Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Krisis Rafale India Kian Meruncing, Rakan Barat Tuntut Penjelasan

Laporan daripada sumber risikan antarabangsa dan saluran analisis pertahanan sumber terbuka mengesahkan bahawa Dassault Aviation telah menghantar pasukan khas ke India bagi menyiasat sama ada terdapat kelemahan sistemik pada pesawat Rafale yang mungkin menyumbang kepada kehilangan aset tersebut.

0 19,190
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Penolakan India terhadap permintaan pasukan juruaudit daripada syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation, untuk memeriksa pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India (IAF) selepas dakwaan ia telah ditembak jatuh dalam konflik terbaharu dengan Pakistan, telah mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan komuniti pertahanan global.
Laporan daripada sumber risikan antarabangsa dan saluran analisis pertahanan sumber terbuka mengesahkan bahawa Dassault Aviation telah menghantar pasukan khas ke India bagi menyiasat sama ada terdapat kelemahan sistemik pada pesawat Rafale yang mungkin menyumbang kepada kehilangan aset tersebut.
Namun begitu, kerajaan India dilaporkan telah menghalang akses pasukan itu ke skuadron Rafale milik IAF, mencetuskan spekulasi bahawa New Delhi cuba menyembunyikan kelemahan dalaman yang lebih besar melibatkan aspek kesiapsiagaan operasi, penyelenggaraan dan kecekapan juruterbang.
Situasi ini memuncak selepas kenyataan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada 17 Mei lalu yang mendakwa Tentera Udara Pakistan (PAF) telah berjaya menembak jatuh enam pesawat pejuang milik India dalam pertempuran udara paling serius antara dua kuasa nuklear Asia Selatan sejak dua dekad lalu.
Dalam kenyataan awal, Pakistan mendakwa lima pesawat IAF telah ditembak jatuh—termasuk tiga jet Rafale, sebuah Su-30MKI, dan sebuah MiG-29—menggunakan peluru berpandu jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15E buatan China yang dilancarkan daripada pesawat J-10C milik PAF.
Shehbaz kemudian menambah bahawa pesawat keenam yang berjaya ditembak jatuh oleh Pakistan adalah sebuah Mirage 2000 milik IAF dalam operasi malam di kawasan Pampore, timur Srinagar, antara 6 hingga 7 Mei.
Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar menambah tekanan dengan kenyataan lantang: “Pesawat Rafale yang digembar-gemburkan itu gagal dengan teruk, dan juruterbang Tentera Udara India terbukti tidak cekap.”
Rafale
Mengangkat serpihan pesawat pejuang Rafale India yang ditembak jatuh Pakistan ?
Menurut penganalisis pertahanan serantau, pesawat-pesawat IAF yang ditembak jatuh dipercayai menjadi sasaran pesawat J-10C atau JF-17 Block III milik Pakistan yang dilengkapi dengan peluru berpandu BVR PL-15 buatan China Airborne Missile Academy (CAMA).
Pesawat J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) merupakan pesawat generasi 4.5 dengan sistem radar AESA dan keupayaan peperangan elektronik lanjutan, manakala JF-17 Block III merupakan hasil usahasama CAIG dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC) yang kini menjadi tulang belakang operasi serangan pelbagai peranan Pakistan.
Laporan juga mencadangkan bahawa beberapa pesawat India telah diserang dari jarak sehingga 182 kilometer, memanfaatkan sepenuhnya keupayaan peluru berpandu PL-15 yang mempunyai jangkauan operasi di antara 200 hingga 300 kilometer dengan kebolehan radar berpandu aktif yang sangat tepat.
Penganalisis berpendapat, PAF mungkin melancarkan serangan tersebut dari dalam ruang udara sendiri, menjadikan serangan jarak jauh ini sebagai demonstrasi keupayaan dominasi udara tanpa perlu melintasi sempadan.
Pertempuran udara yang berlaku telah digambarkan oleh pemerhati antarabangsa sebagai “pertempuran udara terbesar abad ke-21,” dengan lebih 125 pesawat daripada kedua-dua negara terlibat dalam situasi tempur berteknologi tinggi yang mencabar taktik moden peperangan rangkaian dan kebolehan peluru berpandu.
Dalam masa yang sama, India didakwa bimbang Dassault Aviation akan menyalahkan kelemahan prestasi Rafale bukan kepada reka bentuk pesawat, tetapi kepada kegagalan sistem dalaman IAF termasuk isu kekurangan juruterbang dan kelewatan penyelenggaraan yang berpanjangan.
Kebimbangan itu ada asasnya.
Rafale M
Rafale M
Satu laporan daripada Ketua Audit Negara India (CAG) bersama Jawatankuasa Pertahanan Parlimen yang dikeluarkan beberapa bulan sebelum konflik mengesahkan bahawa IAF mengalami kekurangan 596 juruterbang—angka yang meningkat dari 486 pada 2015.
Percubaan untuk melatih 222 juruterbang baharu dari tahun 2016 hingga 2021 juga dilaporkan gagal, memburukkan lagi defisit sumber manusia dalam sistem pertahanan udara negara itu.
Keadaan bertambah buruk dengan masalah penyelenggaraan pesawat latihan asas Pilatus PC-7 Mk-II buatan Switzerland yang menjadi tulang belakang latihan juruterbang India, namun menghadapi masalah kebolehgunaan sejak beberapa tahun lalu.
