Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sejak Diperkenal TLDM, Peluru Berpandu Anti-Kapal “NSM” Semakin Diminati

Kehadiran peluru berpandu anti-kapal “NSM” menerusi TLDM itu telah sedikit-sebanyak membuka ruang kepada firma Kongsberg untuk memberikan saingan kepada peluru berpandu “Harpoon” dan “Exocet” yang sebelum ini menguasai pasaran peluru berpandu anti-kapal di Asia Tenggara.

0 7,450

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2015 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan tentera laut yang pertama di rantau ini (dan sekitarnya) untuk memilih peluru berpandu anti-kapal Naval Strike Missile (NSM) yang dibangunkan oleh firma Kongsberg Defence and Aerospace (Kongsberg) daripada Norway.

TLDM bolehlah dikatakan sebagai “launch customer” bagi sistem peluru berpandu NSM di Asia Tenggara dan sekitarnya.

Kehadiran peluru berpandu anti-kapal “NSM” menerusi TLDM itu telah sedikit-sebanyak membuka ruang kepada firma Kongsberg untuk memberikan saingan kepada peluru berpandu “Harpoon” dan “Exocet” yang sebelum ini menguasai pasaran peluru berpandu anti-kapal di Asia Tenggara.

NSM

Lapan buah pelancar peluru berpandu NSM itu sepatutnya diletakkan pada setiap satu daripada enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) kelas-Maharaja Lela, menjadikannya antara kapal perang paling berkeupayaan di rantau ini.

Bagaimanapun sebagaimana yang kita tahu, projek pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion itu tertangguh sehingga kini, menyebabkan impian kita untuk melihat kapal-kapal LCS dilengkapi dengan peluru berpandu NSM itu tertangguh untuk beberapa tahun lagi.

Mengikut perancangan oleh Kementerian Pertahanan, kapal pertama LCS dilengkapi dengan peluru berpandu NSM itu dijangka akan hanya berlayar pada tahun 2025, kira-kira 13 tahun selepas projek pembinaan kapal LCS itu dilancarkan.

Terbaru, TLDM juga bercadang untuk meletak dua pelancar peluru berpandu NSM di lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 yang bakal diperolehi olehnya bermula pada tahun ini.

Perancangannya adalah, tiga buah kapal LMS Batch 2 itu diperolehi pada tahun ini manakala lima buah kapal seterusnya pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

NSM
Pelancaran peluru berpandu anti-kapal “NSM” oleh kapal  LCS Amerika Syarikat.

 

Jika Kementerian Pertahanan “ada duit”, mereka juga meletakkan peluru berpandu NSM itu seperti di kapal-kapal peronda generasi baru kelas-Kedah dan kapal korvet kelas-Laksamana bagi membolehkan “bergigi untuk mengigit.”

Malah jika ada “duit” lagi,  Kementerian Pertahanan boleh letakkan shore-based NSM di pangkalan-pangkalan tentera laut atau pulau-pulau serta terumbu karang yang sering “diintai” oleh pihak-pihak asing itu.

Pada pameran pertahanan DSA 2022 baru-baru ini, firma Kongsberg itu telah menandatangani kontrak berkenaan Industrial Collaboration Programme (ICP) melibatkan pembelian peluru berpandu NSM bernilai RM583 juta kepada TLDM.

Berkemungkinan adalah peluru berpandu NSM itu sudah pun berada di dalam pegangan TLDM, cuma kapalnya sahaja belum siap.

Berbalik kepada peluru berpandu NSM itu, Malaysia dan TLDM adalah pihak pertama yang memperkenalkan peluru berpandu itu di rantau itu (walaupun peluru berpandu itu belum dipasang di kapal LCS).

LCS
Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap kelak.

 

Walaupun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peluru-peluru berpandu NSM ini telah pun digunakan di Laut China Selatan menerusi kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Amerika Syarikat di laut yang cuba direbut oleh China itu.

Amerika Syarikat menggunakan peluru berpandu NSM sebagai senjata pilihan “Over-The-Horizon Anti Ship Missile” bagi kapal-kapal LCS miliknya yang beroperasi di kawasan seliaan 7th Fleet.

Peluru berpandu anti-kapal NSM ini memiliki berat keseluruhan lebih 400kg dengan kelajuan subsonic yang tinggi iaitu diantara 0.7-0.9 Mach dan jarak operasi lebih daripada 185km.

Ia bukan sahaja boleh membedil kapal-kapal perang musuh di lautan tetapi dengan “Autonomous Target Recognition” (ATR), peluru berpandu NSM ini juga boleh memusnahkan sasaran di daratan dengan tepat.

NSM ini adalah peluru berpandu yang pasif, sea-skimming dengan kemampuan maneuver yang tinggi bagi membantunya menewaskan sistem-sistem pertahanan udara musuh.

NSM

Baru-baru ini, negara jiran Indonesia turut mengikuti langkah Malaysia apabila negara jiran itu juga menyatakan minat mereka untuk memperolehi peluru berpandu NSM itu untuk dipasang di kapal-kapal serang lajunya.

Ia bercadang mengadakan ujian penembakan peluru berpandu NSM menggunakan platform KRI Golok di perairan Laut China Selatan sekitar Pulau Natuna yang kerap dikunjungi oleh kapal-kapal milik China.

Tentera Laut Indonesia merancang untuk memperolehi sekitar 120 buah kapal serang laju, sebuah kapal yang hanya memiliki berat 33 tan dengan radius operasi 500km.

NSM

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Selain Indonesia, sebuah lagi lagi negara di rantau berhampiran iaitu Australia juga telah memilih peluru berpandu NSM ini untuk dilengkapkan pada kapal-kapal perangnya daripada friget jenis-Anzac dan kapal destroyer kelas-Hobart.

Ia adalah untuk menggantikan peluru berpandu “Harpoon” yang digunakan oleh kapal-kapal perang terbabit.

Selain perolehan peluru berpandu NSM untuk Tentera Laut Australia, kontrak bernilai AU$3.5 bilion itu turut melibatkan perolehan peluru berpandu Joint Air-to-Surface Standoff Missile Extended Range (JASSM-ER) untuk Tentera Udara Australia.– DSA

Comments
Loading...