Singapura Sahkan Pesawat F-16 C/D/D+ Miliknya Kini Bawa Peluru Berpandu “Python-5”
Papan tanda maklumat yang ditemui di pangkalan udara Paya Lebar sempena sambutan hari terbuka Tentera Udara Singapura menunjukkan bahawa pesawat F-16 republik itu yang baru sahaja menjalani kerja-kerja naiktaraf kini berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara "Python-5" buatan syarikat Israel itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, Tentera Udara Singapura telah mendedahkan kepada umum pesawat pejuang F-16 C/D/D+ yang telah dinaiktaraf dan kini berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat “Python 5” yang dibangunkan oleh Israel.
Menurut laporan berita oleh Channel News Asia, ia menyatakan bahawa “Python 5” adalah salah satu peluru berpandu udara-ke-udara tercanggih dunia.
Papan tanda maklumat yang ditemui di pangkalan udara Paya Lebar sempena sambutan hari terbuka Tentera Udara Singapura menunjukkan bahawa pesawat F-16 republik itu yang baru sahaja menjalani kerja-kerja naiktaraf kini berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” buatan syarikat Israel itu.
Peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” itu dibangunkan oleh syarikat Rafael Advance Defense Systems dan berupaya memusnahkan sasaran udara pada jarak 20km.
Penggunaan peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” oleh pesawat F-16 Singapura itu adalah dijangkakan atas faktor commonality kerana sistem pertahanan udara repubik itu juga menggunakan sistem “Spyder” yang menggunakan peluru berpandu “Python-5” dan “Derby”.
Tentera Udara Singapura memutuskan untuk melakukan Mid-Life Upgrades (MLU) terhadap 20 daripada 62 buah pesawat F-16 miliknya pada 2016 dan bercadang terus menggunakan pesawat pejuang buatan syarikat Lockheed Martin sehingga selepas tahun 2030.
Ia mula menerima pesawat-pesawat F-16 yang dinaiktaraf itu pada tahun 2021.
Tentera Udara Singapura telah pun memesan 12 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35B yang akan menggantikan pesawat-pesawat F-16 miliknya.
Pembangunan varian awal peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” dikatakan telah bermula sekitar 1990-an dan peluru berpandu itu secara rasminya telah didedahkan kepada khalayak ramai ketika Paris Air Show pada 2003.
Python-5 adalah peluru berpandu dwi-kegunaan sama ada secara udara-ke-udara dan darat-ke-udara, selain mengintegrasikan imaging seeker, perisian moden, advanced infrared counter-countermeasure (IRCCM) serta sistem kawalan penerbangan.
Berat keseluruhan peluru berpandu Python-5 adalah 105kg, dengan kemampuan membawa 11kg bahan peledak jenis “high explosive fragmentation” dilengkapi dengan fius “active laser proximity.”
Program menaiktaraf pesawat F-16C/D/D+ Singapura itu dilakukan oleh Lockheed Martin serta ST Engineering Aerospace.
Tentera Udara Singapura memiliki 62 buah pesawat pejuang F-16C/D Block 52, dengan 14 daripada pesawat itu ditempatkan di Luke Air Force Base di Arizona, Amerika Syarikat manakala 48 buah pesawat ditempatkan di pangkalan udara dalam negara.
Kerja-kerja menaiktaraf pesawat F-16 Singapura yang dianggarkan bernilai US$2.4 bilion (RM10.8 bilion) itu turut meliputi melengkapkan pesawat-pesawat pejuang milik Singapura dengan radar AESA AN/APG-83 SABR (Scalable Agile Beam Radar) yang dibangunkan oleh Northrop Grumman.
Selain daripada berkemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat “Python-5”, dilengkapi dengan radar AESA, pesawat-pesawat F-16 C/D/D+ Singapura itu memiliki mission computers yang baru serta Joint Helmet Mounted-Cueing System (JHMCS).
Dengan JHMCS, pesawat F-16 Singapura itu boleh diintergrasikan dengan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X serta peluru berpandu GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) dan GBU-39 Small Diameter Bomb.
Selain itu, pesawat F-16 dinaiktaraf Singapura itu juga akan mampu membawa dan melancarkan peluru berpandu GBU-49/50 Enhanced Paveway II Dual-Mode Guided Bombs dan CBU-105 Sensor-Fuzed weapon.
Pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Republik Singapura itu juga dikatakan menggunakan sistem Electronic Warfare Suite buatan Israel tetapi sehingga kini tiada pengesahan daripada mana-mana pihak di Singapura. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]