Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Walau Ditekan, Amerika Berkeras Enggan “Sumbang” Kereta Kebal Abrams Pada Ukraine

Pegawai-pegawai tinggi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sebagaimana dipetik oleh NBC News berkata bahawa Setiausaha Pertahanannya Lloyd Austin dan Panglima Angkatan Tenteranya Jeneral Mark Milley berkeras tidak mahu menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine.

0 4,033

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun berhadapan dengan tekanan daripada sekutunya di Eropah serta ahli politik berpengaruh dalam negara, Amerika Syarikat tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengirimkan kereta kebal utama Abrams ke Ukraine.

Presiden Jo Biden berkata Ukraine akan menerima pelbagai bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat bagi menentang pencerobohan Russia tetapi mengelak daripada menjawap soalan wartawan apabila ditanya sama ada pakej bantuan ketenteraan itu termasuk kereta kebal utama, Abrams.

Kereta kebal Abrams yang dibangunkan oleh General Dynamics Land Systems merupakan antara kereta kebal utama terbaik dunia.

Abrams

Dengan berat di antara 55 tan hingga 66 tan, kereta kebal Abrams dilengkapi enjin berkuasa 1,500 kuasa kuda dan meriam 120mm bagi membolehkannya memusnahkan bukan sahaja kereta kebal musuh tetapi juga kenderaan perisai dan pelbagai sasaran musuh daripada jarak beberapa kilometer.

Ukraine mahukan “sumbangan” ratusan kereta kebal buatan negara Barat bagi membolehkannya menangani ancaman armor Russia yang turut mengerahkan kereta-kereta kebal paling moden dimiliknya seperti T-90 dan Armata.

Beberapa negara Eropah terutamanya Poland dan Britain telah pun menyatakan hasrat mereka untuk menyumbang kereta-kereta kebal Leopard 2 dan Challenger 2 untuk digunakan oleh tentera Ukraine bagi menangani pencerobohan Russia.

Leopard
Kereta kebal Leopard

 

Jerman yang membina kereta kebal Leopard menyatakan bahawa ia tidak akan menghalang sekiranya negara-negara pengguna kereta kebal itu mahu memindahkannya kepada Ukraine.

Sebelum ini Berlin menerima tekanan hebat daripada negara-negara Eropah supaya membenarkan penghantaran kereta kebal Leopard ke Ukraine.

Sebagai negara yang membina kereta kebal Leopard, persetujuan Jerman adalah suatu kemestian sebelum mana-mana negara yang menggunakannya dibenarkan menghantar kereta kebal itu ke Ukraine.

Ok berbalik semula tentang  kereta kebal Abrams, apakah alasan Amerika Syarikat untuk tidak turut sama “menyumbang” kereta kebal Abrams kepada Ukraine?

Ukraine
Challenger 2

 

Sudah semestinya, pegawai-pegawai tentera Ukraine amat mengharapkan “sumbangan” kereta kebal moden Barat seperti Abrams, Leopard, Leclerc dan Challenger bagi membolehkannya menangani ancaman kereta kebal Russia.

Pegawai-pegawai tinggi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sebagaimana dipetik oleh NBC News berkata bahawa Setiausaha Pertahanannya Lloyd Austin dan Panglima Angkatan Tenteranya Jeneral Mark Milley berkeras tidak mahu menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine.

Leclerc
Kereta kebal “Leclerc” Perancis

 

Kedua-dua pemimpin paling kanan tentera Amerika Syarikat itu dilaporkan berkata bahawa usaha melatih tentera Ukraine untuk mengendalikan kereta kebal Abrams adalah terlalu kompleks dan mengambil masa terlalu lama.

Mereka juga memberikan alasan bahawa kereta kebal Abrams bukanlah senjata yang sesuai untuk digunakan di Ukraine pada ketika ini.

Austin dan Milley juga dilaporkan berkata bahawa tentera Ukraine sudah pun memiliki ratusan kereta kebal pada ketika ini – tidak termasuk ratusan lagi kereta kebal milik Russia yang berjaya dirampasnya di medan peperangan.

Memandangkan Ukraine telah pun memiliki ratusan kereta kebal pada ketika ini, maka Washington berpendapat negara itu tidak memerlukan tambahan kereta kebal termasuk Abrams miliknya. 

Walaupun tidak menyumbang kereta kebal Abrams, tetapi Amerika Syarikat telah menyumbang pelbagai sistem persenjataannya yang lain termasuk sistem roket berganda, HIMARS, peluru berpandu anti-kereta kebal dan artilleri antara lain. 

Ia juga bersetuju untuk membekalkan sistem pertahanan udara PATRIOT untuk mempertahankan ruang udara Ukraine. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE 

 

 

Comments
Loading...