Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Vietnam Terima L-39 Skyfox. Langkah Awal Peroleh Pesawat Pejuang Barat ?

Pemerhati pertahanan menjangkakan Vietnam mahu mengurangkan kebergantungannya kepada Russia dalam aspek bekalan peralatan pertahanan dan mula membuka pintu terhadap perolehan sistem persenjataan buatan negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat.

0 9,266
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat aeroangkasa Czech, Aero Vodochody menyatakan bahawa ia telah menyelesaikan penghantaran pesawat latihan L-39 Skyfox kepada Tentera Udara Vietnam baru-baru ini, dalam apa yang disifatkan oleh pemerhati sebagai langkah awal sebelum ia memperolehi pesawat pejuang buatan Barat.
Pemerhati pertahanan menjangkakan Vietnam mahu mengurangkan kebergantungannya kepada Russia dalam aspek bekalan peralatan pertahanan dan mula membuka pintu terhadap perolehan sistem persenjataan buatan negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat.
Terdapat juga dakwaan bahawa perolehan pesawat latihan L-39 Skyfox merupakan persediaan awal Vietnam untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 C/D buatan Amerika Syarikat, dengan kedua-dua negara dilaporkan telah memulakan rundingan mengenainya beberapa tahun lepas.
Sebanyak 12 unit pesawat telah dihantar dalam dua kumpulan, masing-masing terdiri daripada enam buah pesawat.
Kumpulan pertama pesawat latihan L-39 itu tiba di Vietnam pada suku terakhir tahun 2023, manakala ketibaan kumpulan kedua pesawat itu menandakan pelaksanaan penuh kontrak yang ditandatangani pada Februari 2021.
Pesawat L-39 Skyfox akan digunakan untuk melatih juruterbang pesawat pejuang, berfungsi sebagai peringkat pertengahan antara pesawat latihan turboprop Beechcraft T-6C Texan II dan pesawat latihan lanjutan seperti Yak-130 milik Tentera Udara Vietnam.
L-39 Skyfox merupakan varian moden pesawat L-39 Albatros, yang pertama kali melakukan penerbangan pada tahun 1968.
L-39 Skyfox
L-39 Skyfox Vietnam
Pesawat ini dilengkapi dengan airframe yang ditambah baik, di mana tangki bahan api di hujung sayap telah digantikan dengan tangki dalaman.
Ia juga dilengkapi dengan avionik canggih daripada Genesys Aerosystems serta enjin Williams FJ44-4M yang menghasilkan daya tujahan sebanyak 16.89 kN.
Pesawat ini mampu melaksanakan misi latihan lanjutan, termasuk latihan penggunaan senjata dengan kapasiti muatan sehingga 1,200 kg.
Ia boleh membawa pelbagai jenis senjata berpandu tepat, yang dipasang pada lima hardpoint—satu di bawah fiuslaj dan empat di bawah sayap.
Bagi memodenkan dan memperkukuh Tentera Udara Vietnam dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin meningkat, terutamanya ketegangan di Laut China Selatan, negara Asia Tenggara itu kini mencari pilihan untuk memperoleh pesawat dan peralatan daripada negara lain selain sumber tradisionalnya iaitu Russia.
Pembelian senjata dari Russia juga boleh menyebabkan Vietnam terasing daripada sekutu Barat, memandangkan industri pertahanan Russia kini berdepan sekatan susulan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Pada 2023, Amerika Syarikat dilaporkan berbincang dengan kerajaan Vietnam untuk memeterai pakej penjualan senjata terbesar antara kedua-dua negara yang pernah berperang antara satu sama lain kira-kira 50 tahun yang lalu.
Sumber-sumber yang rapat dengan rundingan antara Washington dan Hanoi memberitahu agensi berita Reuters bahawa pakej penjualan senjata itu berkemungkinan melibatkan perolehan pesawat pejuang F-16 kepada Vietnam.
L-39 Skyfox
L-39 Skyfox Vietnam
Vietnam
Beechcraft T-6C Texan IIs
Sumber itu juga berkata bahawa Washington sedang mempertimbangkan pakej kewangan mudah dan “murah” bagi membantu Vietnam membeli senjata-senjata buatan syarikatnya, sekaligus “meninggalkan” senjata-senjata murah Russia yang digunakan oleh angkatan tenteranya selama ini.
Moscow membekalkan hampir 80 peratus daripada bekalan senjata Vietnam.
Laporan terkini menyatakan bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 itu tidak mencapai kemajuan kerana Hanoi bimbang pembelian pesawat pejuang itu akan menjejaskan hubungannya dengan negara-negara lain termasuk China.
Pada November tahun lepas, Vietnam telah menerima lima buah pesawat latihan tentera Beechcraft T-6C Texan II, yang merupakan pesawat tentera pertama yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada negara Asia Tenggara itu yang pernah berperang dengannya pada tahun-tahun 1970-an.
Pesawat Beechcraft T-6 Texan II adalah pesawat enjin tunggal turboprop yang dibina oleh Textron Aviation dan digunakan untuk latihan asas juruterbang, terutamanya bagi mereka yang menerbangkan jet pejuang Amerika Syarikat seperti F-16.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.