Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selamat Tinggal Pesawat Latihan Lanjutan Aermacchi MB-339CM

Ketujuh-tujuh buah pesawat latihan lanjutan Aermacchi MB-339CM itu akan digantikan dengan pesawat Forward Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang akan diperolehi oleh TUDM tidak lama lagi.

0 14,465

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya baru 12 tahun menabur bakti di negara ini, tujuh pesawat latihan lanjutan (advanced trainer) Aermacchi MB-339CM yang dibangunkan oleh syarikat Alenia Aermacchi SpA daripada Itali berkemungkinan besar telah mencapai penghujung jangka hayat perkhidmatannya dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jangka hayat 12 untuk mana-mana pesawat sama ada pejuang atau latihan adalah amat singkat.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketujuh-tujuh pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM bakal digantikan dengan pesawat yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan atau “Fighter Lead-In Trainer” dan pesawat tempur ringan “Light Combat Aircraft” (FLIT/LCA).

Beliau berkata pesawat Aermacchi MB-339CM itu memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 tetapi kini digantung operasinya sejak 2018 berikutan kemalangan dialami pesawat latihan itu di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamatkan pengoperasian pada 2028.

Aermacchi MB-339CM

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” katanya.

Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa Kementerian Pertahanan telah pun mengeluarkan iklan tender untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk kegunaan TUDM pada Rancangan Malaysia ke-12 dan lagi 18 buah kemungkinan pada RMK-13, menjadikan keseluruhan perolehan sebanyak 36 buah.

Aermacchi
Sebuah pesawat Aermacchi MB-339CM yang berpengkalan di Pangkalan TUDM di Kuantan terhempas di Nenasi, Pekan pada 2016 ketika melakukan penerbangan latihan.

 

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata bahawa lapan buah syarikat telah menyatakan minat untuk menyertai tender oleh Kementerian Pertahanan itu.

Antara syarikat-syarikat yang menunjukkan minat terhadap tender bernilai berbilion ringgit itu adalah Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada untuk pesawat JF-17 “Thunder”, Hongdu Aviation Industry Group (HAIG) untuk pesawat Hongdu L-15B dan Leonardo untuk pesawat Aermacchi M-346.

Syarikat-syarikat lain termasuk Irkut Corporation untuk pesawat Yak-130 dan Boeing untuk pesawat T-7 Red Hawk, Korea Aerospace Industries (KAI) pesawat FA-50 serta Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang menawarkan pesawat Tejas.

Terdapat juga laporan mengatakan syarikat pembuat pesawat daripada Republik Czech iaitu Aero Vodochody Aerospace menawarkan pesawat L-39 Albatros untuk tender TUDM.

Ikmal Hisham berkata, hala tuju pesawat itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM).

“Audit ini dijadual tahun lalu, tetapi ditangguhkan atas faktor pandemik,” katanya.

Ikmal Hisham berkata tujuh pesawat berkenaan sudah melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan setakat ini.

Pesawat MB-339CM terbabit dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk Head Up Display (HUD) dan Multi Function Display (MFD) di kokpit depan dan belakang bagi membolehkan latihan sebenar kepada bakal-bakal juruterbang pesawat pejuang.

Pada 17 Mei 2016, sebuah pesawat Aermacchi MB-339CM yang berpengkalan di Pangkalan TUDM di Kuantan terhempas di Nenasi, Pekan ketika melakukan penerbangan latihan.

Bagaimanapun kedua-dua juruterbangnya terselamat selepas berjaya menggunakan kerusi anjal.

Menurut Panglima TUDM pada ketika itu,  Jeneral Tan Sri Roslan Saad, punca awal nahas dipercayai lebih menjurus kepada masalah teknikal.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...