Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Uzbekistan Kurangkan Perolehan Senjata dari Russia, Pertingkat Perolehan Senjata China

Perolehan sistem persenjataan buatan China ini mencerminkan hasrat Uzbekistan untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya sambil mengurangkan kebergantungan kepada sistem pertahanan buatan negara-negara Barat dan Russia.

0 6,020
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 21 Februari yang lalu, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev telah melawat Pusat Teknologi Inovatif yang bernaung di bawah Agensi Industri Pertahanan negara itu,  namun apa yang mengejutkan adalah kewujudan sistem pertahanan udara buatan China ditempatkan sebaris dengan produk pertahanan tempatan.
Bagaimana dan bila sistem-sistem pertahanan udara buatan China ini sampai ke sana masih tidak diketahui, namun kehadirannya jelas menunjukkan bahawa Uzbekistan memiliki aset tersebut.
 Sistem yang dimaksudkan termasuk sistem pertahanan udara jarak dekat FM-90 dan sistem pertahanan udara jarak sederhana KS-1C yang diperolehinya daripada China.
Dengan perolehan sistem-sistem pertahanan udara buatan China, Uzbekistan telah mengikuti jejak langkah negara jirannya, Turkmenistan yang turut mengoperasi sistem pertahaan udara berlapis (layered air defence system) termasuk FD-2000, FM-90 dan KS-1C.
Daripada gambar-gambar itu, Uzbekistan nampak telah memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pertahanannya dengan China.
Perolehan sistem pertahanan udara buatan China oleh Uzbekistan itu menandakan perubahan dalam usaha mempelbagaikan lagi perolehan pertahanan negara.

Uzbekistan

Secara tradisinya, Uzbekistan bergantung kepada kelengkapan pertahanan buatan Soviet dan kemudian Russia, namun kebelakangan ini, negara itu telah memperluaskan kerjasama ketenteraannya dengan China.
Imej terkini menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara buatan China itu, yang direka untuk memintas pesawat musuh dan peluru berpandu pada jarak pendek serta sederhana, telah beroperasi dalam angkatan bersenjata Uzbekistan.
Perolehan sistem persenjataan buatan China ini mencerminkan hasrat Uzbekistan untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya sambil mengurangkan kebergantungan kepada sistem pertahanan buatan negara-negara Barat dan Russia.
Sehingga baru-baru ini, angkatan tentera Uzbekistan bergantung kepada sistem persenjataan era Soviet yang telah dimodenkan dengan bantuan Russia.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara Asia Tengah itu secara aktif telah mempelbagaikan sumber perolehan persenjataannya dengan mendapatkan kelengkapan dari Turkiye dan China.
Perubahan strategik ini didorong oleh keperluan untuk menyesuaikan keupayaan ketenteraan dengan cabaran keselamatan serantau yang semakin berkembang.

Uzbekistan

China, yang semakin aktif dalam eksport senjata ke Asia Tengah, kini menjadi pembekal utama bagi Uzbekistan.
Selain membekalkan sistem pertahanan yang berkesan, Beijing juga memudahkan pemindahan teknologi, membolehkan Uzbekistan secara beransur-ansur memperkembangkan industri pertahanan domestiknya.
Industri pertahanan Uzbekistan juga semakin mengukuhkan kehadirannya di peringkat antarabangsa.
Di pameran IDEX-2025 di Abu Dhabi, lebih daripada 100 model peralatan ketenteraan buatan Uzbekistan dipamerkan.
Antara yang menarik perhatian rakan antarabangsa ialah kenderaan berperisai “Arslan 8×8” dan “Arslan 6×6”, serta meriam bergerak “Tofon”, yang mendapat sambutan besar daripada pihak luar.
FM-90 ialah sistem pertahanan udara jarak dekat hingga sederhana buatan China yang dibangunkan berdasarkan sistem HQ-7.
FM-90
FM-90
Ia direka untuk memintas pelbagai ancaman udara, termasuk pesawat tempur, helikopter, peluru berpandu jelajah, dan dron.
Sistem ini menggunakan peluru berpandu berpandu radar aktif dengan jangkauan sekitar 15-25 km dan ketinggian operasi sehingga 6 km.
FM-90 dilengkapi dengan radar pencarian dan penjejak sasaran yang mampu beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca.
Keupayaannya yang mudah alih membolehkannya digunakan untuk melindungi infrastruktur kritikal dan formasi tentera daripada serangan udara.
FM-90 juga mempunyai sistem gangguan anti-elektronik yang dipertingkatkan, menjadikannya lebih berkesan dalam persekitaran peperangan elektronik moden.
KS-1C ialah sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana buatan China yang dibangunkan berdasarkan teknologi HQ-12.
KS-1C
KS-1C
Ia direka untuk menangani ancaman udara seperti pesawat tempur, peluru berpandu jelajah, dan dron pada jarak sehingga 70 km dengan ketinggian operasi sekitar 27 km.
Sistem ini menggunakan peluru berpandu berpandukan radar semi-aktif dan dilengkapi dengan radar pencarian serta penjejakan moden yang mampu mengesan dan memintas sasaran dalam pelbagai keadaan cuaca.
KS-1C juga memiliki ciri keupayaan peperangan elektronik yang dipertingkatkan bagi mengatasi gangguan elektronik musuh.
Dengan reka bentuk modular dan mobiliti tinggi, sistem ini sesuai digunakan bagi melindungi kawasan strategik seperti pangkalan tentera, lapangan terbang, serta infrastruktur kritikal daripada serangan udara.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.