Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Barrett Firearms, Pengeluar Raifal Anti-Materiel Terkenal Kini Milik Australia

Barrett Firearms yang berpangkalan di Tennessee, Amerika Syarikat kini telah menjadi milik syarikat pertahanan Australia, NIOA selepas ia membeli 100 peratus kepentingan syarikat Barret itu. NIOA adalah syarikat membekalkan pelbagai senjata dan peluru kepada angkatan-angkatan tentera Australia dan New Zealand.

0 1,402

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Barrett Firearms, pengeluar raifal anti-materiel Barrett yang terkenal dan banyak digunakan oleh anggota tentera seluruh dunia termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kini mempunyai pemilik baru.

Barrett Firearms yang berpangkalan di Tennessee, Amerika Syarikat kini telah menjadi milik syarikat pertahanan Australia, NIOA selepas ia membeli 100 peratus kepentingan syarikat Barret itu.

NIOA adalah syarikat membekalkan pelbagai senjata dan peluru kepada angkatan-angkatan tentera Australia dan New Zealand.

Antara persenjataan yang dibekalkannya adalah peluru bagi meriam 120mm kereta-kereta kebal Abrams milik tentera darat Australia serta peluru-peluru bagi meriam 35mm dan 30mm bagi kedua-dua angkatan tentera negara berjiran itu.

NIOA tidak mendedahkan jumlah dibayarnya bagi memiliki 100 peratus kepentingan syarikat Barrett Firearms tetapi pembelian syarikat yang terkenal dengan penghasilan raifal sniper dan raifal anti-material itu memberikannya peluang untuk menembusi pasaran di Amerika Syarikat.

Kesemua cabang angkatan tentera Amerika Syarikat terutama pasukan-pasukan elitnya merupakan pelanggan utama kepada Barrett Firearms.

Perolehan Barrett Firearms yang sebelum ini dimiliki oleh keluarga Barrett yang menghasilkan pelbagai senjata api dan peluru kepada angkatan tentera Amerika Syarikat dan pelanggannya di serata dunia daripada pangkalannya di Christiana, Tennessee.

Syarikat itu diasaskan oleh Ronnie G. Barrett yang membangunkan sendiri raifal anti-materielnya yang pertama pada tahun 1982 dan dinamakan M82.

Barrett

Beliau merekabentuk setiap komponen senjata api tersebut dan memasarkannya menggunakan duit daripada poketnya sendiri sehingga menjadikan M82 dan varian-variannya yang lain sebagai diantara raifal anti-material paling popular di seluruh dunia.

Raifal anti-material M82 dan variannya keluaran syarikat Barrett Firearms itu bukan sahaja terkenal dan digunakan oleh anggota tentera pelbagai negara tetapi juga menjadi senjata anti-materiel pilihan bagi kumpulan-kumpulan militant dan ekstremis seluruh dunia yang berkemungkinan memiliki senjata api berkuasa tinggi itu daripada pasaran-pasaran gelap senjata api.

Sebagaimana yang kita saksikan baru-baru ini, anggota kartel dadah di Mexico turut memiliki raifal anti-material keluaran Barrett Firearms, yang digunakan oleh mereka dalam cubaan untuk menembak jatuh helikopter atau pesawat ringan milik pasukan keselamatan negara itu.

Barrett

Selain anggota kartel dadah di Mexico, anggota kumpulan bersenjata di selatan Filipina pernah dilihat memiliki raifal anti-materiel keluaran Barrett Firearms itu (atau klonnya).

Untuk ATM pula, pada Mac tahun lepas tentera darat menerusi kenyataan dalam media sosialnya mengumumkan bahawa mereka  telah menerima sebanyak 40 laras raifal anti-materiel Barrett Firearms M107A1 50 Cal (12.7mm)  untuk kegunaan unit-unit tentera darat termasuk anggota Komando Gerak Khas serta Briged Para.

Penerimaan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain itu dinyatakan oleh Tentera Darat menerusi Facebook.

Menurut maklumat, raifal anti-materiel M107A1 itu adalah lebih ringan daripada varian terlebih dahulunya tetapi ia tetap berbahaya dan berkesan.

Barrett
Ketika di Lahad Datu

 

Ia juga boleh dilengkapkan dengan penyenyap bunyi (suppressor) bagi mengurangkan bunyi tembakan bagi mengelak ia dengan mudah dikesan oleh musuh.

Raifal anti-materiel M107A1 itu mampu membedil sasaran sama ada tentera musuh atau kenderaan berperisai daripada jarak effektif 2,000 meter (2 km) tanpa berdepan dengan sebarang masalah.

Peluru 12.7mm yang digunakannya pula boleh menembusi plat armor setebal  1.18 inci bagi menjadikannya raifal anti-materiel yang berkesan untuk digunakan oleh unit-unit penembak tepat di dalam Tentera Darat. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

 

 

Comments
Loading...