Yakovlev Yak-130 “Mitten”, Pesawat FLIT/LCA Russia Dengan DNA Barat
Pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan Yakovlev Yak-130 “Mitten” ini adalah pesawat yang dibina oleh syarikat Russia tetapi DNA-nya menyerupai pesawat latihan lanjutan buatan syarikat Barat kerana ia telah dibangunkan secara bersama dengan syarikat pembuat pesawat terkenal Itali, Aermacchi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada akhir tahun lepas, Tentera Udara Vietnam telah mula menerima enam buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Yakovlev Yak-130 “Mitten” daripada 12 buah diperolehinya daripada syarikat pembuat pesawat Russia, Yakovlev yang merupakan anak syarikat kepada syarikat, Irkut.
Walaupun pesawat latihan lanjutan Yak-130 “Mitten” ini adalah pesawat yang dibina oleh syarikat Russia tetapi DNA-nya menyerupai pesawat latihan lanjutan buatan syarikat Barat kerana ia telah dibangunkan secara bersama dengan syarikat pembuat pesawat terkenal Itali, Aermacchi.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukanlah asing terhadap pesawat latihan buatan syarikat Aermacchi kerana pernah menggunakan pesawat latihan MB-339CM sebelum bertindak membersarakan khidmat pesawat itu baru-baru ini.

Bagaimanapun kerjasama antara syarikat Yakovlev dan Aermacchi untuk membina pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan tidak berpanjangan.
Apabila kerjasama antara Yakovlev dan Aermacchi itu dihentikan, syarikat Russia itu meneruskan pembangunan pesawat FLIT/LCA miliknya sendiri dan menamakannya Yak-130 “Mitten”.
Bagi Aermacchi pula, syarikat aeroangkasa Itali yang dimiliki oleh Leonardo itu turut meneruskan program pembinaan pesawat FLIT/LCA mereka sendiri dan menamakannya M-346.
Ia menjadikan pesawat Yak-130 “Mitten” dan M-346 sebagai tidak ubah seperti “adik-beradik”, malah jika diperhatikan daripada segi rekabentuk kedua-dua pesawat itu juga adalah hampir sama.

Tentera Udara Russia menggunakan pesawat Yak-130 yang dilengkapi dengan sistem dan kemudahan sama seperti pesawat generasi ke-4 untuk melatih juruterbangnya mengendalikan pesawat-pesawat seperti Sukhoi Su-35 dan Su-57 “Felon”.
Tentera udara negara itu dipercayai memiliki sehingga 55 buah pesawat Yak-130 pada ketika ini.
Untuk tender perolehan 18-36 pesawat FLIT/LCA TUDM, kedua-dua pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan buatan Yakovlev dan Aermacchi/Leonardo itu turut menyertai persaingan.
Comments are closed.