload
J-10C mempunyai 11 hardpoint dan mampu membawa pelbagai jenis senjata untuk misi penguasaan udara, serangan darat dan anti-kapal:
Peluru berpandu udara-ke-udara (AAM):
-
PL-15: BVR jarak jauh dengan enjin ramjet dan radar aktif (jangkauan lebih 200 km)
-
PL-10: Peluru berpandu jarak dekat berpandukan inframerah dengan keupayaan high off-boresight
-
PL-8 dan PL-12: Untuk varian sebelumnya
Peluru berpandu udara-ke-permukaan dan anti-kapal:
-
KD-88: Rudal berpandu TV / IR / radar terhadap sasaran darat
-
YJ-91: Anti-radar atau anti-kapal
-
Berbagai jenis bom berpanduan laser dan satelit (LT-2, LS-6)