Digeruni Barat, Kapal Selam Yasen-M Russia Kini Lebih Berbahaya Dengan “Tsirkon”
Negara-negara Barat mengeruni kapal selam “Yasen-M” milik Russia itu kerana kemampuannya untuk bergerak dengan amat senyap,sekaligus menyukarkan pihak musuh untuk mengesannya selain dilengkapi dengan pelbagai peluru berpandu untuk menyerang sasaran di laut dan di daratan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal selam kelas “Yasen-M” yang digeruni oleh Barat bakal menjadi lebih berbahaya apabila syarikat pembuatnya bercadang melengkapkan kapal selam berkuasa nuklear Russia itu dengan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang mampu terbang selaju Mach 9 dan membedil sasaran sejauh 1,000km.
Negara-negara Barat mengeruni kapal selam “Yasen-M” milik Russia itu kerana kemampuannya untuk bergerak dengan amat senyap,sekaligus menyukarkan pihak musuh untuk mengesannya selain dilengkapi dengan pelbagai peluru berpandu untuk menyerang sasaran di laut dan di daratan.
Bercakap kepada agensi berita Russia, Ria-Novosti, pengarah United Shipbuilding Corporation Alexei Rakhmanov yang bertanggungjawab membina kapal selam itu berkata kerja-kerja untuk melengkapkan kapal selam serbaguna Yasen-M itu dengan peluru berpandu hypersonik telah pun dilakukan.

“Kerja-kerja melengkapkan kapal selam Yasen-M itu dengan peluru berpandu hypersonik telah pun bermula,” kata beliau, sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Russia itu.
Kapal selam Yasen-M yang pertama “Severdvinsk” telah ditauliahkan pada 2013 selepas berdekad dibina yang bermula ketika dunia masih lagi berhadapan dengan Perang Dingin.
Kapal selam Yasen-M itu dilengkapi dengan torpedo dan juga peluru berpandu “Kalibr” serta “P-800 Oniks” dan kini peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang bakal menjadikan kapal selam berkuasa nuklear itu lebih berbahaya kepada musuh-musuhnya.
Peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” berkemampuan mencapai kelajuan Mach 9 dan membedil sasaran sejauh lebih daripada 1,000km.
Pegawai kanan Pentagon menjangkakan di dalam tempoh satu dua tahun ini kapal selam paling berkuasa Russia daripada kelas-Yasen akan mula melakukan rondaan dengan lebih kerap di kawasan-kawasan persisiran pantai Amerika Syarikat.

Ketua Northern Command (NORTHCOM) Tentera Amerika Syarikat Jeneral Glen Van Herck dilaporkan berkata pada 2021 bahawa tentera Russia telah mula mengerahkan aset-aset tentera termasuk kapal-kapal selam yang “terlalu senyap” seperti Yasen-M yang boleh mengancam keselamatan wilayah negara itu.
“Risiko sememangnya semakin meningkat. Dalam tahun lepas, Russia telah meletakkan kapal selam kelas-Yasen di Pasifik.”
Comments are closed.