Russia Tawar Pengeluaran Bersama dan Perkongsian Teknologi Su-57E Kepada India
Duta Russia ke India Denis Alipov berkata, apa yang ditawarkan oleh Russia kepada India adalah “tawaran yang amat lumayan.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Russia telah meningkatkan lagi usahanya untuk menjual pesawat pejuang generasi kelima buatannya, Sukhoi Su-57E “Felon” kepada India dengan menawarkan bukan sahaja pengeluaran dalam negara tetapi juga perkongsian teknologi terkini serta pembangunan industri pesawat pejuang generasi kelima itu.
Duta Russia ke India Denis Alipov berkata, apa yang ditawarkan oleh Russia kepada India adalah “tawaran yang amat lumayan.”
“Kami menawarkan pesawat pejuang generasi kelima kami sendiri. Kami mempunyai pesawat terbaik – Su-57E. Kami baru sahaja mempamerkannya di Aero India bulan lalu di Bangalore, dan ia telah menunjukkan prestasi luar biasa serta menarik perhatian ramai.”
“Pesawat ini (Su-57E) sangat kompetitif, dan kami bukan sahaja menawarkan untuk menjualnya, tetapi juga untuk bekerjasama dalam pengeluaran pesawat itu. Kami menawarkan pemindahan teknologi serta pembangunan kemudahan industri yang diperlukan untuk pengeluarannya. Selain itu, kami juga terbuka kepada perubahan konfigurasi mengikut keperluan.”
“Ini adalah tawaran yang sangat menguntungkan,” kata beliau.
Amerika Syarikat dan Russia sedang bersaing untuk menjual pesawat-pesawat pejuang generasi kelima keluaran mereka, F-35 dan Su-57 kepada India.
Dalam beberapa minggu terakhir ini, Russia telah mengemukakan tawaran menjual pesawat pejuang Su-57E untuk Tentera Udara India, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pula menawarkan F-35 semasa lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Amerika baru-baru ini.

Kenyataan Duta Russia ke India tentang tawaran lumayan penjualan Su-57E ke India itu dibuat beberapa jam selepas agensi eksport persenjataan negara itu, Rosoboronexport, mengumumkan bahawa India boleh memulakan pengeluaran berlesen Su-57 dengan segera menerui pemodenan production line sedia ada di negara itu untuk pesawat pejuang Su-30MKI generasi 4+, yang mana sekurang-kurangnya 222 unit telah dibina di India.
Agensi Berita TASS milik kerajaan Rusia melaporkan pada 7 Mac bahawa Rosoboronexport telah menyatakan kesediaannya untuk memanfaatkan infrastruktur sedia ada Su-30MKI bagi pengeluaran tempatan Su-57E di India.
Rosoboronexport turut menyatakan bahawa jika India memuktamadkan perjanjian pembelian Su-57E tersebut, syarikat-syarikat India yang kini mengeluarkan pesawat pejuang Su-30MKI boleh memulakan pengeluaran pesawat pejuang Su-57E itu dengan segera.
“Jika India membuat keputusan positif, pengeluaran pesawat pejuang generasi kelima Su-57E buatan Russia boleh dimulakan dalam tempoh yang singkat di kilang-kilang yang kini mengeluarkan pesawat Su-30MKI,” menurut kenyataan Rosoboronexport.
Selain itu, Rosoboronexport turut menyatakan kesediaannya untuk melaksanakan program peningkatan keupayaan armada pesawat Su-30MKI milik Tentera Udara India dengan melibatkan industri tempatan secara menyeluruh.
“Kemampuan tempur pesawat Su-30MKI boleh ditingkatkan melalui integrasi senjata udara baharu serta naik taraf sistem avionik,” menurut kenyataan itu.
“Kini, perbincangan sedang berlangsung mengenai kesinambungan program pengeluaran pesawat ini di India, dan kami menjangkakan berita baik dalam masa terdekat.”