Pada waktu konflik meletus, India hanya memiliki 31 skuadron pesawat pejuang aktif, jauh di bawah jumlah minimum 42 skuadron seperti yang digariskan dalam doktrin pertahanan negara.
Pihak berkuasa Perancis pula difahamkan berasa bimbang kerana Rafale kini seolah-olah menjadi “kambing hitam” terhadap kelemahan struktur ketenteraan India, sedangkan dalam medan lain Rafale telah membuktikan keberkesanannya apabila digunakan dengan betul, termasuk dari segi penyepaduan, penyelenggaraan dan latihan.
Namun krisis ini bukan satu hala.
India, yang sudah lama berasa tertekan, telah mengulangi keluhan awam berkenaan keengganan Dassault untuk memberikan akses penuh terhadap kod sumber (source code) sistem avionik Rafale—satu isu yang telah lama membelenggu sejak perjanjian pembelian bernilai US$8.7 bilion dimeterai pada tahun 2016.
Tanpa Source Code itu, jurutera India tidak mampu mengemaskini perisian, menyepadukan sistem senjata tempatan atau melakukan penyelenggaraan mendalam ke atas sistem kritikal pesawat, lantas menghadkan kedaulatan operasi negara itu dalam situasi peperangan sebenar.
Isu teknikal ini kini menjadi liabiliti strategik.
Penganalisis pertahanan India melihat perkara ini sebagai petanda bahawa pengeluar senjata Barat lebih berminat melindungi harta intelek mereka berbanding menjamin keupayaan tempur jangka panjang pelanggan seperti India.
Sementara itu, China pantas menggunakan peluang ini untuk memperlekehkan India.
Susulan laporan bahawa India berjaya menemui peluru berpandu PL-15 yang masih lengkap selepas ia dilancar oleh pesawat pejuang Pakistan, diplomat “wolf warrior” China mengejek India secara terbuka di media sosial.
“India membelanjakan US$288 juta untuk setiap Rafale, tetapi mereka tidak mempunyai akses kepada kod sumber (source code),” kata seorang pegawai China di platform X.
“Mereka juga mendakwa boleh ‘mengekstrak perisian’ daripada serpihan peluru PL-15, sedangkan mereka sendiri tidak mampu akses sistem teras jet Rafale mereka.”
Sindiran itu mungkin bersifat provokatif, tetapi ia menyerlahkan realiti baharu—sistem senjata buatan China seperti PL-15 kini bukan sahaja kompetitif, malah dalam sesetengah kes mampu mengatasi sistem Barat di medan tempur sebenar.
PL-15 yang dipercayai digunakan dalam penembakan jatuh pesawat pejuang  Rafale India itu dilengkapi dengan radar AESA dan mampu mencapai kelajuan Mach 4, menjadikannya salah satu peluru berpandu udara-ke-udara paling berbahaya di dunia masa kini.
Apabila dipadankan dengan sistem J-10C, PL-15 memberikan PAF kelebihan “tembakan pertama” terhadap pesawat IAF yang masih bergantung kepada peluru berpandu Meteor dan MICA yang lebih lama.
Bagi India, kemungkinan pesawat Rafale yang dibeli dengan harga tinggi dari Barat telah ditewaskan oleh sistem buatan China-Pakistan bukan sahaja memalukan, malah menggugat doktrin keselamatan serantau.
Selama beberapa dekad, strategi perolehan India bergantung kepada kepercayaan bahawa sistem Barat memberikan kelebihan mutlak terhadap musuh yang menggunakan peralatan buatan China atau Russia.
Namun kepercayaan itu kini berdepan ujian realiti paling getir.
Walaupun dakwaan kehilangan Rafale belum disahkan secara rasmi, keengganan India membenarkan audit oleh Dassault sendiri menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan tahap kepercayaan antara pembeli dan pengeluar.
Isu ini juga mula menjadi polemik politik.
Parti pembangkang India kini kembali menimbulkan dakwaan lama tentang ketirisan dalam perolehan Rafale dan menuntut audit menyeluruh terhadap prestasi pesawat tersebut di medan tempur.
Kementerian Pertahanan India kini dipaksa menilai semula sama ada strategi masa depan perlu bergantung kepada penghasilan tempatan dan pemindahan teknologi—berbanding terus membeli platform asing yang enggan memberi kawalan penuh kepada pengguna.
Di peringkat antarabangsa, kesannya jauh lebih besar.
Bagi Pakistan, kejayaan tempur pesawat J-10C yang dilengkapi PL-15 menandakan satu pencapaian strategik dalam usaha menyeimbangkan kuasa udara serantau.
Bagi China, kejayaan PL-15 merupakan pengesahan kukuh terhadap model eksport persenjataan mereka—bersepadu, terbukti dan kini semakin dipercayai negara membangun.
Bagi pengeluar Barat seperti Dassault Aviation, kerosakan reputasi adalah nyata dan sukar dipulihkan.
Rafale yang sebelum ini dianggap sebagai platform pelbagai peranan paling unggul kini berdepan soal jawab bukan hanya dari musuh—tetapi juga daripada pelanggan sendiri.
Apa pun puncanya—sama ada kekurangan latihan, masalah penyelenggaraan atau kelemahan taktikal—keputusannya jelas.
India gagal mencapai dominasi udara dalam peperangan yang disangkakan mampu dimenanginya dengan teknologi.
Kini New Delhi terpaksa berdepan satu persoalan mendalam: adakah ia ditewaskan oleh sistem buatan China, atau oleh keyakinan diri yang terlalu tinggi dan kebergantungan terhadap teknologi asing?
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.