Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jeneral Amerika Bimbang Kemampuan Kapal Selam Nuklear Terbaru Russia, Kelas “Yasen”

Ketua U.S Northern Command dan U.S-Canadian North American Aerospace Defence Command Jeneral Glen VanHerck dalam sesi penerangan di Capitol Hill berkata tumpuan perlu diberikan kepada kapal selam berkuasa nuklear Russia daripada kelas-Yasen.

0 2,357

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat memberi amaran tentang ancaman yang diberikan oleh kapal-kapal selam terbaru Russia yang memiliki kemampuan  “setaraf” dengan kapal selam yang dimiliki olehnya.

Ketua U.S Northern Command dan U.S-Canadian North American Aerospace Defence Command Jeneral Glen VanHerck dalam sesi penerangan di Capitol Hill berkata tumpuan perlu diberikan kepada kapal selam berkuasa nuklear Russia daripada kelas-Yasen.

Kapal selam-kapal selam kelas-Yasen milik Russia katanya, adalah setaraf dengan kapal selam Amerika Syarikat terutamanya daripada segi “kesenyapan” (quietness), yang mampu mendatangkan  ancaman kepada negara itu.

Dengan tahap “kesenyapan” yang setaraf dengan kapal selam Amerika Syarikat, ia bakal menyukarkan lagi usaha-usaha untuk mengesan dan memantau kedudukannya atau ketika waktu konflik sukar untuk memeranginya.

Ancaman yang ditimbulkan oleh kapal selam-kapal selam kelas-Yasen Russia tidak pernah wujud lima tahun lepas, menurut pegawai kanan tentera Amerika Syarikat itu.

Kazan
Kapal selam kelas-Yasen terbaru Tentera Laut Russia iaitu “Kazan”

 

“Russia baru sahaja mentauliahkan kapal selam kelas-Yasen mereka yang kedua dan kemampuannya adalah setaraf dengan kapal selam kita, “ kata VanHerck dalam sesi penerangan itu.

Kapal selam kedua kelas-Yasen yang ditauliahkan kedalam perkhidmatan Tentera Laut Russia baru-baru ini sebagaimana dirujuk oleh beliau itu adalah “Kazan”.

“Kazan” merupakan kapal selam Projek 885 Yasen atau dirujuk NATO “Severodvinsk” yang kedua, selepas kapal selam kelas-Yasen yang pertama iaitu “Severodvinsk.”

Selain “Kazan,” Russia juga sedang membina empat buah kapal selam kelas-Yasen yang lain, tetapi perancangannya adalah negara itu mahu membina lapan buah kapal selam terbabit.

Empat daripada selam kelas-Yasen ini akan berkhidmat di Northern Fleet manakala empat lagi akan bertugas dengan Pacific Fleet Tentera Laut Russia.

Kapal selam kelas-Yasen ini dirancang untuk menggantikan kapal selam-kapal selam kelas-Akula dan kelas-Oscar Tentera Laut Russia.

Kazan
Kapal selam kelas-Yasen “Kazan”

 

Apa yang ditakuti oleh Tentera Amerika Syarikat tentang kapal selam kelas-Yasen itu – pertamanya adalah kapal selam Russia itu membawa sehingga 40 buah peluru berpandu kruis “Kalibr”, yang merupakan versi Tomahawk Russia.

Peluru berpandu “Kalibr” itu boleh digunakan untuk serangan anti-kapal dan serangan darat.

Selain itu kapal selam kelas-Yasen itu juga bakal dilengkapkan dengan peluru berpandu Hypersonic yang dinamakan “Zircon,” selain dilengkapi dengan peluru berpandu “Oniks.”

Panjang kapal selam kelas-Yasen ini adalah kira-kira 140 meter manakala beratnya pula adalah kira-kira 13,800 tan (submerged).

– DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...