PASKAL Laung “Amaran” Pada Pihak “Intai” Terumbu Layang-Layang
Seorang pegawai tentera Jepun Lt Kol Aita Moriki dalam kertas kerjanya mengatakan bahawa Terumbu Layang-Layang milik Malaysia yang terletak di Kepulauan Spratly itu berkemungkinan dijadikan salah satu sasaran oleh tentera China yang melaksanakan latihan airborne melibatkan 16 buah pesawat pengangkut tentera negara itu berhampiran Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei tahun lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota-anggota Pasukan Khas Tentera Laut Diraja Malaysia (PASKAL) telah memperlihatkan ketangkasan mereka dalam memastikan misi penyusupan dilaksana mereka menemui kejayaan dalam latihan yang diadakan di Stesen Lima di Terumbu Layang-Layang.
Sebagaimana yang kita tahu, Terumbu Layang-Layang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly, Laut China Selatan yang menjadi pertikaian di antara beberapa negara termasuk China.
Tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan latihan di Stesen Lima,Terumbu Layang-Layang dan mewar-warkannya kepada media adalah baik kerana siaran media itu juga boleh berfungsi sebagai “amaran” kepada mana-mana pihak yang sedang “mengintai” kedaulatan negara di terumbu karang itu.

Latihan misi penyusupan PASKAL di Stesen Lima, Terumbu Layang-Layang itu turut disaksikan oleh PAT Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany serta barisan kepimpinan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) TLDM.
Dalam satu kenyataan menerusi media sosialnya, ATM menyatakan bahawa pasukan elit berkenaan telah mempamerkan ketangkasan mereka dalam suatu misi penyusupan.
“Anggota PASKAL memperlihatkan kecekapan mereka dalam memastikan misi yang diberi mencapai objektif yang ditetapkan,” menurut kenyataan terbabit.
Latihan membabitkan anggota PASKAL itu adalah bersempena dengan Eksesais KERISMAS 27/2022 (Eks KERISMAS 27/2022) yang dilaksanakan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) serta perairan Laut China Selatan dari 3 hingga 23 Oktober 2022.
Selain itu, PAT turut ditaklimatkan dengan latihan melibatkan penyatuan Naval Gunfire Support (NGS) dan Air Defence Exercise (ADEX).

Beberapa bulan lepas, Defence Security Asia telah menulis artikel yang berdasarkan satu kertas kerja oleh penyelidik tentera Jepun Lt Kol Aita Moriki di Japan Air Self Defense Force (JASDF) Center for Air and Space Power Strategic Studies (CASPSS).
Dalam kertas kerjanya itu, Lt Kol Aita mengatakan bahawa Terumbu Layang-Layang milik Malaysia di Kepulauan Spratly itu berkemungkinan dijadikan salah satu sasaran oleh tentera China yang melaksanakan latihan airborne melibatkan 16 buah pesawat pengangkut tentera negara itu berhampiran Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei tahun lepas.
Comments are closed.