Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Benar Washington Guna Ruang Udaranya, Akses Darat Untuk Pantau Afghanistan

Perkara itu disahkan pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat David F-Helvey ketika sesi dengan Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat negara itu baru-baru ini.

0 807

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan akan terus membenarkan Amerika Syarikat menggunakan ruang udaranya serta akses kemudahan di darat bagi membolehkan Washington mengekalkan “kehadirannya” di Afghanistan walaupun secara fizikal ia telah berundur daripada negara Asia Selatan yang bergolak itu.

Perkara itu disahkan pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat David F-Helvey ketika sesi dengan Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat negara itu baru-baru ini.

Menurut beliau, Washington akan terus berhubung dengan Islamabad tentang perkara itu kerana ia mempunyai peranan yang kritikal terhadap sebarang usaha untuk mengembalikan keamanan di Afghanistan.

“Pakistan telah memainkan peranan yang penting di Afghanistan. Mereka (Pakistan) menyokong proses damai di Afghanistan. Pakistan juga membenarkan kita untuk menggunakan ruang udara mereka dan akses kemudahan darat untuk memelihara kepentingan kita di Afghanistan,” katanya.

Persetujuan Pakistan itu menimbulkan kemungkinan bahawa negara itu akan dijadikan pangkalan kepada Amerika Syarikat untuk melancarkan pesawat-pesawat tanpa pemandunya (UAV) untuk memastikan Afghanistan kekal bebas daripada sebarang kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda atau Daesh.

Predator

Semalam, tentera Amerika Syarikat yang terakhir telah secara rasmi meninggalkan Pangkalan Udara Bagram (pangkalan paling utama dan terbesarnya di Afghanistan), yang terletak kira-kira 1 jam utara Kabul, menandakan berakhirnya kehadiran selama 20 tahun negara itu di Afghanistan.

Helvey juga berkata, Amerika Syarikat perlu menjalin kerjasama dengan negara-negara serantau dengan membangunakan kemampuan mereka bagi memastikan kumpulan-kumpulan pengganas tidak kembali menjadikan Afghanistan sebagai “pusat kegiatan” mereka.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menurutnya, sedang bekerjsama dengan rakan-rakan sejawat mereka di rantau itu bagi memastikan Afghanistan tidak kembali menjadi lubuk bagi kumpulan dan anggota pengganas.

Beberapa hari lepas, Setiausaha Luar Amerika Syarikat Anthony Blinken telah bertemu dengan Menteri- Menteri Luar Tajikistan dan Uzbekistan di Washington bagi membolehkan aset-aset tentera Amerika Syarikat dibenarkan beroperasi di kedua-dua negara itu untuk memantau perkembangan di Afghanistan selepas pengundurannya.

Pada ketika ini terdapat kebimbangan bahawa kumpulan Taliban bakal berkuasa kembali di Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat dan antarabangsa secara rasmi berundur daripada negara itu.

Kemungkinan perkara itu berlaku sememangnya amat tinggi berdasarkan perkembangan akhir-akhirnya yang menyaksikan kumpulan Taliban berjaya menguasai kembali kira-kira 50 daripada 400 buah daerah di Afghanistan.

Pasukan keselamatan Afghanistan yang dilatih oleh Amerika Syarikat dan antarabangsa juga berhadapan dengan siri kekalahan ditangan kumpulan Taliban akhir-akhir ini, dengan ribuan daripada mereka meletakkan senjata dan menyerah diri kepada kumpulan pengganas itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...