Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Bimbang Kemungkinan Russia Jual S-400 Kepada Iran

Perolehan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia oleh Iran itu bakal memberikan ancaman bukan sahaja terhadap pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat yang beroperasi berhampiran dengan sempadan Iran tetapi juga pesawat-pesawat pejuang milik negara-negara sekutunya di rantau Timur Tengah.

0 2,704

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan hubungan ketenteraan yang semakin erat di antara Moscow dan Iran akhir-akhir ini, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Jo Biden kini dilanda kebimbangan terhadap kemungkinan Russia akan menjual pula sistem pertahanan udara S-400 kepada Iran.

Perolehan sistem pertahanan udara S-400 itu bakal memberikan ancaman bukan sahaja terhadap pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat yang beroperasi berhampiran dengan sempadan Iran tetapi juga pesawat-pesawat pejuang milik negara-negara sekutunya di rantau terbabit.

Selain pesawat pejuang, sistem pertahanan udara S-400 juga berkesan untuk menangani ancaman peluru berpandu kruis dan balistik serta pesawat-pesawat tanpa pemandu.

Minggu lepas, jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat John Kirby memberitahu akhbar The Washington Post tentang kebimbangan negara itu terhadap kemungkinan Moscow memberikan sistem-sistem persenjataan canggih kepada Teheran.

Walaupun beliau tidak menjelaskan sistem persenjataan canggih apakah yang dimaksudkannya, tetapi mengiyakan bahawa ia termasuk sistem pertahanan udara.

S-400

Memandangkan Iran telah pun memiliki sistem pertahanan S-300, maka adalah logik bahawa Moscow sedang mempertimbangkan untuk menjual sistem pertahanan S-400 yang lebih berkemampuan kepada sekutunya itu.

Sebelum ini, Russia tidak menjual sistem pertahanan udara itu kepada Iran kerana menghormati sekatan senjata terhadap negara Parsi itu yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun kini, dengan bantuan Iran untuk menyokong kempen ketenteraan Russia di Ukraine telah mengeratkan lagi hubungan di antara Moscow dan Teheran.

Sejak beberapa bulan lepas, Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.

Pegawai-pegawai perisikan Amerika Syarikat percaya Iran juga sedang bersiap-sedia untuk menghantar peluru-peluru berpandu balistik buatan industri pertahanan negara itu ke Ukraine untuk digunakan oleh tentera Russia.

Shahed
Dron Berani Mati “Shahed-136” buatan Iran

 

Spekulasi tentang perolehan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia oleh Iran itu timbul selepas laporan media tentang penghantaran sekumpulan juruterbang Iran ke Russia beberapa bulan lepas untuk menjalani latihan mengendalikan pesawat generasi 4++ iaitu Su-35.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat yang mendedahkan bahawa latihan yang diterima oleh juruterbang-juruterbang Iran itu menunjukkan kerjasama pertahanan lebih erat antara Teheran dengan Moscow.

Iran dijangka mula menerima kumpulan pertama 24 buah pesawat Su-35 pada awal tahun depan.

Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka, tetapi Amerika Syarikat mengakui “kehebatan” sistem itu dan menghalang mana-mana negara sekutunya daripada memilikinya.

Su-35
Pesawat Sukhoi Su-35 (Flanker-E)

 

Salah satu negara yang terkena bahang kemarahan Amerika Syarikat kerana berdegil untuk memiliki sistem pertahanan udara S-400 adalah Turki.

Akibat kedegilannya membeli sistem pertahanan udara S-400, Turki telah dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 Lightning dan dikenakan sekatan senjata oleh Washington.

Washington bimbang Russia mungkin akan menggunakan sistem pertahanan udara yang canggih itu untuk mengintip keupayaan pesawat pejuang F-35 miliknya yang beroperasi di Turki, yang merupakan negara anggota NATO. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Comments
Loading...