Penerbangan Helikopter Operasi Maritim TLDM Di Kepulauan Spratly
Pada akhir September tahun lepas, Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 dari Skuadron 503 telah melaksanakan operasi penerbangan ke semua Stesen Luar Pantai (SLP) TLDM bertujuan untuk operasi Identification, Surveillance and Reconnaissance (ISR) di sekitar Gugusan Semarang Peninjau, Kepulauan Spratly dalam usaha mengesan pencerobohan oleh bot nelayan atau kapal asing.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kehidupan pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Kepulauan Spratly atau Gugusan Semarang Peninjau (GSP) adalah sangat berbeza berbanding kita di tanah besar.
Paling ketara, mereka ini tinggal di pulau yang bersaiz lebih kecil daripada padang bola sepak, terletak di atas terumbu karang dan dikelilingi lautan berkedalaman lebih daripada 800 meter.
Sebuah bangunan dengan tujuh buah bilik dibina di atas terumbu tersebut, dihiasi dua ke tiga pohon kelapa, janakuasa untuk menghidupkan elektrik dan Reverse Osmosis (RO) System untuk sistem air bertujuan minum, masak dan membasuh pakaian, serta sebuah helipad untuk helikopter bersaiz Nuri mendarat.
TLDM mempunyai lima buah Stesen Luar Pantai (SLP) yang terletak di GSP iaitu Pulau Layang-Layang (PLL) (Stesen Lima TLDM), Terumbu Ubi (Stesen Uniform TLDM), Terumbu Mantanani (Stesen Mike TLDM), Terumbu Siput (Stesen Sierra TLDM) dan Terumbu Peninjau (Stesen Papa TLDM).
Hanya Stesen Lima TLDM sahaja mempunyai infrastruktur seperti bangunan penginapan beserta pejabat, hangar, menara kawalan, lapangan terbang yang mampu mendaratkan pesawat Hercules C130, Layang Layang Island Resort dan Stesen Penyelidikan Marin PLL.
“Perjalanan ini, terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan”
Rangkap pertama dalam lirik lagu ciptaan Ebiet G.Ade berjudul Berita Kepada Kawan jika diperamati sangat sesuai diterjemahkan kepada diari kehidupan pegawai dan anggota TLDM yang bertugas di perbatasan untuk disampaikan kepada rakyat bahawa di sebalik udara keamanan yang dihirup ada celoreng yang berkawal setiap detik dan waktu samada di sempadan hutan-hutan, pulau-pulau mahupun jauh di samudera.
Sebahagian daripada kita kurang cakna berkenaan kisah anggota tentera yang hanya beralaskan nawaitu, bertekadkan semangat juang dan berbekalkan cinta pada agama serta negara, bertugas melaksanakan tanggungjawab dengan berada jauh dari sorotan duniawi dan rimba konkrit.
Sesuai dengan fungsi dan peranan semasa waktu aman, pada akhir September tahun lepas, Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 dari Skuadron 503 telah melaksanakan operasi penerbangan ke semua SLP TLDM bertujuan untuk operasi Identification, Surveillance and Reconnaissance (ISR) di sekitar GSP dalam usaha mengesan pencerobohan oleh bot nelayan atau kapal asing.
Kehadiran HOM AW 139 juga sebagai show of presence di kawasan yang menjadi tempat tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly antara lima buah negara termasuk China, Vietnam, Brunei, Filipina dan Malaysia.
Selain kapal-kapal TLDM yang melaksanakan rondaan secara 24/7 dalam operasi yang dikenali sebagai Operasi Sinar Samudera (OSS) di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), kekerapan kehadiran aset-aset udara ATM di perairan tersebut membuktikan langkah kerajaan Malaysia yang serius dalam menuntut hak ke atas kelima-lima terumbu terbabit.
Dengan jarak 160 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), penerbangan HOM AW 139 ke Stesen Lima TLDM mengambil masa selama 1 jam 15 minit.
Pesawat telah mendarat di Stesen Lima TLDM untuk refuel dan meneruskan semula operasi ISR di sekitar sektor rondaan OSS dan SLP TLDM.
Pesawat HOM AW 139 diterbangkan oleh Lt Kdr Nur Aman bin Mohamed Poat TLDM dan Lt Kdr Mohd Khairur Adnan bin Baharudin TLDM telah berjaya melaksanakan pendaratan di semua helipad SLP TLDM.
Artikel: Lt Kdr Ahmad Fitri bin Alias TLDM, Juruterbang Operasi Skuadron 503
Foto: PW I AQM Sahardi bin Mohd Sayuti
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.