Komponen Sensitif Kereta Kebal Abrams “Ditanggal” Sebelum Dihantar Ke Ukraine
Tindakan itu adalah untuk memastikan komponen-komponen sensitif milik kereta kebal utama Amerika Syarikat, M1A1 Abrams tidak dieksploitasi oleh pihak tentera Russia sekiranya kereta kebal itu ditawan di medan peperangan di Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dikatakan telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.
Washington berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine.
Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika yang dipetik oleh akhbar USA Today berkata tindakan itu adalah untuk memastikan komponen sensitif milik kereta kebal utama Amerika Syarikat itu tidak dieksploitasi oleh pihak tentera Russia untuk kegunaan mereka pula.
Amerika pada mulanya bercadang menghantar kereta kebal M1A2 Abrams, tetapi menukar kepada varian M1A1 yang kurang canggih berbanding varian selepas itu.
Kedua-dua varian kereta kebal itu menggunakan meriam 120mm yang sama tetapi varian M1A2 memiliki beberapa penambahbaikkan termasuk di dalam sistem pembidik sasarannya.
Sebagaimana sistem-sistem persenjataannya yang lain, Amerika “menyimpan” teknologi terkini untuk anggota tenteranya manakala untuk sekutu dan pelanggannya, ia memberikan teknologi yang tidak secanggih dimiliki oleh anggota tenteranya.
Pada Januari, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan rancangan untuk menghantar sebanyak 31 buah kereta kebal M1A2 Abrams ke Ukraine selepas diminta berbulan-bulan oleh Ukraine.
Kiev mahu kereta kebal moden untuk merampas kembali wilayah yang berjaya ditawan oleh tentera Russia sejak bermulanya konflik antara kedua negara tercetus pada Februari tahun lepas.
Serangan balas besar-besaran Ukraine terhadap tentera Russia telah pun bermula di Wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine tetapi hasilnya amat mengecewakan Kiev dan penyokongnya seperti Amerika Syarikat,NATO dan negara-negara Barat lain.
Serangan balas Ukraine itu telah mendapat tentangan hebat Russia dan banyak di antara kereta-kereta kebal serta kereta perisai yang dibekalkan oleh Barat seperti Leopard dan Bradley musnah dalam pertempuran.
Mengikut laporan daripada laman web analisis peperangan Belanda, Oryx, Ukraine telah kehilangan enam buah kereta kebal Leopard dan 16 buah kenderaan IFV Bradley apabila bermulanya serangan balas besar-besaran Kievd di Wilayah Zaphorizia baru-baru ini.
Jumlah kehilangan kereta kebal dan kereta perisai yang dibekalkan oleh negara-negara Barat itu berkemungkinan telah bertambah sejak laporan oleh Oryx itu dikeluarkan.
Pada Mac, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat berkata mereka akan mempercepatkan penghantaran kereta kebal Abrams ke Ukraine, tetapi memilih varian M1A1 dengan alasan varian kereta kebal itu lebih cepat diselenggara/dipulihkan.
Selain kereta-kereta kebal M1A1 Abrams yang dijangka diterima oleh Ukraine tidak lama lagi, Kiev juga dikatakan telah menerima sebahagian kecil kereta-kereta kebal varian terawal Leopard daripada beberapa negara Eropah.
Beberapa negara Eropah telah berikrar untuk membekalkan Ukraine dengan kereta-kereta kebal Barat seperti empat buah kereta kebal Challenger 2 daripada Britain manakala Poland pula sedang berusaha untuk menyerahkan 14 buah kereta kebal Leopard 2 daripada simpanannya.
Kanada pula berikrar akan memberikan empat buah kereta kebal Leopard 2 manakala Portugal pula akan menyerahkan tiga buah kereta kebal Leopard 2A6, Norway pula menyatakan ia akan menyerahkan lapan buah kereta kebal tetapi tidak menyatakan bila.
Finland juga bercadang menyerahkan beberapa buah kereta kebal Leopard manakala Denmark dan Netherlands pula enggan menyerahkan varian kereta kebal Leopard 2 yang lebih moden kepada Ukraine, sebagaimana didakwa oleh media Jerman.
Jerman juga menyatakan ia akan hanya menghantar 14 buah kereta kebal Leopard 2A6. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.