Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lapan Buah Helikopter Untuk Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM

Kehadiran helikopter operasi maritim itu adalah sebahagian daripada usaha membangunkan keupayaan Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM.

0 4,943

(DEFENCE SECURITY ASIA)Markas Pemerintahan Armada Timur  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mempunyai lapan buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) secara keseluruhannya yang akan diperolehi secara berperingkat, menurut Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Dua daripada helikopter itu sudah pun diperolehi oleh TLDM, manakala sebuah bakal diterima pada September depan.

Bercakap dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan keluaran Mei-Jun, Mohd Reza berkata, kehadiran helikopter operasi maritim itu adalah sebahagian daripada usaha membangunkan keupayaan Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM.

AW139

“Helikopter-helikopter ini (lapan buah helikopter operasi maritim) akan diperolehi secara berperingkat,dengan keseluruhan (perolehan) adalah sebanyak lapan buah helikopter.”

“Tiga buah helikopter pertama akan dilengkapkan dengan mesingan berat 12.7mm dan 7.62mm general purpose machine gun,” kata Panglima TLDM itu dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan itu.

Beliau juga berkata, helikopter-helikopter terbabit akan dilengkapi dengan radar bagi meningkatkan kemampuannya dalam menyokong operasi TLDM di perairan negara dan menangani sebarang cabaran.

“Konfigurasi (helikopter berkenaan) juga adalah selaras dengan peranannya sebagai elemen bantuan kepada perlaksanaan misi-misi pasukan khas dengan tempoh dan jarak yang berpatutan,” menurut beliau.

Pada ketika ini, Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM telah pun menerima dua daripada tiga helikopter operasi maritim.

AW139

Helikopter ketiga akan diterima pada September depan.

Kontrak pembelian tiga buah helikopter operasi maritim TLDM daripada jenis Leonardo AW139 itu ditandatangani pada 2 Sept 2020.

Ketika menrasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan Skuadron 503 serta penyerahan operasi HOM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu beberapa hari lepas, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, kehadiran helikopter terbabit membolehkan rondaan penguatkuasaan dilaksanakan bersama aset sedia ada untuk mengukuhkan pengawasan ruang udara di perairan Sabah dan Sarawak.

Ia seterusnya akan meningkatkan lagi kekuatan inventori TLDM di Armada Timur.

Skuadron 503 ditubuh bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian helikopter operasi maritim selain berperanan melaksanakan beberapa lagi tugasan utama antaranya pemantauan zon maritim Malaysia, operasi pasukan khas serta latihan kru udara dan warga kapal.

AW139

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Skuadron itu juga akan melaksanakan tugasan sekunder merangkumi operasi mencari dan menyelamat, membantu misi Medical Evacuation, Casualties Evacuation serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief .

Helikopter AW139 itu adalah helikopter bersaiz sederhana dengan berat 6.4 tan dan menggunakan dua enjin Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC ( Full Authority Digital Engine Control).

Dengan dua orang krew, helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam. — DSA

Comments
Loading...