Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Kerah Pantsir, S-400 Kawal Moscow, Bimbang Diserang Ukraine

Laporan media British mengatakan tentera Russia turut mengerah sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” ke dua lokasi di sekitar Moscow berikutan peningkatan kebimbangan oleh pucuk pimpinan negara itu tentang kemungkinan Ukraine menyerang bandar itu.

0 1,412

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang akan kemungkinan serangan udara oleh Ukraine, tentera Russia dilapor mula menempatkan sistem-sistem pertahanan udara di sekitar ibu negaranya, Moscow.

Laporan oleh pengguna media sosial  dan gambar-gambar juga menunjukkan tentera Russia menempatkan sistem pertahanan udara “Pantsir” di atas beberapa bangunan di Moscow.

Laporan media British mengatakan tentera Russia turut mengerah sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” ke dua lokasi di sekitar Moscow berikutan peningkatan kebimbangan oleh pucuk pimpinan negara itu tentang kemungkinan Ukraine menyerang bandar itu.

Moscow merupakan pusat pemerintahan Russia dan simbol kepada kekuasaan serta kekuatan ketenteraan negara itu dan ia adalah sesuatu yang memalukan sekiranya Ukraine berjaya melakukan serangan udara terhadap bandar itu.

Sebuah daripada sistem pertahanan udara S-400 itu telah ditempatkan Universiti Pertanian Russia yang terletak di utara Moscow, manakala sistem pertahanan udara yang kedua pula ditempatkan di Taman Negara Losiny Ostrov berhampiran daerah Sokolniki di Moscow.

Pantsir
Sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” di Moscow.

 

Jarak operasi sistem pertahanan udara S-400 adalah kira-kira 400km manakala jarak pengesanan oleh radarnya adalah 600km.

Sistem pertahanan udara S-400 digunakan untuk menembak jatuh pesawat-pesawat, dron, peluru berpandu kruis dan peluru berpandu balistik.

Selain itu gambar-gambar yang dikongsi oleh pengguna media sosial Russia sejak beberapa hari lepas menunjukkan tentera Russia telah menempatkan sistem pertahanan udara “Pantsir” di atas beberapa bangunan di Moscow.

Antara bangunan-bangunan yang kini menempatkan sistem pertahanan udara itu termasuklah yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pertahanan Russia yang terletak di tepi Sungai Moskva di Moscow.

Pengguna media sosial di Moscow mengatakan bahawa penempatan sistem-sistem pertahanan udara di ibu negara Russia itu merupakan suatu perkembangan yang baru dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pantsir

Kebimbangan tentang kemungkinan Moscow diserang oleh Ukraine semakin meningkat selepas Kiev melancarkan serangan udara menggunakan dron terhadap tiga pangkalan udara strategik Russia pada awal Disember tahun lepas.

Ketiga-tiga pangkalan udara strategik Russia yang menjadi sasaran dron-dron Ukraine itu pada 5 Disember itu adalah, Engels dan Dyagilevo yang terletak kira-kira 500km dan 460km daripada sempadan Ukraine.

Sehari selepas itu, pangkalan udara tentera Khalino turut diserang oleh pihak Ukraine.

Pangkalan Tentera Udara Russia Engels-2 yang terletak di wilayah Saratov itu didakwa merupakan tapak pelancaran ratusan peluru berpandu kruis Russia yang mensasarkan beberapa bandar Ukraine serta infrastruktur ketenteraan mereka.

Ia turut menempatkan skuadron pesawat-pesawat pengebom strategik Russia.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400

 

Sementara itu, pangkalan udara strategik Dyagilevo di wilayah Ryazan, terletak tidak jauh daripada ibu negara, Moscow, turut menempatkan pesawat-pesawat pengebom strategik milik Tentera Udara Russia.

Pangkalan udara Dyagilevo juga menjadi pusat latihan bagi juruterbang pesawat-pesawat pengebom Russia.

Ketiga-tiga pangkalan udara Russia yang terletak berhampiran dengan bandaraya Moscow diserang menggunakan dron Tupolev Tu-141.

Serangan terhadap ketiga-tiga pangkalan udara Russia berhampiran Moscow merupakan kali pertama berlaku sejak konflik Russia-Ukraine tercetus pada Feb lepas.

Bulan lepas, seorang pakar ketenteraan Russia melahirkan kebimbangannya  bahawa Moscow bakal menjadi sasaran serangan udara oleh pihak Ukraine berikutan kejayaan pihak Kiev menyerang tiga pangkalan udara berhampiran dengan ibu negara Russia itu menggunakan dron baru-baru ini.

Pantsir S-1
Sistem pertahanan udara “Pantsir” 

 

Bercakap dalam rancangan televisyen Russia, pakar ketenteraan itu, Yuri Knutov berkata, terdapat lompang-lompang di dalam sistem pertahanan udara yang melindungi Moscow selepas kebanyakkan daripada sistem itu dikerah untuk membantu kempen ketenteraan di Ukraine.

“Apabila operasi ketenteraan khas itu bermula, ia adalah wajar untuk memberikan perlindungan kepada tentera yang berada kawasan-kawasan ketika mereka bertempur dengan dengan tentera Ukraine.”

“Seperti biasa, apabila kita menempatkan sistem pertahanan udara di sana, lompang-lompang mula wujud di dalam sistem pertahanan udara kita,” kata beliau.

Pakar ketenteraan Russia itu berkata, beliau percaya bahawa satelit-satelit Amerika dapat melihat lompang-lompang dalam sistem pertahanan udara yang wujud di Moscow.

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

Pakar ketenteraan Russia itu mengesyaki bahawa pihak perisikan tentera Amerika Syarikat telah memberikan maklumat perisikan kepada tentera Ukraine sehingga membolehkan mereka melancarkan serangan dron terhadap ketiga-tiga pangkalan udara itu.

Pihak perisikan Amerika Syarikat telah memberikan maklumat tentang “laluan-laluan” yang perlu diambil oleh dron-dron Ukraine itu bagi mengelak jaringan sistem pertahanan udara Russia dan membedil ketiga-tiga pangkalan udara itu.

Knutov bercakap bahawa selepas teruja dengan kejayaan serangan dron terhadap tiga pangkalan udara Russia berhampiran Moscow itu, pihak Ukraine berkemungkinan memasang cita-cita untuk melaksanakan serangan terhadap ibu negara Russia itu pula. — DSA

 

 

Comments
Loading...