Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peruntukan Bina Kapal LMS Batch 2 TLDM Telah Diterima, Kontrak Dimeterai Tahun Ini

“Peruntukan telah diberikan, kita mengharapkan kontrak tersebut dapat dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini dan pembinaan dapat dimulakan pada tahun depan dengan jangkaan 36 bulan untuk disiapkan,” kata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

0 4,332

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Peruntukan bagi pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah pun diperolehi dan kontrak mengenai perolehan aset terbaru tentera laut itu dijangka dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, pada ketika mereka masih di peringkat mengenal pasti syarikat yang akan membina kapal-kapal LMS Batch 2 itu berdasarkan spesifikasi ditetapkan TLDM.

“Peruntukan telah diberikan, kita mengharapkan kontrak tersebut dapat dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini dan pembinaan dapat dimulakan pada tahun depan dengan jangkaan 36 bulan untuk disiapkan,” katanya.

LMS Batch 2
Syarikat Fincantieri mencadangkan rekabentuk FCX15 yang berdasarkan kepada kapal korvet kelas-Abu Dhabi Tentera Laut UAE untuk program LMS Batch 2 TLDM.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Eksesais Angkasa dan Samudara (Eksesais ANGSA) Siri 14/23 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar  hari ini.

Menurut laporan sebelum ini, TLDM mensasarkan ia akan menerima kapal LMS Batch 2 yang pertama pada tahun 2027, disusuli kapal LMS kedua dan LMS ketiga di antara enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan kapal pertama.

Bagaimanapun tarikh sebenar penerimaan kapal LMS Batch 2 yang kedua dan ketiga akan bergantung kepada proses pembinaannya.

Berbanding dengan empat buah kapal LMS Batch 1 yang jauh lebih kecil dan tidak memiliki keupayaan kombatan, kapal-kapal LMS Batch 2 bukan sahaja jauh lebih besar, tetapi juga dilengkapkan dengan keupayaan kombatan seperti sistem peluru berpandu kapal-ke-kapal dan juga peluru berpandu kapal-ke-udara.

Pada Mac lalu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad berada Turkiye untuk lawatan kerja selama dua hari, di mana beliau dipercayai mengadakan perbincangan dengan industri pertahanan negara Mediterranean itu tentang cadangan perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 untuk TLDM.

LMS Batch 2
Rekabentuk HDC-2000 oleh Hyundai Heavy Industries untuk program LMS Batch 2 TLDM.

 

Bercakap di Parlimen pada 8 Mac lalu, Mohamad Hasan berkata bahawa beliau akan ke Turkiye untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan negara itu serta agensi pertahanannya berkaitan  dengan cadangan perolehan kapal-kapal LMS Batch II untuk kegunaan TLDM.

“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  untuk pergi ke Turkiye. Untuk berunding dengan rakan sejawatan saya dan juga agensi pertahanan negara di sana untuk kita mendaftarkan minat kita terhadap perolehan kapal-kapal LMS itu.

“Dan kita lihat bagaimana perundingan ini boleh kita segerakan, supaya perolehan kapal-kapal LMS Batch II dibuat secara telus yang mungkin.”

“Kita tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi urusan antara kerajaan dengan kerajaan,” kata Mohamad Hasan sambil menambah bahawa apa yang penting adalah kaedah G-to-G itu dapat memastikan TLDM memperolehi kapal-kapal perang terbabit dalam keadaan yang baik dan tepat pada masanya.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II yang pertama daripada lapan buah keseluruhan itu akan dilakukan menggunakan kaedah Government-to-Government (G-to-G) bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pembinaannya, sebagaimana yang berlaku dalam program pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS). 

LMS Batch 2
Rekabentuk 92M Corvette oleh Abu Dhabi ShipBuilding untuk program LMS Batch 2 TLDM

 

Mengenai pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS), Panglima TLDM berkata ia dijangka disambung semula mulai bulan depan.

Abdul Rahman Ayob berkata pembinaan itu diteruskan selepas penandatangan Supplemental Agreement (SA) keenam projek tersebut ditandatangani pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Langkawi, Mei lepas.

“Lima kapal LCS akan diserahkan kepada TLDM secara berperingkat dengan kapal pertama dijangka diserahkan pada penghujung 2026.”

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, syarikat Boustead Heavy Industrties Corporation Berhad (BHIC) menyatakan bahawa nilai keseluruhan kontrak pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) telah berubah kepada RM11.2 bilion berbanding RM9 bilion sebelum ini.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

Kontrak sebelum ini antara Boustead Naval Shipyard (BNS),  yang merupakan syarikat bersekutu BHIC dengan Kementerian Pertahanan telah ditandatangani pada 17 Julai 2014 melibatkan pembinaan enam buah kapal LCS pada kos RM9 bilion.

Syarikat juga berkata bahawa kapal LCS yang pertama akan diserahkan kepada kerajaan selepas dilaksanakan segala ujian pada Ogos 2026 manakala kapal kelima dan terakhir pula diserahkan pada April 2029. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...